BERMULA pada bulan ini, ibu bapa di seluruh negara mula menerima Bantuan Awal Persekolahan yang diperuntukkan Kerajaan menerusi Belanjawan 2024.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bayaran bagi bantuan tersebut akan diagihkan kepada muris secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing.
Dianggarkan langkah tersebut memberi manfaat kepada seramai 5,254,200 orang murid di seluruh negara.
Bagaimanapun, di sebalik berita baik tersebut, terdapat juga isu dilaporkan berlaku dalam proses agihan inisiatif tersebut.
Menerusi satu perkongsian di laman X, seorang individu dipercayai ibu bapa yang menggunakan akaun sam_me25 mendakwa dirinya hanya menerima RM50 daripada pihak sekolah ketika proses pengagihan bantuan tersebut.
"Tadi ibu bapa kena suruh ke sekolah ambil bantuan awal persekolahan RM150. Tapi kami kena bagi RM50 saja sebab kami kena bayar yuran PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan Koperasi," tulisnya menerusi perkongsian pada Rabu.
BACA LAGI: Selain BAP, ambil tahu 3 lagi bantuan sekolah bantu ringankan tanggungan ibu bapa
Bukti resit pembayaran PIBG dan koperasi yang dibuat oleh sam_me25. — Twitter
BACA LAGI: KPM tambah baik proses bantuan awal persekolahan — Fadhlina Sidek
Malah menurutnya, terdapat juga ibu bapa yang terpaksa merayu untuk mendapatkan jumlah penuh RM150 yang disediakan dalam bantuan tersebut.
"RM50 mana cukup untuk beli baju sekolah," ujarnya.
Menerusi ciapan sama, sam_me25 turut berkongsikan bukti resit pembayaran bagi kedua-dua perkara perkara berkenaan.
Bagaimanapun, hantaran itu tidak mendedahkan sekolah yang dimaksudkan melakukan tindakan sedemikian.
Sementara itu, di ruangan komen, terdapat warganet yang menyatakan bahawa ibu bapa tidak sepatutnya dipaksa untuk membuat bayaran bagi kedua-dua perkara tersebut yang hanya berbentuk sumbangan dan bukannya yuran.
"Kerajaan dah mansuhkan yuran. Sekarang guna terma 'Sumbangan’. Mungkin PIBG dan sekolah nak meningkatkan kutipan sumbangan PIBG, kerana kutipan sedia ada adalah rendah.
"Penggunaan terma ‘sumbangan’ menjadikan ia adalah tidak wajib," tulis Din_Lelong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram