Cuma di hujung jari, graduan jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTM Skudai latih 5,000 wanita sebagai pengasuh Kiddocare


  • Bizz
  • Khamis, 03 Okt 2024

Nadira mengasaskan platform Kiddocare pada 2018.

SEIRING peredaran zaman, wanita tidak seharusnya berdepan dilema untuk memilih antara kerjaya atau keluarga.

Dengan kewujudan teknologi digital dan kehadiran amalan kerja berasaskan ekonomi gig, wanita terutamanya dalam kalangan ibu boleh mencapai kejayaan dalam kerjaya, sekali gus melunaskan tanggungjawab untuk seisi keluarga.

Bagaimanapun, tugas bagi mencari seorang pengasuh bukanlah suatu perkara mudah yang boleh dilakukan secara tangkap muat.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Ramai ibu bapa sering mengeluh kerana menghadapi kesukaran untuk mencari pengasuh yang mampu membantu menjaga anak ketika mereka sibuk bekerja atau ketika mempunyai urusan.

Melihat kepada isu tersebut, Kiddocare tampil menjadi antara yang terawal cuba menangani masalah berkenaan melalui penyediaan sebuah platform perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dari rumah ke rumah.

Selain menjanjikan kualiti terbaik, perkhidmatan terbabit turut memberikan jaminan keselamatan dengan menghubungkan ibu bapa bersama pengasuh terlatih secara dalam talian.

Platform ini dicipta sejak 2018 oleh Nadira Yusoff yang merupakan pengasas Kiddocare selepas beliau terilham daripada konsep perkhidmatan berkenaan ketika berada di Michigan, Amerika Syarikat.

Interview session with founder Kiddocare,  Puan Nadira... Kiddocare- Babysitter Booking Platform.. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Selain menjanjikan kualiti terbaik, Kiddocare turut memberikan jaminan keselamatan dengan menghubungkan ibu bapa bersama pengasuh terlatih secara dalam talian.

Nadira berkata, hasrat utama Kiddocare adalah bagi memastikan ibu bapa dapat memilih pengasuh terlatih dan dipercayai pada setiap masa tanpa batasan radius.

Ujarnya, perkhidmatan pengasuh terlatih membolehkan wanita mengecapi matlamat kerjaya tanpa perlu risau atau rasa bersalah menjalankan tanggungjawab seorang ibu.

“Kiddocare menjadi platform yang boleh digapai hanya di hujung jari ataupun lebih dikenali on-demand. Senang, cekap dan efisien.

“Sejujurnya, Kiddocare bukan sekadar penyelesaian kepada keperluan keluarga di bandar, tetapi menjadi sistem sokongan buat famili yang memerlukan perkhidmatan penjagaan anak,” katanya.

Jelas Nadira, sejak 2018, lebih kurang 5,000 wanita dilatih sebagai pengasuh Kiddocare.

Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, Kiddocare mengambil pendekatan holistik bagi memulihkan industri penjagaan dan asuhan awal kanak-kanak melalui inovasi teknologi dan melaksanakan proses pemilihan pengasuh mengikut sistem operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Asas penubuhan Kiddocare lahir daripada niat untuk memberi penyelesaian kepada isu berkaitan keselamatan kanak-kanak dan kualiti asuhan yang memberi kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

“Tidak dapat dinafikan, hari ini kita kerap mendengar isu pengasuh lalu menyebabkan ramai wanita berhenti kerja demi menjaga anak kerana trauma dan takut.

“Justeru, perkhidmatan ini disediakan membantu meringankan beban ibu bapa menerusi perkhidmatan penjaga yang profesional,” ujarnya.

Beliau yang juga memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Nadi-Ayu Technologies memberitahu, perkhidmatan pengasuh disediakan Kiddocare memerlukan pengasuh menjalani latihan disediakan antaranya latihan kemahiran penjagaan dan asuhan.

Pengasuh terlatih

Jelasnya, pengasuh turut menjalani latihan kemahiran pemahaman perkembangan fizikal, emosi dan kognitif kanak-kanak termasuk pengurusan keselamatan, pertolongan cemas, kebolehan merangka dan menjalankan aktiviti bersesuaian umur kanak-kanak.

“Selain itu, bagi memperoleh kepercayaan ibu bapa, maka saringan latar belakang ke atas semua pengasuh dilaksanakan untuk memastikan mereka bebas daripada masalah jenayah, pengambilan dadah, atau sivil. Paling utama mampu menguruskan kanak-kanak dengan baik.

“Setiap pengasuh juga akan melalui ujian psikometrik dan temu duga berseorangan bagi memastikan mereka layak menjadi Kiddocarer,” katanya.

Kerjaya profesional

Interview session with founder Kiddocare,  Puan Nadira... Kiddocare- Babysitter Booking Platform.. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Nadira berkata, sejak 2018, lebih kurang 5,000 wanita dilatih latih sebagai pengasuh Kiddocare.

Sehingga kini, Kiddocare meluaskan perkhidmatan bukan sahaja di Lembah Klang, malah di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Pahang, ujar Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dengan kelulusan BSc (Hons) jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu.

Nadira memberitahu, Kiddocare menyediakan pelbagai latihan dan kursus bagi menambah baik kualiti perkhidmatan dan memberikan peluang kerjaya pelbagai dalam bidang berkaitan termasuk keusahawanan.

“Saya yakin platform ini bukan sahaja berpotensi untuk menjadi kerjaya profesional dalam bidang penjagaan dan perkembangan awal kanak-kanak, tetapi membuka peluang pendapatan sambilan.

“Generasi muda disaran melihat sektor asuhan dan penjagaan awal kanak-kanak sebagai satu peluang kerjaya dan bukanlah kerja remeh bergaji kecil, mencabar atau tekanan.

“Hargai pengasuh berkelayakan kerana tugas ini juga mencabar, memerlukan kesabaran dan empati yang tinggi. Pada masa sama, memerlukan kemahiran dan ilmu tinggi bagi memenuhi keperluan perkembangan kanak-kanak masa kini.

"Ibu bapa juga harus melihat pengasuh adalah sistem sokongan profesional,” katanya.

Kekal standard tinggi

Dalam pada itu, Nadira yang juga penerima Anugerah Usahawan Wanita daripada Forum Usahawan Wanita ASEAN 2015 (AWEF) berkata, usaha mengekalkan standard perkhidmatan antara pengasuh adalah cabaran besar kerana setiap individu memiliki latar belakang dan pengalaman berbeza.

Situasi itu boleh menyebabkan perkhidmatan diketengahkan terganggu.

Interview session with founder Kiddocare,  Puan Nadira... Kiddocare- Babysitter Booking Platform.. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Penggunaan aplikasi dan teknologi membolehkan Kiddocare mencari padanan keperluan ibu bapa dengan pengasuh dan memberikan kemas kini laporan secara berkala.

Dengan menggunakan aplikasi dan teknologi Kiddocare, Nadira memberitahu, ia membolehkan padanan keperluan ibu bapa dengan pengasuh dan memberikan kemas kini laporan secara berkala.

“Di samping itu, menyediakan pentadbiran sokongan bagi memberi perkhidmatan ibu bapa dan pengasuh dari awal tempahan sehingga perkhidmatan penjagaan tamat.

“Untuk memberi kualiti perkhidmatan baik dan menjamin keselamatan kanak-kanak asuhan, pengasuh perlu mendapat sokongan baik dari segi ilmu mahupun kemahiran, terapi, kaunseling dan gaji berpatutan agar kerjaya ini boleh menjadi pekerjaan profesional.

Caj perkhidmatan berpatutan

Ketika ditanya mengenai caj perkhidmatan pengasuh terus ke rumah keluarga yang dikatakan agak tinggi, beliau menjelaskan bahawa Kiddocare menyediakan solusi Share-A-Carer bagi memberi peluang kepada semua mendapat khidmat penjagaan kanak-kanak berkualiti.

Personalization iaitu perkhidmatan pengasuh persendirian tidak patut dipandang premium, tetapi berpatutan selari tugasan dan tanggungjawab memberi perhatian khas terhadap kanak-kanak.

“Ini termasuklah menjaga keselamatan, melakukan rutin penjagaan dan mengasuh dengan aktiviti sesuai umur kanak-kanak yang dijaga.

“Konsep personalization ini dianggap sebuah konsep atau nilai yang tinggi,” terangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram