EKOSISTEM pendidikan negara meliputi lima aspek iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan berjaya dimantapkan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sepanjang tempoh 11 tahun pelaksanaannya.
Dalam jangka waktu itu juga, PPPM berjaya merapatkan pelbagai jurang yang dihadapi dan semakin tekal menongkah arus pendidikan yang semakin mencabar.
Pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen KPM dengan kerjasama semua pihak berkepentingan dalam memastikan pelaksanaan transformasi pendidikan sentiasa berada di laluan yang betul.
BACA LAGI: KPM giat tingkat usaha penyediaan tambahan internet, tablet untuk sekolah Orang Asli di Pos Betau
Salah satunya adalah akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menyaksikan bidang pada suatu ketika dahulu dianggap pilihan kedua kini menjadi antara pilihan alternatif laluan pendidikan dengan peningkatan enrolmennya.
Bahkan tahap kebolehpasaran graduan TVET juga tinggi iaitu melebihi 95 peratus setiap tahun.
KPM juga memastikan inklusiviti dalam pendidikan melalui pendidikan khas bagi MBPK dan program pendidikan pintar cerdas bagi murid yang mempunyai IQ melebihi skor 130.
Ia sekali gus membuktikan bidang kemahiran itu mendapat pengiktirafan pihak industri dan merupakan satu lagi pilihan laluan pendidikan selain akademik.
Bukan itu sahaja pencapaian membanggakan PPPM. Andai ditelusuri satu persatu, banyak lagi yang boleh diceritakan dalam 'milestone' pelan pembangunan pendidikan negara itu.
Melihat kembali pelaksanaannya selepas 11 tahun, berikut digariskan lima aspirasi sistem PPPM dengan pencapaiannya.
1) Akses
Peningkatan enrolmen dalam semua peringkat persekolahan yang konsisten membuktikan tahap keyakinan pihak berkepentingan terhadap sistem pendidikan negara, di samping komitmen KPM dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh kesemua penduduk Malaysia.
KPM komited memastikan anak-anak 4 dan 5 tahun lebih dapat diberikan pendidikan awal, walaupun pendidikan di peringkat prasekolah bukan merupakan pendidikan wajib. Usaha ini dilaksanakan untuk meningkatkan persediaan anak-anak ini ke sekolah semasa peringkat sekolah rendah.
Enrolmen menengah atas juga diberi perhatian bagi memastikan murid dapat menamatkan pendidikan sehingga sekurang-kurangnya peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka.
KPM juga memastikan inklusiviti dalam pendidikan melalui pendidikan khas bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dan program pendidikan pintar cerdas bagi murid yang mempunyai tahap kecerdasan (IQ) melebihi skor 130.
Kadar keciciran sekolah juga menunjukkan trend yang semakin berkurangan, hasil intervensi yang dijalankan KPM bagi mengekalkan murid di alam persekolahan.
2) Kualiti
Bagi memastikan kualiti pendidikan yang berterusan, fokus utama diberikan kepada peningkatan profesionalisme dan kemahiran guru, peningkatan amalan dan pembudayaan dalam sesuatu bidang, di samping jaminan kualiti atau standard sesebuah institusi pendidikan.
Di peringkat prasekolah, tumpuan utama adalah memastikan bahawa guru prasekolah berkualiti dengan memilik Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Bagi menjamin kualiti serta standard prasekolah, KPM juga giat dalam usaha memastikan prasekolah swasta berdaftar dengan kementerian tersebut.
Dalam bidang TVET pula, memandangkan kadar kebolehpasaran TVET telah mencapai tahap melebihi 95 peratus setiap tahun, kini KPM menumpukan usaha untuk memastikan kebolehpasaran adalah padan dengan bidang pengajian, dan ini telah mencapai 73.4 peratus berbanding 34.57 peratus lima tahun dulu.
Literasi dan numerasi murid juga semakin meningkat di mana sekolah dalam kategori literasi dan numerasinya rendah telah semakin berkurangan.
KPM berusaha dengan penuh komitmen untuk memastikan tiada murid yang terpinggir tanpa mengira latar belakang mereka.
Bagi memastikan aspirasi murid dalam kemahiran berdwibahasa tercapai, KPM yang telah memperkenalkan dasar MBMMBI iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris giat menjalankan usaha dalam memastikan keterampilan murid dalam kedua-dua bahasa dipertingkatkan.
Justeru, KPM berusaha juga untuk memastikan guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris lebih kompeten dan mahir. Fokus bagi setiap inisiatif itu adalah untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan guru BM dan BI dalam menyampaikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan berkesan.
Selari dengan aspirasi murid agar berkemahiran dan menguasai bahasa, KPM juga memberi peluang kepada murid yang ingin menguasai bahasa tambahan melalui inisiatif bahasa tambahan di mana kerjasama strategik diwujudkan dengan kerajaan negara Jepun, Perancis, Korea dan Jerman supaya pendedahan dapat diberikan kepada mereka.
Seiring dengan Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan kerajaan, melalui inisiatif di bawah PPPM, pengintegrasian teknologi dalam PdP telah diperkenalkan sejak awal 2013 bagi memenuhi keperluan murid untuk Pembelajaran Abad ke-21.
Penglibatan Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa PISA dan TIMSS juga memerlukan kemahiran digital yang mana murid diukur berdasarkan domain literasi bacaan, matematik dan saintifik.
Trend peningkatan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta dalam bidang pendidikan menunjukkan pendidikan merupakan agenda utama dalam kemajuan sesebuah negara.
Dengan kerjasama PIBKS yang giat, kecemerlangan sesebuah insititusi pendidikan itu lebih terserlah. Justeru trend peningkatan pelibatan ibu bapa dan komuniti yang telah mencapai 97.9 peratus dan pelibatan sektor swasta yang mencapai 80.16 peratus merupakan satu peningkatan yang positif ke arah kualiti pendidikan yang lebih baik.
3) Ekuiti
KPM berusaha dengan penuh komitmen untuk memastikan tiada murid yang terpinggir tanpa mengira latar belakang mereka. Justeru setelah 11 tahun pelaksanaan PPPM, jurang pendidikan antara jantina dan status sosioekonomi semakin merapat.
Di samping itu, kadar lulus SPM juga telah berjaya dipertingkatkan secara konsisten.
Pendidikan Orang Asli dan Peribumi juga telah menunjukkan peningkatan dari segi kehadiran ke sekolah iaitu 83.12 peratus, serta kadar transisi murid dari tahun enam ke tingkatan satu juga telah meningkat ke 89.86 peratus.
Tumpuan kini diberikan terhadap meningkatkan kualiti pendidikan orang Asli dan Peribumi yang mana pencapaian penguasaan tahap minimum juga telah meningkat terutamanya bagi mata pelajaran Matematik.
Peratus enrolmen MBPK dalam Program Pendidikan Inklusif di sekolah juga telah meningkat kepada 89.89 peratus, dan kebolehpasaran MBPK telah mencapai 71.14 peratus, pencapaian yang tertinggi sejak tahun 2019.
4) Perpaduan
KPM menyedari kepentingan perpaduan dalam pendidikan dan telah giat mengadakan pelbagai program bagi memupuk perpaduan dalam kalangan murid serta warga pendidikan dari peringkat sekolah.
Melalui Kajian Indeks Perpaduan yang dijalankan, indeks perpaduan sekolah telah menunjukkan peningkatan kepada 7.51 iaitu erat.
Di samping itu juga, KPM telah menubuhkan satu Jawatankuasa Perpaduan di peringkat KPM bagi menyambut agenda perpaduan kerajaan.
Enrolmen menengah atas juga diberi perhatian bagi memastikan murid mendapat pendidikan sehingga sekurang-kurangnya peringkat SPM.
Selain memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, KPM juga berusaha membangunkan potensi dan karakter murid melalui pendidikan.
Inisiatif yang dijalankan telah berjaya memperkenalkan program khidmat masyarakat sebagai sebahagian daripada elemen dalam kurikulum untuk membentuk sahsiah murid sekolah. Penurunan bilangan sekolah bermasalah disiplin tinggi juga merupakan satu indikator peningkatan sahsiah diri murid.
5) Kecekapan
Salah satu aspirasi PPPM adalah memantapkan kecekapan sistem pendidikan. Dari segi kewangan, KPM telah berusaha mengoptimumkan perbelanjaan berasaskan keberhasilan program.
Dari segi teknologi pula, KPM telah berjaya melaksanakan Pemusatan Perkhidmatan Teknikal ICT KPM yang dapat menyelesaikan masalah berkaitan teknikal dengan lebih baik dan lancar dalam masa yang cepat mengikut Service Level Agreement (SLA) yang ditetapkan.
Dari segi kemudahan infrastruktur asas di sekolah, secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan di mana 100 peratus makmal di semua sekolah, Pusat Sumber (97.1%), Kemudahan sukan (95.7%) dan ruang pendidikan Islam (79.4%), telah berjaya dilengkapkan.
Namun, kemudahan mesra OKU masih lagi pada kadar rendah iaitu 28 peratus walaupun telah meningkat berbanding tahun sebelumnya. Ini merupakan antara jurang yang perlu ditambah baik bagi memastikan ekuiti pendidikan tercapai.
KPM sudah mula melaksana langkah proaktif dalam memastikan langkah intervensi terus diambil bagi menangani kekangan yang dihadapi.
Melangkah ke Hadapan
Dengan pencapaian yang amat menggalakkan bagi hampir semua sistem aspirasi, namun masih lagi terdapat cabaran yang perlu ditangani dan ketelusan laporan tahunan PPPM dapat memberikan maklumat tentang jurang pendidikan yang masih ada dan perlu diperbaiki.
Namun, KPM telah mula melaksana langkah proaktif dalam memastikan langkah intervensi terus diambil bagi menangani kekangan yang dihadapi.
Melalui Reformasi Pendidikan yang sedang diusahakan dalam enam bidang utama seiring dengan hala tuju kerajaan Madani, fokus diberikan terhadap kurikulum, prasekolah, STEM, TVET, MBMMBI dan Pendidikan Digital.
Setiap pencapaian yang direkodkan melalui laporan tahunan PPPM dari awal sehingga yang terkini perlu dijadikan rujukan supaya pengajaran dapat diambil bagi tidak mengulang kembali kesilapan masa lalu.
Selain memperoleh maklumat tentang kejayaan yang pernah dikecapi, laporan ini juga memberi maklum cabaran yang dihadapi, dan kerjasama yang diperoleh daripada semua peringkat pihak berkepentingan dalam usaha memastikan kejayaan transformasi pendidikan Malaysia.
Kritikan dan pandangan yang membina juga pasti membantu KPM memastikan segala yang diusahakan akan membuahkan hasil yang sudah tentunya akan memberi kebaikan kepada semua, khususnya dalam sistem pendidikan negara.
Segala kemajuan yang telah dicapai diharapkan dapat dilestarikan agar kemajuan yang lebih membanggakan akan dapat dicapai di masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram