MIMPI bertemu arwah ibu membuatkan pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Azwan, 56, berkata, dalam mimpinya, arwah ibunya, Che Tom Yahya berpesan kepadanya untuk tidak bertanding dalam PRU kali ini.
"Sebenarnya minggu lalu saya ada pergi ke kubur arwah dan meluahkan hasrat untuk bertanding dalam PRU15 menentang Azmin.
"Itu yang bila saya mimpi arwah ibu pesan jangan bertanding, hati saya cukup tersentuh," katanya kepada Majoriti.
Menurut Azwan lagi, selain arwah ibunya, dia juga sempat berhubung dan berbual dengan kakak iparnya yang juga isteri Azmin, Shamsidar Taharin.
Jelasnya, dia sudah tidak berhubung dengan kakak iparnya itu selama enam tahun dan mereka berbual selama lebih satu jam pada Jumaat.
"Dalam perbualan kami, dia ada beritahu yang Azmin selalu bertanyakan mengenai saya dan perkara itu membuatkan saya tersentuh.
"Jadi saya bulatkan keputusan untuk tidak bertanding tetapi dalam masa sama, saya mengucapkan selamat berjaya buat Azmin.
"Saya yakin dia boleh menang di Parlimen Gombak dalam PRU kali ini berdasarkan sokongan yang diberikan kepadanya," katanya.
Terdahulu, suasana di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak, Selangor meriah dibanjiri penyokong daripada pelbagai parti pada Sabtu.
Parlimen Gombak merupakan salah satu kerusi panas yang bakal menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru termasuklah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Umno Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Parlimen Gombak sebelum ini disandang Azmin iaitu bekas Timbalan Presiden PKR yang meninggalkan PKR pada Februari 2020 bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR, sekali gus menyaksikan kerajaan PH jatuh.
Kerusi panas ini juga akan ditandingi Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad dan wakil pejuang, Aziz Jamaludin Mohd Tahir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram