Demi jaga alam sekitar, Sok Peng sanggup jual 'refill' sabun pencuci guna botol terpakai, pensyarah UiTM pilih berkarya didik masyarakat


  • Massa
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Dua kaedah yang menjadi alternatif untuk mengurangkan kebergantungan terhadap plastik dalam komuniti di Malaysia.

MASYARAKAT kini semakin dipupuk mengamalkan budaya menjaga alam sekitar dengan mengurangkan kebergantungan terhadap plastik dalam kegunaan harian.

Ia selari dengan usaha kerajaan mengetatkan lagi undang-undang dan larangan penggunaan penyedut minuman, bekas makanan dan beg barangan runcit di premis seluruh Malaysia sejak 2022 lagi.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar pada Ogos lalu menyatakan bahawa peraturan itu bagaimanapun tidak membenarkan mana-mana pasar raya mengenakan caj bagi penyediaan semua jenis beg plastik termasuk jenis biodegradasi.

BACA LAGI: Elak anak ketagih gajet, keluarga ‘koboi Malaysia’ jadikan minat bela kuda sebagai tradisi

BACA LAGI: [VIDEO] Budaya pemandu bas sekolah di AS boleh jadi contoh elak anak terdedah bahaya

Screenshot (3317)

Penjualan sabun pencuci menggunakan botol terpakai antara alternatif mengurangkan penggunaan plastik. — Refiller Mobile

Konsep isian semula

Menyokong usaha itu, seorang wanita mengambil langkah menerapkan gaya hidup sifar plastik dengan mengisi botol terpakai dengan pelbagai produk cecair dari tangki-tangki kecil di dalam sebuah van biru kecil.

Pengasas Refiller Mobile, Oh Sok Peng, 47, membuat keputusan untuk menawarkan perkhidmatan berkonsepkan jualan produk pengisian semula itu di kawasan perumahan.

Refiller Mobile merupakan ejen pengisian semula bahan pencuci secara mesra alam tanpa menggunakan botol plastik di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Van biru kecilnya akan bergerak ke beberapa lokasi tertentu setiap minggu mengikut jadual yang dibuat dan dikongsikannya di media sosial.

Mengimbas kembali detik penubuhan Refiller Moblie, Sok Peng mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana mahu mencari tujuan hidup lebih bermakna selepas memikirkan soal usia yang semakin meningkat.

Tanpa sebarang perancangan sumber pencarian lain sebagai ganti, wanita itu pada awalnya memilih menjadi sukarelawan di Zero Waste Malaysia (ZWM) dan Trashpedia.

Pertemuan dengan sukarelawan lain tentang kesukaran mendapatkan produk mesra alam dan kitar semula mencetuskan ilham untuknya menyediakan perkhidmatan Refiller Mobile.

"Pada saya, amalan mengitar semula bagi mengurangkan penggunaan plastik perlu mempunyai pendekatan yang lebih inovatif," jelasnya.

Wanita murah senyuman dan cukup mesra melayani orang awam itu memberitahu, konsep tersebut sudah dimulakannya sejak Jun 2020 sekali gus merupakan inisiatifnya sendiri untuk menjaga kesejahteraan bumi.

Screenshot (3319)

Sok Peng menggunakan konsep pengisian semula dalam aktiviti jualannya. — Refiller Mobile

Pelanggan yang mahu membeli sabun pencuci dengan Sok Peng pula perlu membawa botol terpakai dari rumah untuk pengisian semula.

"Jika satu rumah menggunakan satu botol plastik pencuci, secara tidak langsung dapat menurunkan jumlah puluhan pembuangan botol plastik sebulan.

"Selain menjana pendapatan, saya mahu menyampaikan mesej kepada komuniti tentang pentingnya gaya hidup sifar buangan plastik demi kelangsungan ekosistem bumi," katanya.

Setiap destinasi yang dikunjungi bekas produser media itu juga mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam serta membuat kunjungan ke tapak parkir di kawasan komersial dan sekitar bangunan pejabat.

Refiller Mobile pada masa sama bertindak sebagai pemudah cara bagi individu dan keluarga yang ingin memulakan langkah kecil pembuangan plastik sifar, namun terikat dengan kesibukan jadual harian.

Teringat pada zaman kanak-kanak, Sok Peng menceritakan bagaimana tradisi orang dahulu berniaga dengan mengayuh beca dan hanya berhenti di lokasi-lokasi tertentu untuk berjualan kepada pelanggan tetap.

Itulah kaedah yang ingin dia terapkan dalam perusahaan mesra alam kendaliannya.

Kata Sok Peng, produk cucian digunakannya diborong daripada sebuah pengeluar produk cucian mesra alam, KitaRefill di Damansara Kim, Petaling Jaya, Selangor.

KitaRefill adalah sebuah kedai kecil menawarkan beraneka produk mesra alam berupa pembersih cucian isi rumah yang dijual secara pukal tanpa penggunaan plastik sekali pakai.

Detergen cecair mereka bukan sahaja berkualiti, tetapi bersifat lembut untuk bayi dan individu berkulit sensitif.

Refiller Mobile turut menawarkan harga yang kompetitif dan setiap produk cucian ditawarkan pada harga serendah RM4 satu liter.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mageswari Sangaralingam memberitahu bahawa pencemaran plastik tidak terbendung mengikut sempadan mampu memberi impak terhadap bumi.

Jelas beliau, kira-kira 400 juta tan sisa plastik dijana di seluruh dunia setiap tahun.

Menurut data Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, penjanaan sisa isi rumah termasuk semua jenis sisa bukan plastik berbeza mengikut geografi dan status ekonomi.

Kitar semula

Dianggarkan, hampir 0.85 kilogram (kg) hingga 1.5kg sisa buangan dihasilkan setiap individu dalam sehari.

Berdasarkan kajian SWCorp Johor, sebanyak 13.8 juta tan sisa pepejal direkodkan setiap tahun yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia.

Kajian komposisi yang dijalankan di 27 buah tapak pelupusan pada 2021 pula menunjukkan 23.9 peratus daripada sisa yang dilupuskan adalah kategori sisa plastik bersamaan dengan 3.2 juta tan setahun.

Mageswari berkata, masyarakat memerlukan satu perubahan sistematik dengan memikirkan semula cara penggunaan, mengubah reka bentuk, mengutamakan barangan yang tahan lama dan boleh diguna semula.

FAB52707-AFE9-4492-BC8A-04A14051A189

Sebanyak 13.8 juta tan sisa pepejal direkodkan setiap tahun di Malaysia. — Gambar hiasan/Agensi

Menurutnya, data global mendapati hanya 10 peratus daripada sisa plastik melalui proses kitar semula.

"Ramai tidak sedar bahawa plastik yang dikitar semula membawa lebih mudaratan berbanding kebaikan. Ia bertindak sebagai vektor untuk penyebaran bahan kimia toksik yang mengancam alam sekitar.

"Produk baharu yang diperbuat daripada plastik kitar semula mengandungi bahan kimia toksik. Sebanyak 107 bahan kimia ditemui dalam satu sampel dan 30 daripadanya mengandungi kepekatan bahan kimia termasuk bahan bioaktif dan racun perosak.

"Tempat pembuangan atau pelupusan sisa juga menyumbang kepada masalah kesihatan dan alam sekitar daripada pencemaran plastik," jelasnya.

Oleh itu, bagi mengurangkan penghasilan plastik, beliau amat menyarankan konsep guna semula botol dan plastik sedia ada di rumah.

Beliau berkata, pengguna perlu memastikan plastik dan bekas digunakan juga bebas daripada bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan.

Kitar semula melalui apresiasi seni

Bagi pengasas kolektif seni, AfterMath Thinker, Mohd Razif Mohd Rathi, 42, perubahan tingkah laku dengan konsep gaya hidup kitar semula sekali guna dapat membantu mengurangkan isu sisa pembuangan plastik.

AfterMath Thinker terdiri daripada lima individu daripada latar belakang seni berbeza, namun memiliki minat sama dalam meneroka budaya kitar semula melalui apresiasi seni.

Mula aktif sejak 2015 dalam mencipta seni menggunakan barangan terbuang seperti logam terpakai, kayu dan plastik, kelima-lima mereka juga bekerja sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Samarahan, Sarawak.

Kumpulan itu mengembangkan kepakarannya melalui isu alam sekitar dan lestari mendidik masyarakat setempat tentang kepentingan kitar semula melalui seni.

"Koleksi karya dihasilkan menyentuh isu kelestarian dan memberi peluang kedua kepada bahan sisa sebagai medium visual untuk berkomunikasi kepada masyarakat mengenai isu alam sekitar," jelasnya.

23517807_1547508798668822_8124233871843135721_n

Antara hasil seni yang dihasilkan menggunakan bahan plastik yang dikitar semula. — AfterMath Thinker

Kumpulan itu bagaimanapun mula memberi tumpuan kepada penghasilan seni arca menggunakan plastik selepas memenangi kedudukan sebagai Naib Johan pada Pertandingan Arca 3R Antrabangsa 2017.

Kurang penggunaan arca berjudul The Aftermath Thinker itu terhasil menggunakan sisa plastik Polietilena Ketumpatan Tinggi (HDPE) berkonsepkan guna semula (reuse), mengurangkan pembaziran (reduce) dan kitar semula (recycle) sebagai langkah mempromosikan budaya kitar semula melalui karya seni.

"Pencegahan sisa dan tiada lagi sisa berakhir dalam tapak pelupusan, dibakar atau tercicir dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar berpunca daripada sisa plastik.

"Pendekatan ekonomi pekeliling menerusi perancangan, penggunaan dan pengurusan semula produk dan bahan buangan terutama plastik dapat mencapai matlamat berhubung impak sisa plastik terhadap bumi," katanya.

Turut bersependapat dengan pandangan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia (YHM), Dr Nurul Muiz Murad berkata, peralihan terhadap penggunaan sisa plastik membantu pengurangan ketara dalam pengeluaran dan penggunaan plastik.

Perkara itu sekali gus dapat membantu melestarikan bumi yang semakin tenat dengan lambakan sisa plastik dan memberi impak terhadap pemanasan global dan jejak karbon menurun.

"Setiap jenis plastik berbeza dan boleh menimbulkan risiko terhadap kesihatan. Yayasan menggalakkan pergerakan konsep tertumpu kepada pencegahan sisa dan tiada lagi sisa berakhir dalam tapak pelupusan, dibakar atau tercicir dan pencemaran alam sekitar," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram