Bekas pekerja IT kini pakar 'forklift', kenal berjuta-juta alat ganti macam 'makan kacang'


  • Bizz
  • Rabu, 02 Okt 2024

Nicholas mula menceburi perniagaan jentera berat khususnya forklift sejak 2002.

PERNIAGAAN jentera berat bukan satu bidang yang popular dan mendapat perhatian di Malaysia.

Namun fakta tersebut sama sekali tidak melunturkan minat dan tekad Nicholas Gan, 48, yang menceburi perniagaan terbabit dengan fokus terhadap forklift pada 2002.

Sejak mula, beliau yang merupakan Pengasas bersama EGAN Equipment dan Parts Sdn Bhd memiliki misi untuk mengubah persepsi umum berkenaan industri yang dianggap kaku.

Disebabkan itu, sebagai usahawan yang sentiasa mencari kelainan untuk meningkatkan perniagaan, Nicholas tampil cuba memberikan nafas baharu dengan menjadi antara perintis yang menerapkan elemen pendigitalan dalam industri berkenaan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

6329872378384989974

Sebelum mengasaskan EGAN, Nicholas terlebih dahulu terlibat dalam industri teknologi dan maklumat (IT) dan juga kewangan. — eganforklifts

Lebih membanggakan, Nicholas kini turut berjaya menarik kumpulan anak muda untuk menyertai syarikatnya yang dikenali sebagai forliftprenuer.

“EGAN antara pertama dalam perniagaan ini memanfaatkan kuasa laman web dan media sosial sebagai landasan terbaik untuk berhubung dengan pengeluar dan pelanggan.

“Banyak pengeluar alat ganti forklift hari ini masih bergantung pada telefon dan faks tetapi EGAN lama beralih daripada itu,” katanya.

Nicholas berkata, pemilihan nama EGAN untuk syarikatnya cuba mengambil semangat daripada istilah tersebut yang membawa maksud semangat kuat peralihan.

Ujarnya, nama berkenaan turut seiring dengan visinya mengoperasikan syarikat terbabit yang agak mencabar kerana memerlukan kemahiran agak teknikal.

Sebelum mengasaskan EGAN, Nicholas terlebih dahulu terlibat dalam industri teknologi dan maklumat (IT) dan juga kewangan.

Turut dikenali sebagai perancang kewangan bertauliah, Nicholas juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Persatuan Penjenamaan Malaysia.

“Perjalanan permulaan saya adalah dalam sektor perancangan kewangan sebelum bapa saya mengajak untuk menyertai syarikatnya.

“Sebagai seseorang yang langsung tidak faham tentang dunia alat ganti forklift bukan mudah kerana tiada minat dan perlu mempelajari tentangnya.

“Terdapat berjuta-juta jenis dan alat ganti untuk forklift sahaja. Melalui kerja keras dan ketekunan saya perlu mempelajari nama dan nombor setiap bahagian sehingga mahir," ujarnya.

6329872378384989971

Nicholas turut memegang jawatan sebagai Setiausaha Persatuan Penjenamaan Malaysia. — eganforklifts

Menurut Nicholas, antara kelebihan EGAN adalah kemahiran dan pengetahuan uniknya untuk menggunakan bahagian boleh ditukar ganti.

Ujarnya, kepakaran itu menjadikannya syarikat di kedudukan yang tiada tandingan sehingga hari ini.

Pada waktu ini, bisnes jentera berat diusahakan Nicholas sudah beroperasi menerusi rangkaian eksportnya hingga ke 19 negara termasuk Indonesia, Sri Lanka, India, Singapura, Thailand, China, Taiwan, Pakistan dan Mauritius.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, pihaknya merancang bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi termasuk di India dan Timur Tengah.

“Adunan idea menarik dalam industri berat ini amat penting untuk memastikan perniagaan bertahan lama lebih lagi di era kompetitif,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai perjalanan perniagaannya, Nicholas berkata, dengan kejayaannya menguasai cabang bidang tersebut, beliau kini memfokuskan untuk memberi nilai sebenar kepada pelanggan.

“Saya mengambil inisiatif mengesyorkan komponen alternatif dijamin berfungsi dengan baik tetapi dengan harga lebih berpatutan.

“Tawaran dan perkhidmatan disediakan juga memberikan nilai tambah terhadap perusahaan diketengahkan,” ujarnya yang turut memberikan motivasi untuk generasi muda yang mahu bertapak dalam dunia perniagaan.

6329872378384989975

Menurut Nicholas, antara kelebihan EGAN adalah kemahiran dan pengetahuan uniknya untuk menggunakan bahagian boleh ditukar ganti. — eganforklifts

Beliau berkata, meskipun EGAN tidak menawarkan perkhidmatan servis atau pembaikan, namun mereka dengan pantas memperoleh reputasi sebagai pengeluar alat ganti forklift yang berpengetahuan dengan bekalan stok lengkap.

“Dalam erti kata lain, jika anda tidak menemuinya di EGAN, anda tidak akan menemuinya di tempat lain,” jelasnya.

Sebagai pengiktirafan atas sumbangan cemerlang beliau kepada industri, Nicholas dianugerahkan Prestige Top40 Under40 Young Achievers dan Prestige Special Award - People’s Choice Award pada 2013.

Selain itu, menyentuh resipi kejayaan beliau, Nicholas menekankan bahawa penjenamaan amat penting dalam usaha untuk menarik bakal pelanggan.

“Penjenamaan yang kuat boleh menarik pelanggan dengan mudah. Oleh itu, usahawan perlu pemasaran diri kreatif dan strategi unik untuk menonjol.

“Penjenamaan dimaksudkan adalah penjenamaan diri kerana kuasa pembeli akan lebih menarik jika mereka mengenali pemilik,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram