FELDA Mata Air, yang terletak di kawasan sempadan Padang Besar, Perlis adalah lokasi menjadi rumah kepada komuniti petani luar bandar yang akrab.
Di kawasan ini, sebuah kedai roti terserlah, menawarkan roti, kek dan biskut segar kepada penduduk setempat.
Bakeri W.M.H. Enterprise beroperasi sejak 2018, dan apa yang menjadikannya benar-benar unik adalah ia dikendalikan seorang tukang roti bermasalah pendengaran bernama Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Saya memulakan kedai roti di rumah pada 2015, dan dengan bantuan kerajaan, saya membuka kedai saya pada 2018.
"Membuat kek memberi saya kegembiraan," kata Wan Muhammad Hafizunif, 28.
Dikenali sebagai Hafiz, dia sudah melalui perjalanan hidup yang begitu jauh sejak disahkan mengalami masalah pendengaran ketika kecil.
Tahun lalu, dia mencatat pencapaian terbesarnya apabila merangkul pingat gangsa dalam kategori menghias kek pada acara Abilympics ke-10 di Metz, Perancis.
“Saya tidak pernah membayangkan mampu beraksi di Abilympics apatah lagi mewakili negara dalam pertandingan sebegitu.
"Lebih manis apabila saya memenangi pingat gangsa untuk negara saya.
"Sukar digambarkan perasaan itu – saya sangat bangga,” kata bekas pelajar Sekolah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang itu.
Hafiz berkata, hiasan kek adalah satu bentuk terapi buat dirinya. — Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan
Abilympics ialah pertandingan antarabangsa berasaskan kemahiran untuk Orang Kurang Upaya (OKU), yang berasal daripada istilah "Olimpik Kebolehan".
Seperti Sukan Olimpik, Abilympics diadakan setiap empat tahun sekali.
Majlis Pemulihan Malaysia (MCR) menyelaras pertandingan Abilympics di Malaysia, memilih peserta OKU yang layak untuk mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa terbabit.
Sebagai pembuat roti istimewa sejak 2016, Hafiz mengikuti kursus masakan selama dua tahun di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di Arau, Perlis.
Dia berjaya menunjukkan pencapaian cemerlang ketika kursus tersebut dan akhirnya dipilih untuk menyertai Abilympics.
“Saya pada mulanya menyertai kelas masakan kerana minat memasak sejak kecil, membantu ibu di dapur. Tetapi apabila saya mula belajar tentang hiasan kek, saya mula berminat dengan itu.
"Ketika itulah keghairahan saya terhadap hiasan kek bermula, dan saya telah mempelajari perkara baharu mengenainya setiap hari. Motivasi daripada pensyarah saya juga meningkatkan minat saya.
“Saya memang sukakan perkara yang cantik, dan hiasan kek adalah satu bentuk terapi buat saya. Pemilihan saya untuk bertanding di Abilympics kerana bakat dan nasib baik saya,” jelas Hafiz yang memuat naik foto hasil kek air tangannya di laman Facebook.
Hafiz menunjukkan bagaimana, dengan latihan vokasional dan sokongan yang betul, sesiapa sahaja boleh merealisasikan potensi sebenar tanpa mengira kecacatan mereka.
Hafiz bersama ibu bapanya, Wan Roslan Wan Omar (kiri) dan Wan Zurina Wan Salin, yang menjadi tonggak kekuatannya. — Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan
Tambahnya, ibu bapanya yang merupakan peneroka Felda dan tiga adik-beradiknya merupakan penyokong dan tonggak kekuatan terbesarnya.
Ibunya Wan Zurina Wan Salin, 55, membantunya mengusahakan kedai roti.
"Tiada siapa yang mahu mempunyai batasan ini, tetapi saya bersyukur kerana keluarga sentiasa berusaha untuk kejayaan saya.
"Ibu bapa saya pernah cuba mendapatkan alat bantuan pendengaran ketika saya berumur kira-kira lima tahun, tetapi ia tidak berkesan untuk saya.
“Mereka memastikan saya mendapat pendidikan terbaik dengan menghantar saya ke sekolah pendidikan khas di Pulau Pinang, walaupun keadaan kewangan mereka tidak begitu baik.
"Tetapi mereka tetap berusaha untuk saya, dan pendidikan ini banyak membantu saya mendapatkan keyakinan untuk menghadapi kehidupan,” kongsi Hafiz, yang juga pernah mengikuti beberapa kursus singkat membuat kek bagi memperkemaskan lagi kemahirannya.
Hafiz percaya bahawa orang kurang upaya pendengaran tidak seharusnya membiarkan kekangan dihadapi menghalang mereka untuk berjaya.
“Cabaran terbesar saya ialah mempromosikan perniagaan dan menjangkau khalayak yang lebih besar.
"Tetapi saya juga percaya, tidak seharusnya membiarkan batasan menjadi alasan untuk tidak bekerja lebih keras. Kejar apa yang anda suka dengan tekad dan fokus.
"Kekuatan dan kelemahan adalah sifat peribadi, tetapi dengan keyakinan dan dedikasi, kami boleh mengubah cabaran menjadi aset terhebat,” katanya.
Pendedahan bakat
Dengan latihan yang betul, ahli komuniti pekak seperti Hafiz (dua dari kanan) boleh berkembang maju dan membina kerjaya yang cemerlang. — Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan
Sehingga kini, 46 peserta Abilympics Malaysia telah bertanding dalam enam pertandingan Abilympics di pelbagai negara, membawa pulang 14 pingat dan tujuh anugerah khas.
Antara 16 kategori yang dipertandingkan ialah sulaman, gubahan bunga, melukis, memasak, membakar dan fotografi.
Presiden MCR, Datin Paduka Khatijah Suleiman menjelaskan bahawa Hafiz dipilih untuk Abilympics ke-10 kerana bakatnya membuat kek yang cemerlang dan keupayaannya untuk memberi inspirasi kepada orang lain.
“Dia benar-benar luar biasa, dengan bakat yang sejajar dengan minatnya. Ia memberi inspirasi untuk melihat anak muda dari Perlis dengan semangat berdaya saing sebegitu.
"Saya amat mengaguminya dan amat berterima kasih kepada jurulatihnya atas kesabaran serta dedikasi mereka,” ujarnya.
Khatijah menambah bahawa Abilympics menawarkan platform berharga untuk orang kurang upaya, memberi mereka peluang untuk mempamerkan bakat dan potensi mereka setanding dengan rakan sebaya mereka yang berkemampuan.
“Penyertaan dalam Abilympics penting kerana ia memberi kuasa kepada orang kurang upaya untuk menunjukkan profesionalisme mereka dalam pelbagai tugas dan kategori.
"Peserta kami menerima bimbingan pakar daripada jurulatih bertauliah, yang meningkatkan kemahiran dan membina keyakinan mereka.
"Latihan memastikan mereka melaksanakan tugas pada tahap tertinggi.
“MCR komited untuk menyokong komuniti OKU melalui program kesedaran, jerayawara dan kerjasama dengan pertubuhan dan agensi bukan kerajaan.
"Kami berhasrat untuk menyediakan bengkel mengenai kemahiran yang diperlukan dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan," ujarnya.
Khatijah turut berkongsi harapan kepada kerajaan supaya mengiktiraf Abilympics bersama Paralimpik dan terus bekerjasama dengan rakan strategik untuk meningkatkan acara tersebut. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram