Terkejut situasi obesiti di Malaysia, Lee ambil langkah berani buka Salad Atelier sedia makanan sihat


  • Bizz
  • Sabtu, 28 Sep 2024

Menurut Lee (kanan), membina perniagaan berasaskan makanan sihat tidak hadir tanpa cabaran.

MEMBIMBANGKAN. Itulah perkataan yang tepat bagi menggambarkan statistik insiden obesiti di Malaysia.

Pada tahun lalu, kajian dilaksanakan mendapati lebih 54 peratus individu dewasa Malaysia kini memiliki keadaan sama ada berat badan berlebihan atau obes.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, angka itu menyaksikan peningkatan mendadak hampir 10 peratus sejak 2011.

Pada 2014, kajian jurnal perubatan British, The Lancet, menunjukkan Malaysia adalah negara dengan penduduk paling gemuk di Asia.

BACA LAGI: Inisiatif hidup semula bangunan 'mati', projek PAK beri nafas baharu kepada Pasar Awam Kluang

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Pengasas MBFE Sdn Bhd, Dylan Lee yang juga pemilik kepada jenama popular Salad Atelier, adalah antara mereka yang cukup terkejut dengan statistik tersebut.

Tercetus daripada situasi tersebut. dia kemudiannya memulakan misi untuk menjadikan gaya pemakanan mapan dan sihat boleh diakses oleh semua individu.

Lee memulakan perniagaan makanan dan minuman (F&B) pada 2014 selepas mendapat berita mengenai kedudukan obesiti Malaysia di Asia.

“Kita mempunyai masalah besar ini, dan saya rasa perlu ada sesuatu yang boleh kita lakukan untuk masyarakat. Ketika itulah saya memutuskan untuk memulakan usaha ini," katanya.

Sebelum mengasaskan Salad Atelier, Lee bekerja sebagai penasihat perniagaan di firma perakaunan PwC Singapura.

Di republik tersebut, adalah menjadi kebiasaan untuk melihat pekerja profesional berkunjung ke restoran yang memberikan pengkhususan dalam penyediaan menu salad dan makanan sihat.

“Di Malaysia, anda tidak begitu melihatnya. Pada masa itu, salad hanya terdapat di beberapa kafe dan restoran Barat, dan ia biasanya yang sangat asas seperti salad Caesar," katanya.

Salad Atelier, a go-to for health-conscious diners, marks its 10th anniversary this year.

Pada hari ini, Salad Atelier mempunyai 35 cawangan dengan tiga lagi akan dibuka menjelang akhir tahun.

Bagaimanapun, Lee berkata, usaha bagi membina perniagaan berasaskan makanan sihat tidak hadir tanpa cabaran.

Menurutnya, untuk membina permintaan dalam kalangan masyarakat, ia memerlukan perubahan terhadap sikap pengguna tempatan yang sudah terbiasa daripada segi amalan pemakanannya.

"Malah pada hari ini, ada orang yang mempunyai pemikiran: 'Mengapa saya mahu membayar lebih untuk sayur-sayuran sedangkan saya boleh membeli ayam pada harga yang lebih murah?'.

“Pada mulanya, pelanggan kami adalah 80 peratus ekspatriat dan 20 peratus penduduk tempatan.

"Tetapi selepas 10 tahun, saya boleh katakan majoriti besar adalah rakyat Malaysia,” ujarnya.

Menurut Lee, perkara itu disumbangkan antara lain usaha berterusan dalam mendidik orang ramai dan generasi muda untuk menggemari makanan lebih sihat.

"Sebahagian daripada strategi dilaksanakan melibatkan penyesuaian menu dengan cara yang memenuhi cita rasa tempatan, dan merapatkan jurang antara hidangan yang biasa dinikmati kepada pemakanan sihat.

"Jika anda ingin bercakap dengan masyarakat umum, anda perlu mengubah suai mengikut cita rasa mereka. Jadi kami mula-mula cuba menghidangkan nasi lemak kami dengan menggantikan nasi kepada dengan quinoa. Ini merupakan langkah menggabungkan makanan tempatan dengan makanan sihat.

“Dengan pilihan menu yang diilhamkan daripada cita rasa tempatan, kami dapat menarik minat dan cita rasa mereka yang masih meragui kepada makanan kami dan menunjukkan bahawa makanan sihat boleh mempunyai rasa yang enak dan menjadi sebahagian daripada diet utama mereka,” ujar Lee.

Ketika ini, Salad Atelier mempunyai 35 cawangan dengan tiga lagi akan dibuka menjelang akhir tahun.

Lee juga berkongsikan rancangan untuk membuka lebih 20 cawangan baharu pada tahun depan.

"Kami melihat budaya makan di kedai kembali meningkat. Selepas pandemik, saya pada mulanya menjangkakan peralihan ke arah penghantaran makanan akan terus kekal. Tetapi apa yang mengejutkan, orang ramai kini memang suka menjamu selera di luar.

"Rakyat Malaysia suka meluangkan masa di luar, dan mereka yang bekerja di pejabat juga menikmati masa untuk berehat sebentar dari kesibukan di pejabat dengan menjamu makanan di luar,” katanya.

Menu Salad Atelier, menampilkan mangkuk dan pembungkusan diubah suai mengikut pelbagai jenis salad sihat terdiri daripada bijirin, burger dan hidangan pasta yang mendapat permintaan ketara dalam kalangan orang ramai terutamanya pekerja pejabat.

"Secara amnya, operasi perniagaan kami berjalan dari Isnin hingga Khamis, iaitu apabila orang ramai bekerja dan memerlukan hidangan pantas dan sihat," kata beliau.

Bagi mereka yang memilih untuk membungkus, Lee berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif amalan mapan, restorannya menggalakkan pelanggan membawa bekas sendiri untuk mengurangkan sisa pembungkusan dan mereka yang melakukannya akan mendapat diskaun RM1.

Salad Atelier, meraikan ulang tahunnya yang ke-10 tahun kini menjadi nama popular untuk pengguna yang mementingkan kesihatan.

Syarikat induknya, MBFE, mempunyai cabang perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang menawarkan perkhidmatan katering berfokus kesihatan dan operasi kantin korporat.

Bahagian katering juga menyediakan bekalan makanan kepada syarikat yang beroperasi dalam industri gas dan minyak.

“Kami menceburi bidang katering sekitar tahun pertama hingga kedua selepas kami memulakan Salad Atelier. Ia bermula dengan kami mengambil lebih banyak pesanan pelanggan korporat untuk hidangan sihat, dan mereka akhirnya mula meminta kami menyediakan item di luar menu.

"Dari situ, kami melakukan semua jenis perkhidmatan katering dan kami juga mula menerima permintaan untuk menjalankan perkhidmatan kafeteria kepada syarikat.

“Menjelang 2017, kami mempunyai dapur pusat yang serba lengkap dan menyediakan makanan kepada restoran dan perniagaan katering kami,” kongsinya.

Lee berpandangan segmen perniagaan kepada pengguna (B2C) dan B2B MBFE saling melengkapi, dengan segmen pertama membentuk kira-kira 80 peratus daripada operasinya dan kedua pula 20 peratus.

"Itu nisbah terbaik yang saya mahukan," katanya, sambil menambah bahawa dia sentiasa berhasrat untuk mengekalkan keseimbangan operasi yang ideal tersebut.

“Kedua-dua komponen adalah sama-sama bermanfaat, kerana B2B memberikan anda pendapatan yang konsisten, manakala B2C memberikan ruang untuk anda melakukan lebih banyak lagi khususnya terhadap perkhidmatan dan menu makanan disediakan,” ujar beliau.

Snapinsta.app_445365358_18442200547031018_2408311386536413197_n_1080

Antara menu hidangan yang disediakan di Salad Atelier. — Salad Atelier

Lee juga sangat percaya terhadap kaedah operasi yang menggunakan pendekatan dapur berpusat terutamanya.

"Dengan pembelian secara berpusat, kita boleh mengetahui dengan tepat berlakunya kesilapan.

“Ramuan kami diperolehi terus daripada petani, dan kerana tiada orang tengah, kami tidak perlu membayar kos untuk perbezaan harga. Kelebihan dalam pengurusan kos ini kemudiannya turut dirasai terhadap harga yang perlu dibayar pelanggan,” jelasnya.

Mengenai matlamat untuk pertumbuhan dan pengembangan, Lee berkata, syarikat itu meletakkan sasarannya menyertai tawaran awam awal (IPO) beberapa tahun lagi.

"Kami merancang dan menyediakan diri untuk berpotensi mengambil jalan itu," dedahnya.

Selain itu, pihaknya turut mempunyai rancangan untuk memperluaskan jenama itu melangkaui pasaran tempatan.

"Kami menyasarkan untuk mempunyai Salad Atelier di segenap lokasi di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara, supaya makanan sihat boleh menjadi makanan ruji yang berpatutan untuk semua orang,” kongsi beliau. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram