[VIDEO] Penjenayah hati kering, selamba larikan Toyota Alphard dalam pagar rumah depan mangsa sefamili di Ipoh


  • Tular
  • Isnin, 30 Sep 2024

Tangkap layar video tular memaparkan detik-detik sebuah MPV Toyota Alphard daripada kediaman rumah sebuah keluarga di Ipoh Perak pada awal pagi Ahad.

SEBUAH keluarga di Ipoh, Perak, pasrah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard milik mereka dilapor dilarikan di hadapan mata mereka dalam kejadian rompakan yang berlaku pada awal pagi Ahad.

Insiden di Gerbang Meru Indah itu tular selepas ia dikongsikan oleh salah seorang ahli keluarga mangsa terbabit menerusi akaun TikToknya, Wafa Izham.

Menurut perkongsian tersebut, perompak tersebut difahamkan menggunakan alatan teknologi kawalan khas bagi membuka pagar automatik dan kereta yang diletakkan di depan halaman kediaman terbabit.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Lebih mengejutkan, perompak berkenaan dilaporkan langsung tidak menunjukkan perasaan takut meskipun ahli keluarga berkenaan yang menyedari kegiatan itu cuba meminta bantuan dengan menjerit dan membunyikan penggera keselamatan pada kenderaan lain yang turut berada di kediaman mereka.

"Kejadian di Meru, Ipoh pukul 3.50 pagi (Ahad). Kereta kami dicuri dengan mudah. Pintu pagar automatik dibuka, unlocked kereta guna remote mereka dan tak takut langsung walaupun kami dah bunyikan alarm dan menjerit.

"Perompak tekad hidupkan enjin dalam tempoh lima hingga tujuh minit (agak lama) berbanding lari bila kami menjerit.

"Kami tak berani keluar takut perompak ada geng tunggu di luar atau ada pistol. Tak tahu nak kata apa," ujar tulisan pada video berkenaan.

Dalam pada itu, klip terbabit turut menunjukkan MPV terbabit berjaya dihidupkan dan keluar dari kediaman berkenaan sebelum beredar.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah perompak yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Perkongsian mengenai kejadian tersebut tular dan mendapat lebih 1.5 juta tontonan di TikTok.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram