MUTAKHIR ini, isu buli di sekolah dilihat semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan kebimbangan yang serius dalam kalangan masyarakat.
Gejala buli tidak hanya melibatkan penderaan fizikal, malah turut memberi kesan mendalam kepada emosi dan mental mangsa.
Fenomena ini jika tidak ditangani dengan segera, boleh memberi impak negatif yang berpanjangan kepada generasi muda yang terlibat.
BACA LAGI: Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis
Bagi seorang guru tuisyen, Cheong Mei Yee, dia percaya ibu bapa dan cikgu memainkan peranan penting bagi mengelakkan gejala buli berlaku.
Katanya, budaya buli harus dibendung bermula dari rumah dan di sekolah.
"Jika kanak-kanak dibesarkan untuk menjadi baik dan menghormati orang lain, ia akan berlanjutan ke alam dewasa.
"Sekiranya anda melihat melihat seseorang dibuli, tetapi tidak berbuat apa-apa mengenainya, bagi saya, itu adalah tindakan yang salah.
"Seharusnya, jika anda melihat (buli) berlaku, anda mempunyai tanggungjawab untuk bersuara dan campur tangan. Namun jika ia akan mengancam keselamatan (seperti dibuli), maklumkan kepada pihak berkuasa," tegasnya.
Cheong Mei Yee
Mei Yee turut menasihatkan mangsa untuk mempertahankan diri mereka dengan cara yang tegas.
"Pertahankan diri sendiri tetapi jangan sampai bergaduh kerana jika mangsa malu dan takut untuk bertindak, pembuli mungkin akan menyasarkan mereka.
"Sehubungan itu, sekiranya pembuli menyakiti anda, anda perlu bersuara. Jika anda tidak berada dalam kedudukan untuk melawan, bercakap dengan orang dewasa yang dipercayai, atau hubungi talian bantuan daripada salah satu badan bukan kerajaan (NGO)," nasihatnya.
Mei Yee yang juga jurulatih tinju turut menekankan pembelajaran seni mempertahankan diri bagi membantu meningkatkan keyakinan di samping menjaga harga diri.
Mengimbau kembali saat dirinya mula menceburi sukan tersebut, dia menjelaskan, dia pada awalnya hanya mengambil kelas tinju dengan tujuan untuk menurunkan berat badan pada empat tahun lalu.
"Pada ketika itu badan saya agak berisi dan niat hanya untuk menguruskan badan tetapi lama-kelamaan minat terhadap sukan tersebut semakin mendalam.
"Kemudian apabila jurulatih tanya saya nak masuk pertandingan kickboxing (tinju) saya terus setuju.
"Kenapa tidak cuba sedangkan kita hanya hidup sekali," katanya.
Mangsa buli perlu tampil bersuara dan bertindak tegas terhadap pembuli. — Gambar Hiasan/Agensi
Menurut Mei Yee, selepas perlawanan pertamanya itu, dia telah menyertai empat hingga ke lima pertandingan anjuran Any Martial Arts, termasuk Fist of Glory 2024 di The Cage Lalaport BBCC, di Kuala Lumpur pada Ogos lalu.
Selain kickboxing, wanita berusia 24 tahun itu turut meminati sukan Muay Thai.
Pada Januari tahun ini, dia diberi peluang untuk menjalani latihan dan bertarung di Lumpinee Boxing Stadium, sebuah gelanggang tinju yang penuh sejarah di Bangkok, Thailand.
"Walaupun persediaan untuk pertandingan memerlukan tumpuan dan kekuatan mental yang tinggi, tetapi semuanya berbaloi," ujarnya.
Dia juga berharap agar lebih ramai wanita di luar sana mempelajari seni mempertahankan diri, Muay Thai dan menjadi 'Muay Ying', iaitu pejuang wanita yang berani dan gagah.
Sokongan untuk mangsa buli
Ng Ying Jie
Sementara itu, seorang lagi jurulatih sambilan Muay Thai dan tinju, Ng Ying Jie menegaskan mangsa buli perlu mendapatkan sokongan dan bantuan orang sekeliling mereka.
Malah, wanita berusia 24 tahun ini juga pernah melihat sendiri beberapa rakannya dibuli secara dalam talian.
"Dalam situasi tersebut, saya mengambil pendekatan untuk meluangkan masa bersama mereka dengan cara cuba mengalihkan fikiran mereka daripada pembuli.
"Pada masa sama, saya juga akan menggalakkan rakan-rakan saya yang dibuli untuk mengambil seni mempertahankan diri bagi membantu mereka membina keyakinan dan harga diri serta mengatasi trauma dibuli," ujarnya.
Sepanjang menceburkan diri dalam bidang seni mempertahankan diri tersebut, Ying Jie telah menyertai enam pertarungan amatur dan memenangi tiga daripada perlawanan tersebut, termasuk Any Martial Arts’ (Ama) Fist of Glory.
Menutup bicara, Ying Jie menasihatkan agar mangsa buli tampil bersuara.
"Jika anda dibuli, jangan simpan sendiri. Anda perlu bersuara dan juga memberitahu orang dewasa yang dipercayai (jika anda seorang kanak-kanak atau remaja).
"Jika anda berdiam diri, pembuli akan terus membuli anda, dan ia boleh hilang kawalan atau menjadi lebih teruk. Juga, bukan sahaja anda tetapi orang lain juga mungkin menjadi mangsa," tegasnya. — The Star/MING TEOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram