DI peringkat permulaan perniagaannya, Penny Choo hanya memikirkan untuk membantu suaminya, Giden Lim untuk memperluaskan jualan bunga yang dilakukan secara sambilan.
Pada waktu itu, dia hanya bermula dari rumah dengan memanfaatkan kelengkapan tersedia termasuk menggunakan peti ais konvensional tiga pintu sebagai tempat simpanan bunga segar.
Sebelum menceburi bidang perniagaan bunga dalam talian di Lembah Klang pada 2015, wanita yang merupakan pengasas bersama BloomThis ini terlebih dahulu bekerja dalam industri farmaseutikal.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Tapi bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Hasil daripada pengorbanannya yang tidak pernah mengenal erti penat dan mengalah, dia kemudiannya berjaya meletakkan jenama BloomThis menjadi antara jenama gubahan bunga yang popular.
BloomThis kini menjadi antara jenama gubahan bunga yang popular.
“Sejajar dengan kehendak pelanggan yang mencari gubahan bunga ‘segera’, kami mula mencorak strategi bagi memberikan kepuasan mereka yang membuat pesanan menggunakan platform dalam talian.
“Kecanggihan teknologi dimanfaatkan untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan. Kini, pelanggan tidak perlu khuatir jika gubahan bunga dipesan perlu mengambil masa lama.
“Pelanggan boleh memantau status gubahan dan logistik gubahan tempahan secara atas talian kerana penghantaran dilakukan setiap hari dan bakal menembusi pasaran Asia Tenggara dalam tempoh terdekat,” katanya pemenang yang juga penerima anugerah Edeavor Blitzscaling Award.
Pada waktu ini, BloomThis turut memiliki hab bunga di tiga bandar utama iaitu Johor Bahru, Pulau Pinang dan Singapura.
Dia yang juga Pengarah Urusan BloomThis berkata, terdapat ratusan koleksi gubahan bunga diketengahkan dengan antara yang mendapat sambutan adalah Hat Box dengan gubahan bunga dalam kotak berbentuk heksagon dan simbolik kepada sarang lebah yang cuba membawa maksud kepentingan bekerja dalam kumpulan.
Pemenang Anugerah Usahawan Wanita ASEAN Menyerlah itu memberitahu, BloomThis merupakan antara pencetus kepada konsep hiasan terbabit yang bertujuan memudahkan pelanggan menghias jambangan bunga tanpa perlu mengubahnya di dalam pasu.
Penny berkata, terdapat ratusan koleksi gubahan bunga diketengahkan oleh BloomThis untuk pelanggan.
“Ditawarkan pada harga berpatutan, gubahan bunga premium terbabit boleh didapati dengan harga serendah RM25 hingga ribuan ringgit mengikut jumlah bunga dan hiasan dipadankan,
“Bunga digunakan lazimnya dari Cameron Highlands dan untuk koleksi tertentu didatangkan khusus dari China, India, Kenya dan lain-lain.
“Antara bunga digunakan untuk menyerikan gubahan adalah ros, lily, garbera, hydrangea, bunga matahari premium untuk mengekalkan kualiti terbaik,” ujarnya yang turut memiliki latar belakang dalam sains makanan dan nutrisi.
Penny berkata, BloomThis melaksanakan strategi untuk akan sentiasa cuba tampil memperkenalkan satu koleksi baharu gubahan bunga setiap dua minggu.
BloomThis kini memilik ratusan himpunan gubahan bunga untuk pelanggan.
Hasilnya, jenamanya terbabit kini memiliki ratusan himpunan gubahan bunga untuk ditawarkan kepada pelanggan.
“Gubahan juga dihasilkan mengikut kesesuaian acara termasuk ulang tahun, graduasi, bertemakan musim perayaan dan kami turut berkolaborasi dengan jenama antarabangsa sempena acara tertentu,” jelasnya.
Memiliki 80 pekerja dengan hanya bermula dari dua orang ketika memulakan perniagaan, dia memberitahu tugas menggubah bunga kini diserahkan kepada penggubah terlatih.
“Di BloomThis, kepuasan pelanggan adalah fokus utama selain penggunaan bahan terutama bunga premium untuk dijadikan gubahan.
“Selain itu, BloomThis juga menawarkan langganan mingguan, dwi-mingguan atau bulanan jika anda memerlukan bunga untuk semua majlis atau hari istimewa anda,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram