[VIDEO] Siap ada 'commentator', tak puas hati punca buat kecoh, bergaduh dalam kedai makan di JB


  • Tular
  • Sabtu, 27 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan kejadian yang berlaku di sebuah restoran di Impian Emas, Skudai, Johor Bahru pada Jumaat.

PENGUNJUNG berdepan detik-detik cemas dengan sebuah kejadian pergaduhan di sebuah restoran di Impian Emas, Skudai, Johor Bahru, Johor pada Jumaat malam.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Johor, kejadian melibatkan beberapa individu lelaki di lokasi berkenaan pada waktu malam.

Pada masa sama, pemilik video yang sempat merakam kejadian tersebut dilihat panik dan terkejut dengan situasi yang berlaku ketika itu, selain mengulas seperti commentator.

BACA LAGI: Hubungan cinta terhalang punca kes gaduh di Shah Alam

Dalam video sama, perakam mendakwa bahawa pergaduhan melibatkan objek tajam seperti parang.

Ketika itu, turut dilihat beberapa individu terlibat memukul satu sama lain menggunakan kerusi dan meja restoran berkenaan.

BACA LAGI: Gaduh sampai guna pisau, jiran tak diam diri bila dengar jeritan minta tolong

Kejadian juga dipercayai berpunca akibat tidak berpuas hati, namun punca sebenar pergaduhan tidak dapat dipastikan lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh mengesahkan kejadian yang dimaklumkan oleh orang awam.

Balveer berkata, pihaknya sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.

"Sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah telah pergi ke lokasi kejadian, namun semua suspek telah melarikan diri.

"Sehingga kini, tiada mangsa yang tampil membuat sebarang laporan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Balveer berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, beliau menyeru agar orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Faez Rahim di talian 011-11905471. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram