REDA dengan pemergian anak syurganya, bapa bayi berusia lapan bulan yang maut disyaki dibunuh oleh pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Alor Gajah, Melaka pada 6 September lalu memanjatkan kesyukuran apabila akhirnya dapat kembali menetap bersama isteri tercinta di negeri itu.
Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, menerusi hantaran Facebooknya pada Khamis berkata, penantian selama 14 tahun itu berakhir setelah sekian lama hidup berjauhan dengan isterinya.
Menurutnya, kematian anaknya, Muhammad Al Fateh Amri menjadi asbab untuknya menjalankan tugas di Melaka di samping keluarganya.
BACA LAGI: 'Pengasuh patut jalani penilaian mental sebelum diambil bekerja di pusat asuhan'
Mohd Fikry (kiri) yang melakukan pertukaran tugas di Melaka. — Facebook/Mohd Fikry
Mohd Fikry pada masa sama melihat perkara itu sebagai hikmah bagi memudahkan urusannya menziarahi kubur Al Fateh dengan kerap.
"Alhamdulillah, syukur selesai serah menyerah tugas. Penantian selama 14 tahun berakhir. Setelah sekian lama hidup berjauhan dengan isteri, akhirnya saya dapat hidup sebumbung.
"Pemergian Al Fateh menjadi asbab untuk saya kembali ke Melaka. Semoga dipermudahkan urusan saya di tempat baru. Dapat daddy (ayah) dan mommy (ibu) melawat kubur Al Fateh hari-hari. Insha-ALLAH," katanya.
Sementara itu, rata-rata warganet sempat menitipkan pesanan buatnya untuk terus kuat menghadapi dugaan itu.
"Semoga dipermudahkan segala urusan, ALLAH pasti menggantikan yang lebih baik dengan kehilangan permata syurga. Permata itu pastinya akan kekal bersinar di Jannah menanti ayah dan bondanya yang baik," komen Siti Zuraida Ct.
"Sesungguhnya apa yang terjadi itu pasti ada hikmahnya, ada lagi baik ALLAH nak bagi, yakinlah dengan-Nya," kata Nur Intan Belian.
Mohd Fikry bagaimanapun sempat memuat naik hantaran meluahkan kerinduannya terhadap Al Fateh.
"Daddy rindukan Al Fateh. Rindu tiada penghujung. Semoga kita dapat berjumpa lagi di syurga nanti ye anak.
"Daddy bersyukur sangat dapat merasai kehadiran Al Fateh walaupun hanya lapan bulan. Hanya video sebagai peneman dan pengubat rindu," luahnya lagi.
Terdahulu, Mohd Fikry menuntut pembelaan di atas kematian anak syurganya dan menggesa agar pengasuh dan pengusaha Taska tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Mohd Fikry turut memohon perkenan Yang Di-Pertuan Agong serta menggesa beberapa agensi kerajaan untuk memandang serius terhadap kes tersebut.
Sementara itu, tertuduh Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, yang mempunyai anak-anak berusia dua, enam dan lapan tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di taska berkenaan pada 6 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 13 November bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram