Berhabis modal hampir RM1 juta, ibu 6 anak asal Padang Terap bina aplikasi eDesa bantu PMKS luar bandar


  • Bizz
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Fadhilah mengasaskan eDesa yang dilancarkan pada 21 Februari 2022.

MEMBANGUNKAN atau membina satu platform atau aplikasi jualan dalam talian sememangnya bukanlah satu tugas mudah dan boleh dilakukan oleh semua.

Selain memerlukan kepakaran yang tinggi, pembangun juga perlu berdepan dengan persaingan yang sengit dalam kalangan pemain utama sedia ada dalam pasaran.

Cabaran itu termasuk daripada syarikat yang boleh dikatakan sudah terkenal dengan operasinya mencapai peringkat global dan serantau antaranya Shopee, Lazada serta termasuk platform media sosial yang turut menyediakan aktiviti jual beli seperti TikTok.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Namun, semua cabaran itu dilihat langsung tidak menggentarkan seorang wanita dari Padang Terap, Kedah untuk mula membangunkan satu aplikasi jualan dalam talian.

Fadhilah Azmi, 47, yang juga ibu kepada enam orang cahaya mata merupakan pengasas kepada platform aplikasi jualan dalam talian atau e-Dagang yang dikenali sebagai eDesa.

Mula dilancarkan pada 21 Februari 2022, e Desa merupakan platform yang dibina khusus untuk memasarkan produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terutamanya di kawasan luar bandar.

Dengan jumlah penjual yang mencapai lebih 3,000, antara jual beli tersedia meliputi produk desa, hasil kraf, perkhidmatan, inap desa, pertanian, makanan, sayuran dan buah-buahan, hasil laut, barang basah serta barang mentah.

Berkongsi mengenai idea penubuhan eDesa, Fadhilah berkata, platform tersebut pada asalnya merupakan aplikasi perkhidmatan penghantaran barangan untuk membantu peniaga setempat di Padang Terap ketika tempoh pandemik Covid-19.

Pada waktu itu, beliau langsung tidak mempunyai niat untuk memperbesarkan perkhidmatan tersebut ke luar daripada daerah berkenaan.

"Sebab kita tahu buat aplikasi dan sistemnya itu memerlukan duit dan pelaburan yang banyak.

"Jadi kami memang tidak mampu sebenarnya," ujarnya yang memulakan aplikasi berkenaan dengan bermodalkan RM30,000.

Bagaimanapun, dalam tempoh sebulan, aplikasi penghantaran berkenaan mendapat permintaan yang cukup tinggi dalam kalangan peniaga di daerah berkenaan.

"Masa bulan pertama itu kita sangat teruja. Sebabnya hanya dalam tempoh tersebut, kita berjaya bantu 140 peniaga dekat Padang Terap," katanya kepada Majoriti.

Walaupun tidak menghasilkan sebarang keuntungan daripada aplikasi penghantaran itu,Fadhilah berkata, beliau sangat berpuas hati kerana dapat membantu peniaga PMKS sepertinya.

Ujarnya, ketika itu, perkhidmatan tersebut mencatatkan angka jualan bernilai RM30,000.

"Memang tak untung pun. Masa itu kita ambil 10 peratus daripada setiap transaksi dijalankan. Jadi kalau nilai jualan RM30,000, kita cuma dapat RM3,000," kongsinya.

Bermula daripada situ, Fadhilah berkata, beliau bersama beberapa orang rakannya mengambil keputusan mengubah perkhidmatan penghantaran tersebut kepada sebuah pasaran dalam talian yang komprehensif.

Ujarnya, langkah tersebut juga dilakukan selepas mengambil kira rintihan daripada rakannya di dalam bidang PMKS yang berdepan dengan kesukaran bagi memasarkan produk berkenaan.

6316420253051109816

Tangkap layar antara muka eDesa di laman web.

Ini kerana menurutnya, rata-rata daripada platform pasaran yang wujud termasuk oleh syarikat antarabangsa dilihat lebih terlalu mementingkan pelanggan berbanding isu dihadapi peniaga.

"Jadi kita ambil keputusan untuk buat platform pasaran dalam talian dengan tiga fokus sahaja. Pertama bangunkan sistem. Kedua selenggara dan tadbir sistem tersebut.

"Ketiga kami buat bimbingan. Jadi kita buat tiga benda ini sahaja. Untuk yang lain, semua kami berkolaborasi," ujarnya.

Fadhilah yang juga graduan teknologi maklumat (IT) Universiti Malaysia (UM) terlebih dahulu memulakan perniagaan kedai percetakan di kampung halamannnya Padang Terap sejak 2011.

Sebelum itu, beliau bertugas sebagai pembangun perisian dan juga sistem IT di beberapa buah syarikat antaranya yang beroperasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, selepas hampir sedekad bergelumang dalam bidang berkenaan sejak 1999, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi memulakan perniagaan berkenaan di samping membesarkan keluarganya,

Dalam pada itu, Fadhilah berkata, pembangunan aplikasi eDesa mengambil masa selama dua tahun sebelum dilancarkan di seluruh negara pada 21 Februari 2022.

Ujarnya, proses membangunkan aplikasi berkenaan melibatkan empat tenaga kerja teknikal terdiri daripada dua pengatur cara dan dua pengurus termasuk dirinya yang bertanggungjawab sebagai pembantu pengurus projek.

Tangani isu dihadapi PMKS luar bandar

Mengulas lanjut, Fadhilah berkata, berbanding platform pasaran jualan lain, eDesa turut berusaha bagi menangani beberapa isu yang timbul dalam kalangan PMKS untuk memasarkan produk mereka.

Antaranya masalah pendedahan akses pelanggan terhadap kedai dalam talian mereka dan kekurangan bimbingan termasuk dalam isu pembungkusan dan penetapan harga.

"Jadi untuk itu, kami buat juga bimbingan secara praktikal. Aplikasi eDesa adalah platform jualan dalam talian pertama yang buat kelas bimbingan pembungkusan produk.

"Sebab kita tahu salah satu ketakutan peniaga PMKS ini adalah mereka takut produk sampai kepada pelanggan dalam keadaan teruk.

"Sudahlah untung tak bayak, lepas itu bila hantar, produk sampai dalam keadaan pecah. Dah jadi isu pula kena terima semula barang tersebut," ujarnya yang kini turut membesarkan enam anaknya yang berusia antara lima hingga 21 tahun.

Untuk tujuan bimbingan tersebut, Fadhilah berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan syarikat penghantar barangan.

Pada masa sama, ujarnya, eDesa turut mengambil keputusan untuk turun padang memberikan bimbingan di kawasan luar bandar di tempat pedalaman Sabah.

Selain menyediakan pendaftaran percuma kepada PMKS, eDesa cuma mengenakan caj perkhidmatan sebanyak tiga peratus di samping menyediakan bimbingan menerusi Program Desa To Global (DTG),

Menerusi DTG, penjual akan mendapat bimbingan dan latihan, kumpulan sokongan eksklusif termasuk pemantauan prestasi serta sokongan daripda rakan kolaborasi.

Selepas lebih dua tahun beroperasi, Fadhilah mengakui antara cabaran terbesar eDesa adalah untuk mendapat kepercayaan pelanggan terhadap platform tersebut.

Bagaimanapun, perkara tersebut dilihat semakin berjaya diatasi dengan pihaknya kini berjaya mencapai kadar pelanggan setia memuaskan dan nilai pembelian satu kali transaksi yang tinggi.

"Kalau dulu masa peringkat awal, orang beli RM10 dan RM5. Tapi sekarang ini transaksi masuk kebanyakannya atas RM100. Malah ada juga yang sampai RM1,200.

"Kemudian kita punya pelanggan tetap atau yang membuat pembelian berulang hampir 30 peratus. Jadi bila orang beli berulang kali, maknanya mereka percaya terhadap sistem kita," ujarnya.

Snapinsta.app_282808714_122790060422995_2336884708826980838_n_1080

Fadhilah (depan) ketika memberikan bimbingan kepada peniaga PMKS. — eDesa

Menurut Fadhilah, eDesa kini mempunyai seramai kira-kira 3,000 penjual PKS luar bandar di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, beliau berkata, eDesa kini turut bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menjadi ejen pendaftaran Skim Keselamatan Sosial (SPS) melibatkan 20 sektor pekerjaan sendiri terutamanya dalam kalangan usahawan yang bekerja sendiri.

Kemudian, eDesa kini turut berkolaborasi dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk memberikan akses pinjaman mikro-kredit kepada peniaga.

Kerjasama lain yang sedang dilaksanakan termasuk dengan aplikasi pembayaran, Setel dan penyedia perkhidmatan internet, Unifi.

Bergerak ke hadapan, Fadhilah berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencatatkan jumlah transaksi mencapai sejuta menjelang tahun depan.

Selain itu, eDesa juga menyasarkan bagi mewujudkan pusat pembungkusan dan pembelajaran di setiap kawasan luar bandar dan seterusnya melahirkan sekurang-kurangnya 100 peniaga SKS dengan 1,000 unit simpanan stok (SKU).

Ditanya mengenai pendapatan yang diperolehi daripada eDesa, Fadhilah mengakui pihaknya masih belum mendapat pulangan daripada platform berkenaan.

Ujarnya, pada waktu ini, pihaknya bergantung kepada pendapatan yang diperolehi daripada kelas bimbingan yang dianjurkan kepada peniaga PMKS.

"Bulanan punya penyelenggaraan pun seperti server dan sebagainya menelan puluh ribu juga. Pulangan itu memang belum dapat.

"Biasanya untuk perniagaan macam ini lazimnya memerlukan masa tiga hingga lima tahun. Tapi bagi saya secara peribadi, saya tidak pandang benda itu.

"Kalau semua benda hanya fikir duit, memang takkan jalan benda ini. Tapi saya buat sebab saya yakin ia boleh bantu ramai PMKS di seluruh negara yang bergelut untuk pasarkan produk mereka," ujarnya yang berkongsikan sudah mengeluarkan perbelanjaan kasar hampir RM 1 juta bagi membangunkan eDesa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram