Pentingnya dengar arahan, terbayang muka ibu selepas tergelincir dalam jurang ais Everest


  • 112
  • Khamis, 03 Okt 2024

Walaupun ada Sherpa yang mampu meraih pendapatan sehingga RM52,845 setiap musim, namun realitinya kebanyakan daripada mereka hanya menerima upah RM10,570 untuk tiga bulan. — Agensi

BAGI seorang pemandu arah Sherpa Nepal, Ngima Gyalzen Sherpa, masih terbayang detik-detik ketika tergelincir dan terjatuh ke gaung Gunung Everest, iaitu puncak tertinggi di dunia.

Dalam kejadian musim bunga 2022 itu, Ngima terjatuh ke dalam jurang ais ketika cuba berpaut pada tali yang salah gara-gara salah faham ketika mendengar arahan daripada salah seorang ahli pasukannya.

"Ketika itu saya hanya berfikir yang saya akan mati, terbayang-bayang muka ibu ketika saya terjatuh dalam jurang tersebut.

BACA LAGI : 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

BACA LAGI : Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis

"Namun saya bernasib baik membawa alat pendakian ketika kami sedang bekerja. Saya berjaya memanjat keluar tanpa cedera dengan bantuan rakan-rakan yang lain," ceritanya mengimbau kembali tragedi yang hampir meragut nyawanya.

Menurut Ngima, laluan Khumbu Icefall itu merupakan laluan paling berbahaya di Everest dan telah mengorbankan banyak nyawa pendaki yang ingin menuju ke puncak.

Sehubungan itu, kepakaran Ngima dan rakan sepasukannya sangat diperlukan bagi membuka laluan yang lebih selamat buat para pendaki yang datang dari seluruh dunia.

Ngima

Ngima Gyalzen Sherpa. — Agensi

Diberi gelaran 'Icefall Doctor', para Sherpa seperti Ngima mengambil masa berbulan-bulan untuk menentukan laluan yang selamat walaupun setiap laluan itu sangat berisiko pada mereka.

"Icefall Doctor yang berpengalaman boleh menentukan kekuatan dan risiko runtuhan ais hanya dengan melihatnya,"

"Mereka boleh berbuat demikian sebagaimana seorang ibu boleh memberitahu apa yang salah dengan anaknya dengan hanya satu pandangan.

"Sebagai Icefall Doctor, saya akan bekerja dengan rakan sepasukan yang lain untuk membuka laluan melalui Khumbu Icefall yang merupakan satu-satunya akses ke puncak Everest dari cerun selatan di Nepal," jelas pemuda berusia 26 tahun tersebut.

Jelas Ngima lagi, terdapat laluan lain yang boleh digunakan pendaki untuk menuju ke puncak Everest iaitu dari laluan dari Tibet tetapi laluan itu juga mempunyai cabaran yang tersendiri.

"Bagi memastikan laluan tersebut selamat, mereka akan melakukannya pada waktu siang, namun risikonya lebih tinggi sebab bongkah ais mudah mencair dan struktur kawasan tersebut juga rapuh.

"Disebabkan faktor itu, kebanyakan pendaki akan memulakan pendakian mereka dengan hanya menggunakan lampu pada tengah malam atau awal pagi untuk menyeberangi antara Khumbu Icefall ke kem asas, "ujarnya.

Sign to Everest base camp Nepal; Shutterstock ID 1050659279; Project details: National Geographic Education Resource Library; Job: National Geographic Education Resource Library; Client/Licensee: National Geographic Society; Other: Everest Collection page

Menurut pangkalan data Himalaya, sekurang-kurangnya 11,000 pendakian telah direkodkan dan angka itu dijangka akan meningkat setiap tahun. — Agensi

Demi keselamatan orang lain, ada dalam kalangan Icefall Doctor ini terkorban ketika menjalankan tugas mereka. Melalui rekod arkib Ekspedisi Pangkalan Data Himalaya, seramai kira-kira 50 orang maut di kawasan tersebut selepas tertimbus runtuhan salji.

Mengimbau kembali perjalanan kerjanya yang berbahaya itu, Ngima berkata, ibunya, Ang Dami Sherpa, merupakan inspirasi utamanya untuk menceburi kerjaya dalam pendakian gunung.

Malah, Ang Dami juga terkenal sebagai pelari maraton gunung, yang sangat menguji ketahanan fizikal kerana ketinggian altitud.

Tambahan pula, Ngima turut berasal dari kampung yang banyak melahirkan Sherpa dan pendaki hebat seperti Kami Rita Sherpa, yang memegang rekod dunia untuk pendakian terbanyak Gunung Everest yang mana dia telah mendaki puncak setinggi 8,849 meter itu sebanyak 30 kali.

Malah, nama 'Sherpa' itu sahaja sudah merujuk kepada kumpulan etnik Sherpa, yang berasal dari kawasan paling pergunungan di Nepal dan Tibet.

Menurut pangkalan data Himalaya, sekurang-kurangnya 11,000 pendakian telah direkodkan dan angka itu dijangka akan meningkat setiap tahun.

Himalaya Everest

Walaupun bilangan pendaki semakin meningkat, namun minat dalam kalangan golongan muda Sherpa untuk bekerja dalam bidang pendakian gunung juga semakin menurun. — Agensi

Walaupun Ngima tidak lagi bertugas sebagai Icefall Doctor selepas peristiwa yang hampir meragut nyawanya itu, dia memilih untuk menjadi malim gunung pelancong asing.

Menurutnya, pendapatan sebagai malim gunung lebih berbaloi daripada pekerjaan lamanya.

"Selain menjadi pengiring, saya juga mengambil upah untuk membawa barang untuk pendaki, tukang masak dan sebagainya.

"Ia adalah kerja yang sangat sukar dan mendaki gunung sememangnya berisiko tidak kira di mana atau apa yang anda lakukan," kata Ngima, yang pernah menjadi seorang sami Buddha sebelum memilih mendaki gunung sebagai profesion pada 2019.

Sementara itu, seorang lagi pemandu gunung, Narendra Shahi Thakuri, pekerjaan sebagai Icefall Doctor kurang dihargai.

"Selain sukar dan mencabar, kerja ini juga tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya, malah sering kali dikritik jika sesuatu yang buruk terjadi," katanya.

Walaupun bilangan pendaki semakin meningkat, minat dalam kalangan golongan muda Sherpa untuk bekerja dalam bidang pendakian gunung juga semakin menurun disebabkan kebimbangan terhadap keselamatan dan gaji yang tidak sepadan dengan risiko yang dihadapi.

Hanya Sherpa yang mempunyai daya tahan tinggi dan mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran gunung sahaja boleh mengatasi cabaran tersebut kerana iklim pergunungan adalah rumah bagi mereka.

Sejak pendakian pertama pada 1953, lebih daripada 300 orang telah kehilangan nyawa di puncak gergasi itu dan banyak mayat masih kekal di sana kerana operasi menyelamat yang memakan masa serta kos yang tinggi.

"Saya memerlukan pekerjaan, dan pendakian gunung adalah satu-satunya pilihan yang ada. Namun, saya juga memilihnya kerana ia adalah sesuatu yang saya sukai dan nikmati," kata Ngima.

Walau bagaimanapun, ramai pendaki berpengalaman kini meninggalkan pekerjaan itu, sama ada untuk beralih ke bidang lain atau mencari peluang pekerjaan di luar negara.

Krisis tersebut begitu serius sehingga kini menjadi kebiasaan untuk menggunakan helikopter bagi mengangkut pendaki dan bekalan seperti khemah, oksigen, dan makanan ke kem asas, menggantikan peranan pemandu arah.

Tahun ini, pihak berkuasa Nepal telah meluluskan rancangan untuk menggunakan helikopter bagi membawa semua bekalan naik dan turun, selepas kelewatan beberapa minggu dalam pembukaan laluan ais, yang juga merupakan pintu masuk utama ke Gunung Lhotse (8,516 meter) dan Gunung Nuptse (7,861 meter).

Malah, Kami Rita Sherpa, yang telah bertahun-tahun bekerja sebagai pemasang tali turut mengakui pemandu gunung yang berpengalaman kini semakin sukar ditemui, terutama mereka yang mempunyai latihan dan kemahiran khusus.

"Sangat sukar untuk mendapatkan pekerja untuk kerja-kerja berisiko tinggi seperti Icefall Doctor dan pemasang tali kerana risiko yang besar dan gaji yang rendah," katanya.

Walaupun ada Sherpa yang mampu meraih pendapatan sehingga 1.5 juta rupee Nepal (RM52,845) setiap musim, namun realitinya kebanyakan daripada mereka hanya menerima upah sekitar 300,000 rupee (RM10,570) untuk tiga bulan.

Walaupun pendapatan tersebut jauh lebih tinggi daripada pendapatan purata rakyat Nepal, tetapi masih tidak mencukupi memandangkan risiko mendaki Gunung Everest itu sangat tinggi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram