Perubahan tarikh Piala AFF sukarkan MFL 'adjust' jadual baki musim 2024/25


  • Podium
  • Selasa, 01 Okt 2024

MFL berdepan tugas berat untuk meminda jadual Liga M ekoran perubahan tarikh Piala AFF.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Selasa mengumumkan jadual Liga Super 2024/2025 bagi Oktober dan November lebih awal yang melibatkan perlawanan minggu 14 sehingga minggu 16 (LS14-LS16) bermula pada 25 Oktober 2024 sehingga 30 November.

MFL memaklumkan bahawa perlawanan bagi Oktober dan November tersebut dikeluarkan lebih awal bagi membolehkan kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) membuat persiapan lebih baik khususnya melibatkan aspek logistik pasukan.

"Pengumuman jadual perlawanan dalam tempoh dua bulan itu juga memberi ruang kepada MFL untuk menilai dan mengkaji susunan jadual terbaik dalam tempoh pertandingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 berlangsung iaitu pada 8 Disember 2024 sehingga 5 Januari 2025.

"Pada mulanya, MFL mendapat makluman pada 14 November 2023 daripada pihak penganjur Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bahawa tarikh asal Piala AFF adalah pada 23 November 2024 sehingga 21 Disember 2024 sebelum kemudiannya diubah kepada tarikh baharu iaitu 8 Disember 2024 sehingga 5 Januari 2025," katanya.

BACA LAGI: Hanya ada keturunan Malaysia melalui moyang, Mats Deijl tak jadi sarung jersi Harimau Malaya

BACA LAGI: 'Berjaya tewaskan Shanghai Shenhua bermakna JDT sedia jadi pencabar', Jordi Amat waspada 'set piece', ketinggian lawan

Jadual MFL

Jadual baharu yang baru diterbitkan oleh MFL.

Perubahan tarikh saat akhir itu secara tidak langsung menjejaskan perancangan awal kalendar Liga M pada Disember apabila MFL terpaksa merangka kembali jadual berkenaan.

"MFL hanya menerima makluman berkenaan perubahan tarikh tersebut daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 28 Ogos 2024 lalu yang secara tidak langsung menjejaskan perancangan awal kalendar Liga M pada Disember kerana pihak MFL terpaksa merangka kembali jadual berkenaan.

"MFL masih meneliti solusi terbaik untuk mengimbangi jadual yang lebih tersusun bagi memberi ruang terutamanya kepada dua kelab iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berentap di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 dan Selangor yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2024/25 bagi persediaan lebih baik.

"Ini juga turut melibatkan dua wakil Asean Club Championship (ACC) iaitu Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC yang akan meneruskan cabaran di peringkat kumpulan pada bulan Januari 2025 dan Februari 2025," tambahnya.

Di samping itu, selain menjaga kepentingan kelab yang terlibat dalam anjuran AFC dan AFF, MFL juga sedang berbincang bersama FAM untuk mencari solusi bersesuaian dengan kelab Liga Malaysia dalam tempoh Piala AFF berlangsung pada Disember ini.

Namun, baki jadual Liga Malaysia musim 2024-2025 akan diumumkan oleh MFL dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram