Selami emosi, guru praktikal pilih kaunseling bantu tukar perspektif pelajar terima takdir hidup dengan hati terbuka


  • Massa
  • Khamis, 03 Okt 2024

Bidang kaunseling membantu Nurul Sofiya untuk sentiasa prihatin pada masa sama dapat memperbaiki dirinya. — Instagram/Sofiya

MELAKSANAKAN tugas sebagai seorang guru bukan sahaja bertujuan memberi ilmu akademik kepada pelajar, tetapi juga berperanan dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak mereka.

Selain menjadi pembimbing secara teknikal, nilai-nilai murni seperti disiplin, sikap hormat-menghormati, tanggungjawab dan integriti antara elemen penting untuk diterapkan dalam generasi muda.

Memilih bidang pendidikan juga sekali gus dapat memberi pendedahan dan persekitaran baharu yang mungkin tidak mudah untuk didapatkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak perlu malu kerja sambilan jadi pengawal, Nurin antara 3 pelajar IPT contoh sanggup sengkang mata demi penduduk Desa Melor

BACA LAGI: Bagai dapat durian runtuh, lelaki warga emas terima wang tidak dituntut RM18,000

6334374204190868134

Nurul Sofiya lebih tertarik untuk memilih bidang kaunseling kerana dapat menimba ilmu daripada pengalaman orang lain. — Instagram/Sofiya

Tidak menafikan perkara itu, seorang guru praktikal berasal dari Kedah yang berkhidmat di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur berkesempatan berkongsi pengalaman bertugas di unit kaunseling.

Guru wanita itu juga mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor dan masih dalam tempoh latihan industri (internship).

Ditanya tentang minat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang itu, Nurul Sofiya Osman, 24, berkata, menjadi guru kaunseling adalah berbeza dengan tugas guru lain yang mengajar subjek akademik.

Nurul Sofiya melihat bahawa bidang itu secara tidak langsung dapat memberi inspirasi untuk diaplikasikan dalam kehidupan sehariannya.

"Bidang kaunseling ni berbeza sedikit, dia tak fokus pada subjek tapi kita berkhidmat ke arah membantu masalah yang mereka hadapi.

"Ia lebih kepada selami perasaan, emosi dan apa mereka fikirkan. Pada masa sama, kita boleh berkongsi apa yang dia rasa dan saya seronok bila bersama pelajar-pelajar begini," katanya kepada Majoriti.

74701709_X7H4SdWxde3oYLOrNn04fBjRw9AEJg4HWdIn2IrgVIs

Nurul Sofiya merupakan pelajar tahun akhir di UIAM. — Gambar hiasan

Kongsinya lagi, sepanjang beberapa bulan bertugas, Nur Sofiya banyak menyaksikan pelbagai jenis ragam dan kesukaran yang terpaksa ditempuhi oleh pelajar-pelajar sekolahnya.

Katanya, kebanyakannya berdepan dengan masalah kewangan terutamanya golongan kurang berkemampuan.

"Daripada sini saya belajar untuk mendengar dan memahami selain sentiasa beri solusi. Kadang-kadang sampai kita tak sangka, ada rupanya masalah begini di kawasan ini.

"Antara cerita-cerita yang saya dengar banyak berkaitan dengan masalah keluarga. Ada sesetengahnya diabaikan dan tak dapat wang daripada ibu ayah sebab terlalu sibuk bekerja.

"Bukan itu sahaja, ada juga pelajar B40 di usia belasan tahun terpaksa bekerja lepas tamat sesi sekolah dan pulang ke rumah 2 hingga 3 pagi," ceritanya.

Cabaran hidup pelajar terbabit kadang kala membuatkan mereka kurang bermaya dan tidak fokus ketika belajar di dalam kelas.

Kata Nurul Sofiya, peranannya di bilik kaunseling itu sememangnya bukanlah memberi sumbangan daripada segi kewangan, tetapi menjadi medium membantu menukar perspektif pelajar untuk menerima takdir hidup dengan hati terbuka.

6334374204190868136

Bidang kaunseling membantunya menjadi seorang yang lebih memahami dan bertolak-ansur. — Instagram/Sofiya

"Kami memang tak boleh halang mereka 100 peratus untuk berhenti kerja dan belajar sahaja. Tetapi, kami tukar cara mereka menerima kekurangan itu daripada sudut positif, contohnya apabila pelajar ini ada rasa ibu bapa tak sayang mereka.

"Kami akan bagi nasihat dan beritahu duit yang mereka dapat daripada hasil titik peluh itu boleh guna untuk belajar atau bantu keluarga. Kami juga akan bantu mereka susun jadual harian supaya tidak terlalu letih serta dapat seimbangan waktu bekerja dan menimba ilmu di sekolah.

"Jadi, dengan cara itu buatkan mereka rasa lega dan bantu memuhasabahkan diri kembali," jelasnya.

Perkara itu tanpa sedar membantu Nurul Sofiya yang merupakan anak tunggal dalam keluarga belajar erti pengorbanan dalam menjalani liku-liku kehidupan.

Menurutnya, pengalaman orang lain adalah sangat berharga dan bermakna diaplikasikan dalam hidupnya sekiranya berdepan dengan dugaan sedemikian.

"Saya juga boleh ambil iktibar daripada kisah mereka dan kongsikan kepada pelajar-pelajar lain sebagai penyuntik semangat.

"Sebab tidak semua pengalaman itu kita boleh rasa sendiri," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram