'Tak minat no problem', produk ukiran kayu Senitukang graduan UiTM jadi buruan syarikat korporat


  • Bizz
  • Isnin, 30 Sep 2024

Muhammad Mustafa memulakan Senitukang pada 2017 bersama bekas rakan sekolahnya.

KETIKA sedang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor pada 2017, Mohd Mustafa Meharomi menerima ajakan daripada seorang bekas rakan sekolahnya bagi memulakan perniagaan mengukir produk berasaskan kayu.

Pada waktu itu, Mohd Mustafa, 30 yang berasal dari Selayang, Selangor mengakui dia langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai bisnes tersebut.

Bagaimanapun, minatnya yang mendalam terhadap perniagaan mendorongnya untuk cuba menyahut cabaran tersebut.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Tambahan pula, dia sebelum itu turut sudah mula mencuba-cuba berniaga sejak di peringkat pengajian diploma dengan membawa masuk barangan dari China untuk dijual di Malaysia antaranya tali jam dan beg sandang.

"Jadi, bila rakan saya kemukakan cadangan tersebut, secara kebetulan saya pun memang sedang cari alternatif untuk mulakan perniagaan lain.

"Ini kerana perniagaan yang saya buat sejak saya belajar di peringkat diploma pada waktu itu tidak berapa menjadi," katanya kepada Majoriti.

Bersama rakannya itu, Mohd Mustafa mengasaskan syarikat Senitukang yang menghasilkan produk ukiran berasaskan kayu.

Senitukang ketika ini menjadi pengeluar kepada beberapa produk popular yang mendapat permintaan daripada pengguna antaranya sarung telefon, hiasan majlis perkahwinan dan kulit kayu naskhah al-quran.

Pada masa sama, hasil kerja tangan Senitukang turut mendapat permintaan dalam kalangan syarikat korporat termasuk dalam penyediaan cendera hati dan hadiah.

Bermula dengan kesilapan

Mohd Mustafa berkata, di peringkat awal permulaan perniagaan, kedua-dua mereka membuat keputusan membeli sebuah mesin ukiran laser kecil dari luar negara dengan bermodalkan RM5,000.

Ujarnya, pembelian mesin tersebut dibuat dengan berbekalkan pengetahuannya mengenai urus niaga barangan dari luar negara yang dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun, Mohd Mustafa yang masih sedang meneruskan pembelajaran di peringkat ijazah sarjana muda berkata, langkah tersebut disifatkan sebagai satu kesilapan awal yang dilakukan mereka.

"Kami sebenarnya macam terlalu cepat untuk buat keputusan membeli mesin itu. Kami tak tahu yang bahawa nak uruskan mesin itu adalah sangat komplikated.

"Dia kena ada penyelenggaraan, penyesuaian untuk pastikan ukiran yang mahu dilakukan benar-benar tepat. Jadi kami ambil masa dua tahun daripada 2017 sampai 2019 sebelum kami dapat keluarkan produk pertama," katanya.

Snapinsta.app_314448141_131650959465534_9079355320947597454_n_1080

Produk pertama dikeluarkan Senitukang adalah sarung telefon kayu. — Senitukang

Dalam tempoh dua tahun tersebut, Mohd Mustafa berkata, dia berjaya bertahan dengan pendapatan minimum yang diperolehinya ketika bergelar pelajar.

Sementara itu, rakan niaganya yang sudah menamatkan pengajian sebagai graduan seni bina daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mencari pendapatan sebagai pemandu p-hailing.

Menurut Mohd Mustafa, produk pertama dikeluarkan pada 2019 itu adalah berupa sarung telefon kayu.

Pada waktu tersebut, ujarnya, Senitukang turut menerima kehadiran seorang rakan niaga baharu yang memiliki latar belakang seni fotografi dan turut membantu dalam menambahkan kualiti rekaan terhadap produk dihasilkan.

"Bila kita keluarkan produk pertama tersebut, orang memang tertarik dengan sarung telefon kayu kita yang unik. Waktu itu belum banyak lagi produk sedemikian di pasaran," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Mustafa mengakui, dia pada awal sememangnya langsung tidak mempunyai minat terhadap pekerjaan sebagai pengukir kayu.

"Waktu mula-mula itu. saya sebenarnya tidak rasa betul-betul minat terhadap pekerjaan ini. Tapi bila saya dah buat, timbul pula perasaan gembira terutamanya lepas produk itu dah berjaya dijual.

"Jadi kalau nak kata motivasi itu, mungkin kerana saya minat bisnes. Sebab itu saya teruskan. Kalau nak ikut minat, dari awal saya tak ada minat untuk kerja kayu tu sangat. Tapi, bila saya dah buat, baru saya bangunkan minat tersebut," kongsinya.

Dengan perkembangan tersebut, mereka kemudiannya membuat keputusan untuk menyewa sebuah bilik di satu apartment di Lembah Klang untuk menjalankan operasi selepas sudah sah berdaftar secara rasmi sebagai syarikat.

Ujarnya, bilik terbabit disewa daripada seorang kenalannya yang turut mengusahkan operasi menjahit beg di kediaman berkenaan.

"Sebab dah sewa tempat, jadi, kita punya usaha pun kena lebih. Waktu itu sampaikan kami ini terpaksa tidur dekat bilik.

"Dengan keadaan bilik tersebut yang berasap sebab mesin yang digunakan, jadi kita pun memang sampai pening-pening. Lagi pun bilik itu kecil sahaja. Tapi kami buat sampai berjaya keluar produk itu," katanya.

Snapinsta.app_355141166_795128622164321_9220461036324640304_n_1080

Senitukang turut memperkembangkan produknya kepada barangan perkahwinan ukiran berasaskan kayu. — Senitukang

Dalam tempoh dua tahun tersebut, Mohd Mustafa berkata, dia berjaya bertahan dengan pendapatan minimum yang diperolehinya ketika bergelar pelajar.

Mohd Mustafa yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang survei bangunan berkata, bermula daripada situ, Senitukang mula menghasilkan beberapa produk lain termasuk mengambil tempahan ukiran bagi majlis perkahwinan.

Dalam tempoh sama juga, mereka seterusnya turut membuat keputusan untuk menyewa keseluruhan unit apartment tersebut pada sekitar penghujung 2019.

"Sebab kenalan yang buat operasi jahit beg itu pun dah sewa tempat lain. Kita ambil keputusan sewa seluruh unit apartment itu. Waktu itu kami pun masih tidak ambil gaji lagi.

"Tapi pendapatan yang kami peroleh itu dah mula meningkat kepada sekitar RM20,000 sebulan," katanya.

Pada waktu itu, Mohd Mustafa berkata, pihaknya juga sudah menerima banyak tempahan daripada syarikat korporat bagi membekalkan barangan produk ukiran berasaskan kayu dengan segmen tersebut kemudiannya menjadi antara sumber pendapatan utama Senitukang.

Pindah studio baharu ketika PKP

Dengan perkembangan operasi perniagaannya, Senitukang seterusnya mengambil langkah berpindah ke satu studio baharu yang terletak di sebuah bangunan kedai dekat Selayang.

Perpindahan tersebut bagaimanapun berlaku betul-betul ketika negara baru sahaja memasuki fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pada awal 2020.

Namun, menurut Mohd Mustafa, perniagaannya dilihat tidak begitu terkesan dengan situasi tersebut dibantu antara lain kerana peningkatan jualan di platform dalam talian.

"Jadi waktu itu dia memang macam cantiklah. Masa PKP itu jumlah jualan kita agak stabil dan kita waktu itu pun dapat kembangkan produk kita kepada membuat hadiah kahwin dan juga kulit kayu sampul al-Quran," katanya.

458408831_485745034379446_3305345304481612811_n

Tempahan daripada syarikat korporat terhadap produk ukiran berasaskan kayunya menjadi sumber utama pendapatan Senitukang ketika ini. — Senitukang

Memasuki tahun kelima operasi perniagaannya, Mohd Mustafa berkata, syarikatnya kini sudah mula menunjukkan rekod peningkatan agak konsisten.

Ujarnya, Senitukang juga kini turut dibantu dengan tiga orang pekerja selain daripada dia dan rakan kongsinya.

"Anggaran untuk dua tahun lepas kita dapat dalam RM230,000 manakala 2023 pula adalah RM250,000.

"Kemudian untuk tahun ini sahaja, walaupun lagi beberapa bulan lagi nak sampai akhir tahun, kita dah berjaya capai jualan mencecah RM400,000," katanya.

Bergerak ke hadapan, Mohd Mustafa berkata, Senitukang menyasarkan untuk menghasilkan rekaan lebih eksklusif yang melambangkan jenamanya di samping memberikan tumpuan terhadap beberapa produk utama yang menjadi kekuatannya.

"Selain itu, kami juga sedang cuba perbaiki beberapa perkara daripada segi cara pembungkusan dan juga penetapan harga.

"Sebabnya produk kami ini daripada segi harga boleh dikatakan agak mahal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram