Diketawakan sebab 'budak Malaysia baru belajar', warga Desa Melor Serendah terap budaya kerja Jepun


  • Massa
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Komited dan sentiasa menjaga kebersihan di tempat kerja antara budaya di Jepun yang boleh diterapkan di Malaysia. — Gambar hiasan/Agensi

MELIHAT perubahan sektor pekerjaan dan teknologi di Malaysia yang semakin maju mengimbau kembali kenangan manis Zainal Abidin Abu Bakar ketika berada di Jepun.

Jika mahu dibandingkan dengan Malaysia, bekas juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menamatkan perkhidmatannya sejak 2020 itu tidak menafikan bahawa terdapat jurang besar terutamanya daripada aspek kemajuan teknologi.

Mengambil peluang istimewa ini, Zainal yang berusia 65 tahun berkongsi, ia dapat dilihat apabila dihantar untuk menjalani kursus latihan sistem pembinaan bangunan di negara matahari terbit itu selama tujuh bulan pada 1990.

BACA LAGI: Dipuji pimpin penumpang buta suami isteri pergi tandas, dapat gelaran 'Pemandu Bas Of The Year'

BACA LAGI: Selami emosi, guru praktikal pilih kaunseling bantu tukar perspektif pelajar terima takdir hidup dengan hati terbuka

6336715176115552348 (1)

Zainal Abidin yang mempunyai pengalaman menjalani kursus di Jepun pada 1990.

Kata Zainal, kursus tersebut bukan sahaja memberi ilmu berbeza, malah jelas menunjukkan kepantasan Jepun dalam memajukan teknologi serta penerapan budaya sosial yang mungkin baru diperkenalkan di negara ini.

Bercerita tentang kecanggihan teknologi pada tahun tersebut, Zainal berkata, Jepun melangkah beberapa langkah ke hadapan dalam penggunaan sistem perisian AutoCAD.

AutoCAD merupakan sebuah perisian yang biasa digunakan untuk tujuan am dalam proses reka bentuk serta melakar dengan berbantukan komputer dalam pembentukan model serta lakaran dua dan tiga dimensi atau lebih dikenali sebagai computer-aided drafting and design program (CAD).

Perisian itu boleh digunakan dalam semua bidang kerja terutama sekali dalam bidang-bidang yang memerlukan kepakaran seperti kejuruteraan mekanikal, seni bina, reka bentuk grafik dan banyak lagi.

large

Program AutoCAD digunakan khusus buat mereka bentuk bangunan atau objek. — Gambar hiasan/Agensi

"Pada waktu itu, JKR baru nak mula gunakan AutoCAD di Malaysia dan hantar saya bersama beberapa rakan lain ke Jepun untuk belajar dengan mereka.

"Masih ingat lagi, ada hari itu saya ternampak satu mesin yang mereka guna untuk program AutoCAD. Jadi, saya tertarik nak belajar cara gunakan sistem itu sampai buatkan pekerja Jepun ketawa dahulu sebelum ajar.

"Mereka kata, 'kami dah tak guna AutoCAD sejak 20 tahun lagi'. Betapa pantasnya mereka naik taraf teknologi tetapi baru nak dimulakan oleh negara lain.

"Lebih malu bila, dia bawa saya di hadapan khalayak ramai dan beritahu 'budak Malaysia nak belajar AutoCAD'," katanya kepada Majoriti.

Apa-yang-Bisa-Kita-Pelajari-dari-Jepang-tentang-Kebersihan

Pekerja di Jepun amat menjaga tempat kerjanya seperti rumah sendiri. — Gambar hiasan/Agensi

Bercerita lanjut, Zainal tidak menolak bahawa hampir kesemua pekerja Jepun sangat rajin dan komited dalam pekerjaannya.

Menurutnya, mereka juga tidak lokek dalam memberi tunjuk ajar atau ilmu secara terperinci kepada sesiapa sahaja yang mahu belajar.

Bukan itu sahaja, Jepun antara negara terpantas memasarkan komputer riba serta mencipta program dalam permainan digital.

Lebih menariknya apabila Zainal dapat merasai kejutan budaya apabila melihat cara rakyat Jepun menitikberatkan penggunaan pengangkutan awam serta kebersihan walaupun di tempat kerja.

"Di Jepun memang kami pergi dan balik atau berjalan-jalan pun naik kereta api selain berjalan kaki.

"Kalau tengok tempat kerja mereka pun sangat bersih walaupun pondok buruk sebab memang diterapkan untuk sapu sampah dan cuci lantai sekali," katanya lagi.

6336715176115552350

Setiap pegawai keselamatan di Desa Melor sentiasa diterapkan untuk menjaga kebersihan ketika bekerja.

Zainal yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kawalan Komuniti Desa Melor (KKDM) di bawah Persatuan Pemilik dan Penduduk Desa Melor (PPPDM) di Serendah, Selangor menambah, segala ilmu yang dipelajarinya itu dapat diaplikasikan dalam hidupnya selepas pulang ke Malaysia sejak November 1990.

Katanya, semangat rakyat Jepun menjaga tempat kerja mereka seperti rumah sendiri kini diterapkan pada setiap pegawai keselamatan di bawah seliaannya.

"Ada beberapa pegawai keselamatan sambilan yang memang saya sentiasa pesan supaya bersihkan pondok kawalan, buang sampah dan susun barang bagi kemas," jelasnya.

Zainal pada justeru memberitahu bahawa ia boleh dijadikan sebagai contoh atau pendedahan kepada masyarakat di luar sana terutamanya generasi muda untuk menerapkan amalan sihat seperti di Jepun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram