Lebih 35,000 produk dicipta hasil pakaian terbuang, Kloth bantu wanita B40 jana pendapatan


  • Bizz
  • Khamis, 19 Sep 2024

Gambar kiri: Pengasas bersama Kloth Circularity Sarahah (kiri) dan Nik Suzila Nik Hassan.

SEJAK pengenalan tong kitar semula kain diperkenalkan di Johor empat tahun lalu, lebih 800.9 tan pakaian dan tekstil terbuang berjaya diselamatkan daripada lupus di tapak pembuangan sampah.

Pengasas Kloth Circularity, Sarahah Kedah berkata, jumlah tersebut bersamaan dengan hampir lima juta t-shirt atau 32,000 beg baju berukuran sederhana penuh dengan tekstil dan hampir 2,000,000 kg pelepasan gas rumah hijau.

"Tahun lalu, tong kitar semula Kloth Cares telah mengumpul sebanyak 313.2 tan fabrik tidak diingini, yang jauh lebih tinggi berbanding dengan 207.3 tan yang dikumpul pada 2022," katanya kepada StarMetro.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Tahun ini, sehingga Julai, Kloth Cares telah mengumpul 197.6 tan tekstil dan pakaian terbuang melalui 77 tempat pengumpulan yang diletakkan di sekitar Johor.

Tong yang paling banyak mengumpulkan pakaian adalah di Sutera Mall dengan lebih daripada 200 tan kain dipungut dari April 2021 hingga Julai lalu.

Ini diikuti tong di Sunway Citrine hub dengan lebih daripada 41 tan dan di Universiti Teknologi Malaysia Skudai dengan lebih daripada 30 tan dikumpul.

Menurut Sarahah, bakul-bakul dengan jumlah pengumpulan yang tinggi dikosongkan pasukannya dua hingga tiga kali seminggu manakala pengumpulan di lokasi lain dilakukan sekali seminggu atau setiap dua minggu.

434192454_954787726653235_3368378843836114931_n

Antara tong pakaian kitar semula yang disediakan Kloth Circularity. — Kloth Circularity

Sejak 2018, Kloth Cares menempatkan lebih daripada 500 tong di seluruh Malaysia dan Singapura dengan lebih daripada 9,000,000 kg fabrik terbuang telah dikumpulkan, katanya.

Untuk mengurangkan sisa dan kesan alam sekitar, orang ramai digalakkan mengamalkan prinsip 5R iaitu memikir semula, mengurangkan, mengguna semula, memanfaat semula dan mengitar semula apabila membeli pakaian.

"Ambillah masa untuk memikirkan sama ada anda benar-benar memerlukannya. Adakah anda sudah mempunyai sesuatu yang serupa di rumah dan adakah item itu akan menambah kualiti hidup anda?

"Kurangkan - belilah hanya apa yang anda perlukan untuk memastikan sumber-sumber ini tidak terbuang percuma," katanya.

448815348_1023130716485602_8383057216849797803_n

Antara barangan yang terhasil daripada proses kitar semula pakaian terpakai dilaksanakan Kloth Circularity. — Kloth Circularity

Sarahah berkata, mengubahsuai atau menambah baik pakaian menjadi sesuatu yang baru seperti beg atau kantung beg kecil adalah cara lain boleh dilakukan.

"Kitar semula hanya sepatutnya menjadi pilihan terakhir kerana semua bahan hanya boleh dikitar semula dalam jumlah yang minimum sebelum mereka rosak," katanya.

Menurutnya, 10 peratus bahan baru dan boleh digunakan yang diterima akan diberikan kepada bahagian pengitaran semula mereka, Kloth Woman Up.

Menerusi jenama tersebut, mereka akan menghasilkan produk premium dan hadiah daripada kain kitar semula berkenaan serta dijahit oleh wanita daripada kumpulan pendapatan B40.

429562434_934220395376635_6917350645289473084_n

Program dilaksanakan Kloth Circularity turut menyediakan peluang pekerjaan untuk usahawan bagi menjana pendapatan menerusi penghasilan barangan daripada pakaian kitar semula. — Kloth Circularity

Langkah itu menurutnya secara langsung mencipta peluang pekerjaan dan menyediakan upah kepada golongan tersebut.

Dianggarkan sebanyak lebih 35,000 produk barangan dan hadiah berjaya dihasilkan daripada pakaian terbuang sejak Julai 2020 menerusi inisiatif Kloth Woman Up yang melibatkan kira-kira 50 wanita daripada golongan kurang bernasib baik.

Antara produk dikitar semula termasuk topeng muka dibuat menggunakan lebihan pakaian seragam, sarung tangan diperbuat daripada kain botol plastik kitar semula, pakaian korporat berjenama diolah menjadi sarung buku, dan mencipta mainan daripada kain terbuang.

"Kami juga mengedarkan pakaian kepada badan amal dalam situasi krisis, bencana alam dan bantuan banjir apabila kami menerima permintaan bantuan.

"Sisa 90 peratus bahan yang didermakan diproses oleh operator pengitaran semula tekstil kami mengikut gred A untuk barang dalam keadaan baik atau boleh dipakai manakala gred B untuk barang dalam keadaan sederhana hingga tidak boleh dipakai," katanya.

363996066_782805597184783_6649794758490671680_n

Antara pakaian terbuang yang berjaya dikitar semula. — Kloth Circularity

Barangan gred A akan dieksport ke negara membangun melalui pasaran pengitaran semula tekstil dan pakaian global serta dijual di pasaran tempatan.

Bagi barang gred B, pemulihan gentian akan dilakukan untuk membuat selimut gred rendah, digunakan sebagai pengisian penebat haba atau dicampur dengan gentian lain sebelum dieksport ke luar negara.

Ia juga akan dipotong menjadi kain lap pembersih industri dan ditukar menjadi tenaga sebagai bahan diproses.

Sarahah berkata, pihaknya menerima semua jenis pakaian termasuk pakaian selagi ia tidak berada dalam keadaan basah atau kotor.

Namun, Kloth Circularity tidak menerima tilam, sisa kain kurang dari 1 meter panjang, kaca, logam, kertas, plastik, perabot atau peralatan elektrik. — The Star/YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram