MENJADI penebar roti canai bukan satu pekerjaan yang asing buat Nur Qistina Alya' A Antasya Nazri, 17.
Ini kerana, sebagai anak sulung kepada dua orang adik beradik, dia sememangnya sering kali tampil turun membantu di gerai makanan diusahakan keluarganya di Kuala Terengganu, Terengganu sejak berusia 10 tahun.
Kisahnya juga pernah tular sejak dua tahun lalu dan menarik perhatian masyarakat kerana kemahirannya menebar roti canai, iaitu satu pekerjaan yang lebih sinonim dengan kaum lelaki.
Malah dia juga kerap berkongsi video memaparkan sedang menebar roti canai.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Sejak itu, Nur Qistina atau lebih mesra dipanggil Qis mengakui jumlah jualan roti canai di gerai bapanya turut meningkat dengan mereka turut mendapat kunjungan pelanggan dari luar negeri dan daerah.
"Alhamdulillah. Jualan itu memang meningkat. Ada juga pelanggan baharu yang tidak pernah datang dan sanggup datang dari luar sebab dah tengok dekat TikTok.
"Dulu, biasa dalam sehari 800 keping. Sekarang ini bila kita dapat tarik ramai orang, kita jual dalam 1,000 terutamanya bila waktu cuti atau hujung minggu," katanya kepada Majoriti.
Pada mulanya, Nur Qistina berkata, dia mula mempelajari kemahiran menebar roti canai selepas terpaksa menggantikannya bapanya yang mengalami kecederaan tangan terseliuh.
Sejak daripada itu, dia terus melakukan tugasan tersebut dengan membahagikan masa antara membantu keluarga di gerai dan juga mengulang kaji pelajaran untuk keperluan persekolahannya.
Pada waktu ini, Nur Qistina berkata, dia juga sudah mula mengurangkan waktunya di gerai dengan pulang lebih awal untuk memberi ruang kepada dirinya bagi membuat persediaan menghadapi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
"Kalau sebelum ini saya akan berada di gerai mula lepas asar sampai pukul dua pagi. Sekarang ini pukul 12 saya dah pulang. Kemudian saya juga bergilir-gilir buat tugasan jadi penebar roti canai. Bukan setiap hari," ujarnya yang mengambil aliran sastera.
Kemahiran menebar diragui
Nur Qistina turut mempunyai minat dan mengikuti perkembangan pasukan Terengganu FC. — qistinaantasya_
Sementara itu, Nur Qistina turut mengakui dirinya turut berdepan dengan tanggapan negatif daripada segelintir pihak yang mempersoalkan kebolehannya.
"Kebanyakan memang bagi reaksi positif. Tapi ada juga sebahagian yang negatif macam mereka kata, jualan roti canai kedai kami laku sebab saya perempuan yang tebar roti canai. Kemudian dia cakap yang ramai datang itu lelaki sahaja," katanya.
Bagaimanapun, Nur Qistina yang kini turut menjadi pempengaruh di TikTok berkata, dia menganggap perkara itu sebagai sebahagian perkara yang perlu dihadapi di dalam platform media sosial.
"Saya tak ambil tahu sangat mengenai benda itu. Saya ambil itu sebagai benda yang positif. Kalau negatif pun saya cuba terbalikkan ia jadi positif," ujarnya yang juga merupakan peminat setia pasukan bola sepak negeri kelahirannya, Terengganu FC.
Nur Qistina menambah, perkara yang lebih penting daripada perhatian yang diperolehinya adalah kejayaannya untuk membantu meningkatkan pendapatan perniagaan makanan keluarganya yang kini boleh mencecah sehingga RM4,000 sehari pada waktu tertentu.
Sementara itu, bergerak ke hadapan, Nur Qistina berkata, dia berhasrat menyambung pendidikan di peringkat pengajian tinggi selepas SPM di universiti tempatan di Terengganu dalam bidang perniagaan.
"Pendidikan memang penting. Walaupun nanti saya akan sambung belajar, saya rancang untuk jalankan kedua-duanya sekali," katanya yang turut mempunyai perancangan untuk menambah baik gerai makanan keluarganya di samping memperkenalkan produk roti canai beku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram