PENGACARA sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA sedia bersalam dengan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bakal ditentang untuk merebut kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Azwan, 56, sebelum itu mengesahkan yang dia akan bertanding dalam PRU15 menerusi parti bebas kerana ramai yang inginkannya menentang Azmin.
Menurut Azwan, kali terakhir dia bertemu dengan Azmin adalah pada PRU14 dan mereka terputus hubungan selepas itu.
"Saya sendiri tidak tahu apa akan jadi kalau bertembung dengan dia esok (Sabtu) sewaktu penamaan calon.
"Kali terakhir saya jumpa dia pada PRU14 dan selepas itu tidak berjumpa lagi. Saya tahu, ramai yang menantikan detik pertemuan antara saya dan dia.
"Saya sendiri tidak tahu akan bersemuka atau tidak tetapi jika ya, saya sudah bersedia untuk bersalam dengannya," katanya kepada Majoriti.
Azwan Ali (kiri) akan menentang abangnya, Azmin Ali dalam PRU15.
Selain Azmin yang bakal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak, Azwan juga akan menentang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Azwan berkata, beliau akan hadir ke Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada Sabtu.
Sementara itu, Azwan turut mengambil peluang untuk menasihat Azmin supaya tidak melupakan asal usulnya.
Azwan Ali menggunakan gambar gajah yang sama seperti digunakan pada PRU14.
"Saya sebak sebab teringat arwah emak yang membesarkan kami. Saya tahu ramai yang tertanya-tanya mengenai punca keretakan hubungan kami, tapi tak mengapa teruslah berjuang," katanya.
Untuk rekod, pada PRU14, Azwan hilang wang pertaruhan apabila sekadar memperoleh 90 undi manakala Azmin meraih majoriti 25,512 undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram