Arif Aiman ikut jejak bintang JDT, Terengganu dan Sabah muncul hero lokal di pentas Asia


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Kualiti Arif Aiman lebih bersinar berbanding pemain import skuad Harimau Selatan musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SKUAD Harimau Selatan melakar senyuman selepas mencatatkan kemenangan dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite berdepan kelab China, Shanghai Shenhua pada Selasa.

Kemenangan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu amat diraikan kerana pasukan Selatan tanah air berkenaan kini berada di kedudukan kedua dalam carta selepas dua perlawanan.

Tidak cukup dengan itu, Johor Darul Ta'zim (JDT) juga menerima durian runtuh daripada penganjur berbentuk wang tunai lebih RM400,000 atas tiga mata dicatatkan tersebut.

BACA LAGI: Malukan kelab China, Arif Aiman pintas CR7, bantu JDT kaut bersih RM400,000

BACA LAGI: [VIDEO] Coach Shanghai Shenhua seram dengar nama 'kuda tua' JDT, bukan sekadar Arif Aiman

461937020_1105514067611235_3550657495987361305_n

Arif Aiman sekali lagi menjadi watak utama buat skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Mereka sudah tentu perlu berterima kasih kepada bintang utama pasukan, Arif Aiman Hanapi yang menjadi watak utama dengan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam perlawanan terbabit.

Kehadirannya dalam skuad yang dibarisi pemain import berkenaan tidak menghalangnya daripada bersinar apabila dia memainkan peranan penting untuk membantu pasukannya mencatatkan kemenangan sulung.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama seorang bintang tempatan menjadi watak utama dalam pasukan Liga Super yang bersaing di pentas Asia dengan lambakan pemain import diturunkan.

Melihat kepada rekod terdahulu, berikut merupakan tiga pemain lokal yang memberikan sumbangan cukup penting buat kelab masing-masing dalam kempen ACL mahupun Piala AFC.

1. Syafiq Ahmad vs Kashima Antlers

Meskipun sudah bertahun-tahun bermain di pentas Asia, JDT masih bergelut setiap kali berdepan kelab Jepun dengan kempen musim lalu menyaksikan mereka tumpas kedua-dua aksi menentang Kawasaki Frontale.

Bagaimanapun, pada 2019, skuad Harimau Selatan pernah merekodkan kenangan manis ketika bertemu pasukan dari Negara Matahari Terbit itu dalam saingan peringkat kumpulan.

Mereka ketika itu diundi di samping Kashima Antlers serta Shandong Luneng (China) dan Gyeongnam FC (Korea Selatan) dengan ia menjadi cabaran cukup besar bagi pasukan Liga Super tersebut.

59652272_1345425605620735_543019488396705792_n

Syafiq Ahmad membantu skuad Harimau Selatan menundukkan Kashima Antlers. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, JDT yang hadir dengan status 'underdog' tidak berdepan sebarang masalah apabila masih berkesempatan meraih kemenangan tipis 1-0 ketika menerima kunjungan wakil Jepun itu.

Kehadiran bintang import, Gonzalo Cabrera tidak memberi bantuan besar buat skuad Harimau Selatan yang terpaksa menunggu jaringan Syafiq Ahmad untuk memecahkan kebuntuan mereka.

Meskipun pasukan itu tidak dibarisi lambakan pemain luar negara, sumbangan dibuat penyerang kelahiran Kedah itu menjadikannya sesuai diletak dalam senarai bintang lokal yang lebih baik daripada import bernilai jutaan ringgit.

2. Engku Nur Shakir vs Central Coast Mariners

Penantian lebih 10 tahun Terengganu untuk beraksi di pentas Asia berakhir musim lalu hasil kejayaan berada di kedudukan kedua Liga Super 2022 yang menyaksikan mereka layak ke Piala AFC.

Meskipun kempen dalam pertandingan itu berakhir dengan kekecewaan, skuad Sang Penyu masih boleh berbangga kerana mereka menjadi satu-satunya kelab yang tidak mengalami sebarang kekalahan.

Ini kerana sepanjang bersaing dalam Piala AFC, kelab Pantai Timur itu merekodkan tiga kemenangan dan tiga keputusan seri dengan 12 mata dikutip tidak cukup untuk membawa mereka ke pusingan kalah mati.

406332576_337043239037117_5874434321633270302_n

Engku menjaringkan gol ketika skuad Sang Penyu berkunjung ke Australia. Facebook/Terengganu FC

Namun, salah satu perlawanan yang sukar dilupakan adalah semasa Terengganu berkunjung ke Australia untuk berdepan Central Coast Mariners dengan misi getir dihadapi mereka.

Bagaimanapun, kegusaran itu segera diatasi selepas pemain tengah pasukan, Engku Nur Shakir menjadi watak utama dengan memecahkan kebuntuan kedua-dua pasukan menerusi jaringan pada minit ke-53.

Mereka yang turun dengan hampir kesemua import seperti Ivan Mamut, Nurillo Tukhtasinov dan Sony Norde terpaksa mengharapkan sentuhan pemain lokal itu untuk menggegarkan gawang lawan.

Malangnya, sumbangan diberikan Engku masih belum cukup buat skuad Sang Penyu yang hanya pulang dengan satu mata dari bumi Australia selepas benteng mereka dibolosi pada hujung-hujung permainan.

3. Darren Lok vs Hougang United

Selain Terengganu FC, Sabah FC juga layak bersaing dalam Piala AFC musim lalu hasil kejayaan berada di kedudukan ketiga Liga Super 2022 dengan ia turut menamatkan penantian bertahun-tahun lamanya.

Bagaimanapun, skuad Sang Badak berdepan cabaran lebih getir di peringkat kumpulan apabila diundi di samping Hai Phong FC (Vietnam), Hougang United (Singapura) dan PSM Makassar (Indonesia).

Lawan mereka itu sememangnya memberikan saingan tersendiri kerana sudah bertahun-tahun bersaing dalam pertandingan peringkat Asia selain sudah tahu kelemahan dan kelebihan pasukan Liga Super.

381594859_698755335624494_3616072195206990693_n

Darren Lok merupakan seorang penyerang prolifik buat skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Namun, Sabah FC masih memiliki kualiti untuk memberikan tentangan, terutamanya ketika berdepan Hougang United dalam aksi pembukaan di laman sendiri dengan skuad terbaik diturunkan Datuk Ong Kim Swee.

Ini kerana mereka menampilkan pasukan yang dibarisi pemain import seperti Park Tae-su, Cifu dan Ramon Machado yang memiliki kualiti jauh lebih baik berbanding bintang tempatan.

Tetapi, sandaran masih diletakkan di bahu penyerang Harimau Malaya, Darren Lok yang meledak dua gol untuk memastikan kemenangan buat skuad Sang Badak dalam perlawanan pembukaan.

Sumbangan itu diteruskan dalam aksi-aksi akan datang apabila kelab Borneo berkenaan berjaya layak ke pusingan seterusnya sebelum dikecewakan wakil Australia, Macarthur FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram