Didakwa tikam pereka dalaman 20 kali, penganggur berdepan hukuman mati


Muhammad Sharqawi (gambar kecil) meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara minggu lalu selepas ditikam seorang individu tidak dikenali.

SEORANG penganggur dihadapkan ke Majistret Petaling Jaya, Selangor pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang pereka dalaman di Bandar Sri Damansara, dua minggu lalu.

Memetik laporan The Star, Lim Wah Siong, 50, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

BACA LAGI: Lelaki bunuh pereka dalaman di Sri Damansara disyaki tengah merompak sebelum mangsa tiba-tiba balik rumah

BACA LAGI: Pereka dalaman tinggal sendirian di apartmen di Sri Damansara maut kena tikam 20 kali

Pereka

Muhammad Sharqawi yang maut dibunuh di rumahnya di Sri Damansara pada 16 September lalu. — Facebook

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di SD Apartment II, Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara pada 14 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustafa menetapkan 8 November depan untuk sebutan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Terdahulu, suspek tiba pukul 8.50 pagi tadi dengan iringan polis untuk dibawa naik ke Mahkamah Majistret 4, dan proses pendakwaan selesai 15 minit kemudian.

Pada 16 September lalu, seorang pereka dalaman berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan termasuk tangan dan kepala.

Hasil siasatan polis, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menyedari suspek memecah masuk rumah mangsa untuk mencuri sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan kematian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram