Penyamar licik persis watak Leonardo Dicaprio tak mengaku salah tipu warga emas


Mohamad Faizul tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menipu tawaran pekerjaan sebagai juruterbang.

SEORANG lelaki dipercayai penyamar seperti watak Leonardo Dicaprio dalam filem 'Catch Me If You Can' mengaku tak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang warga emas.

Tertuduh, Mohamad Faizul Baharudin, 44, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Shariff.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

BACA LAGI : 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

BACA LAGI : Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan menipu Latipah Ahmad Sudan, 60, dengan mendorong mangsa menyerah wang tunai bernilai RM24,000 untuk mendapat pekerjaan sebagai juruterbang walaupun kerja itu tidak wujud.

Tertuduh telah melakukan perbuatan itu di hadapan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Gunung Rapat antara pukul 12 tengah hari hingga 1 tengah hari, 22 Disember 2016 hingga 8 April 2018.

Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini menawarkan tertuduh diikat jamin RM10,000.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S Gnanarajan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung seorang isteri dan lima anak, selain tiada halangan sekiranya dikenakan syarat tambahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes pada 27 November depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki itu juga pernah menyamar sebagai timbalan pendakwa raya, juruterbang, jurutera Petronas dan pelbagai profesion lain itu akhirnya diberkas selepas enam tahun diburu polis.

Sementara itu, The Malay Mail memetik sumber berkata, suspek didakwa telah memperdaya pelbagai mangsa yang melibatkan kerugian jutaan ringgit sejak 2001, dan telah dikesan oleh polis sejak 2018.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, suspek ditahan pada pukul 11.45 malam Selasa di Ampang, Selangor. — The Star/ MANJIT KAUR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram