Harumkan nama Johor, Khairunnisaa teladan terbaik kuasai bahasa Inggeris hasil didikan ibu bapa, amal sikap ulat buku


  • Massa
  • Sabtu, 28 Sep 2024

Pertandingan pengucapan awam atau pidato bahasa Inggeris membantu Khairunnisaa meningkatkan kebolehan dan keyakinan diri. — The Star

MEMBESAR dengan rancangan animasi seperti Barbie dan Tangled, remaja perempuan, Khairunnisaa Afiqah Ahmad Khairi menonjolkan kemampuan dan minatnya terhadap penggunaan bahasa Inggeris pada usia masih muda.

Tabiat pelajar berusia 13 tahun yang gemar bertutur dalam bahasa Inggeris juga menyebabkan dia menerima gelaran 'British' oleh rakan-rakan di sekolahnya.

Khairunnisaa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ali Haji Ahmad di Pontian, Johor berkata, potensi dirinya itu mula disedari dan dibantu oleh guru sekolah rendahnya bernama Siti Munirah Ismail.

BACA LAGI: Komited beri akses pendidikan, kerajaan bakal laksana program intervensi mapan atasi masalah keciciran pelajar

BACA LAGI: Berani tonjolkan diri, ibu tak pernah berhenti buka jalan Zaza kembangkan bakat atas pentas

SMK Dato’ Ali Haji Ahmad student Khairunnisaa Afiqah Ahmad Khairi won first place at the Dare to Spell challenge, part of the Johor English Carnival held in Johor Baru in July. With her is her father Ahmad Khairi Zaini.

Khairunnisaa Afiqah (kanan) dan ayahnya, Ahmad Khairi Zaini (kiri). — The Star

Tanpa usaha, impian hanyalah khayalan semata-mata. Justeru, keputusan menjadi ulat buku banyak membantu Kharunnisa dalam memperbaiki kemahirannya berbahasa Inggeris.

Bercerita kisah di sebalik kelebihan yang dimilikinya itu, Khairunnisaa berkata, ibu bapanya mengambil langkah mendedahkannya kepada siri buku Inggeris seperti Geronimo Stilton dan Diary of A Wimpy Kid seawal usianya empat tahun lagi.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan oleh ibu bapa termasuk guru sekolah demi membantunya mengasah keupayaannya.

"Dengan dorongan daripada guru-guru dan ibu bapa, saya mula menyertai pelbagai pertandingan seperti pengucapan awam, nyanyian berkumpulan, dan mengeja sejak saya berada di Tahun Empat.

"Ketika di sekolah rendah, saya memenangi pertandingan 'Berani Mengeja' peringkat daerah Pontian selama tiga tahun berturut-turut dari Tahun Empat hingga Enam.

"Malah, saya juga memenangi tempat pertama dalam pertandingan sama di peringkat negeri mewakili Johor baru-baru ini," katanya.

Berkongsi serba sedikit tentang rahsia kejayaannya itu, Khairunnisaa berkata, buku dan dirinya bagaikan isi dengan kuku.

Menurutnya, dia sentiasa membawa buku untuk dibaca ketika masa lapang seperti waktu rehat atau sedang menunggu guru di kelas.

lovely-asian-young-lady-portriat-happy-woman-lifestyle-concept

Amalan membaca yang diterapkan membantu Khairunnisaa meningkatkan keyakinannya untuk berbahasa Inggeris. — Gambar hiasan/Agensi

Antara bahan bacaan kegemarannya adalah siri novel dengan genre jenayah dan thriller iaitu John Grisham yang memfokuskan kepada sistem perundangan dan kehakiman.

"Saya juga suka baca siri John Grisham kerana penulisannya membuatkan saya lebih yakin nak mencabar diri untuk mencapai tahap asas penguasaan bahasa Inggeris standard.

"Novel itu sekali gus beri inspirasi kepada saya untuk terus berusaha mengejar cita-cita menjadi pegawai pendakwa suatu hari nanti," ujarnya.

Khairunnisaa pada masa sama berkata, peranan penting ibu bapanya yang tidak pernah berhenti memberi sokongan, bimbingan, nasihat serta mengorbankan waktu bekerja untuk menghantarnya ke lokasi pertandingan amat dihargainya.

Pelajar Tingkatan Satu itu turut berharap agar pertandingan bahasa Inggeris lebih kerap dianjurkan agar pelajar sepertinya mempunyai lebih banyak peluang bagi meningkatkan kemahiran penggunaan bahasa tersebut.

Baginya, dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik, pelajar boleh meningkatkan keyakinan terutamanya dalam pengucapan awam dan menulis karangan atau laporan supaya dapat menyampaikan mesej dengan berkesan.

Screenshot (3399)

Karnival Bahasa Inggeris Johor yang membantu para pelajar menonjolkan potensi diri mereka. — Facebook

"Hal ini kerana, bahasa Inggeris adalah bahasa perantara komunikasi utama untuk berhubung dengan orang dari seluruh dunia," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Zaidatul Zurita Abdul Rahman berkata, cabaran pertandingan 'Berani Mengeja' adalah sebahagian acara dalam Karnival Bahasa Inggeris Johor yang dianjurkan selama dua hari pada 23 dan 24 Julai lalu.

Karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor itu meliputi enam kategori pertandingan melibatkan 242 pelajar dari 11 daerah.

Ia juga merupakan antara inisiatif yayasan terhadap pencapaian pendidikan Malaysia serta bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di seluruh Johor.

Zaidatul berkata, selain dapat menyerlahkan bakat dan idea pelajar, pertandingan seperti itu juga mampu memberi manfaat kepada daya berfikir secara kreativiti dan inovasi khusus buat golongan muda di negara ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram