SETIAP orang di muka bumi ini mempunyai peluang mencari rezeki walau apa jua keadaan termasuk golongan kelainan upaya (OKU).
Berkongsi visi dan misi yang sama, kira-kira 140 individu buta sanggup hadir di karnival Hari Kerjaya Untuk Individu Kurang Upaya Penglihatan 2024 di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur pada 10 September lalu.
Karnival kerjaya yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama oleh MAB, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Persekutuan Majikan Malaysia itu menawarkan platform dan peluang untuk bertemu dengan majikan dari beberapa syarikat berpotensi di Malaysia.
BACA LAGI: Uli doh guna satu tangan tanpa lihat dan dengar, Andrew bukti OKU juga boleh bekerja
Karnival yang membantu golongan OKU penglihatan di Malaysia mendapat pekerjaan. — The Star
Platform tersebut secara tidak langsung dapat membuka ruang kepada golongan terbabit menonjolkan kemahiran atau kelebihan yang ada dalam bidang tertentu.
Melihat kembali keberhasilan program tersebut, kesemua pengunjung OKU penglihatan tidak teragak-agak meskipun terpaksa merentas beberapa kilometer jauhnya dari rumah mereka.
Kebanyakan mereka juga dalam kalangan belia berusia 20 dan 30-an serta warga emas yang lingkungan usianya 60 dan 70-an.
Buktinya, seorang pengunjung buta bernama Brian Khoo Chong Tian, 20, sanggup bangun pada awal pagi untuk ke karnival tersebut dari rumahnya di Klang, Selangor.
Brian memulakan perjalanannya pada pukul 7 pagi dengan menaiki perkhidmatan rel Transit Aliran Massa (MRT) dan tiba di MAB tepat pukul 9 pagi serta sabar menunggu sejam sebelum karnival bermula.
Brian (kiri) mencari peluangnya di karnival kerjaya tersebut. — The Star
Bekas pelajar St John's Institution, Kuala Lumpur itu bersemangat untuk mendapatkan pekerjaan sambilan dengan membawa resume bersama keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Pendidikan Khas.
"Saya hadir ke karnival ini untuk cari kerja sambilan dan dapatkan sedikit duit poket. Saya sangat hargai karnival seperti ini kerana ia beri peluang kepada individu OKU penglihatan untuk cari rezeki.
"Ramai orang juga berjuang untuk dapatkan pekerjaan dan lebih sukar bagi mereka yang serba kekurangan.
"Hal ini kerana, kebanyakan syarikat ragu-ragu untuk ambil individu OKU bekerja atau menganggap tidak mampu menggalas tugas tertentu kerana keterbatasan kami. Tetapi sebenarnya kami boleh lakukannya jika diberikan peluang," katanya.
Brian turut mengambil kesempatan itu untuk memohon jawatan di syarikat pengurusan acara dan platform perhubungan antara atlet dan jurulatih sukan secara dalam talian.
Katanya, meskipun mempunyai batasan penglihatan, namun dia berkebolehan menyelesaikan pelbagai tugas menggunakan teknologi digital terkini.
Thanamalar sanggup menghabiskan lebih empat jam di jalan raya untuk merebut peluang tersebut. — The Star
Selain Brian, seorang lagi pengunjung, Thanamalar Narayanasamy, 34, yang menghidap glaukoma (penyakit saraf mata sehingga boleh menyebabkan buta kekal) sanggup datang ke ibu negara dari Johor beberapa jam sebelum karnival itu bermula.
Dengan tekadnya itu, Thanamalar menaiki bas dari Larkin Sentral, Johor Bahru pukul 11 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 4.30 pagi.
Lebih sedekad berpengalaman sebagai pengendali hotel dan pembantu jualan di sebuah gedung beli-belah di Johor, Thanamalar bertujuan mahu memulakan semula hidupnya dengan suasana baharu.
Dia yang juga sebelum ini menyertai beberapa program latihan vokasional di MAB juga berhasrat mengembangkan potensi dirinya dalam bidang lebih meluas.
"Saya berharap untuk mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan pelanggan sesuai dengan lapan tahun pengalaman dalam bidang ini.
"Mencari kerja memang mencabar, jadi saya rela hati untuk cuba cari peluang lain juga.
"Tetapi saya nak buktikan yang orang seperti kami boleh menyesuaikan diri dan bersedia untuk menghadapi cabaran baharu," katanya.
Golongan buta diberi peluang mendapatkan pekerjaan melalui karnival itu. — The Star
Dalam karnival itu, setiap calon yang membuat permohonan akan diteliti dan dinilai berdasarkan pengalaman dalam resume untuk menawarkan jawatan sesuai.
Pameran kerjaya dalam pada itu menawarkan lebih 321 kekosongan jawatan dari 12 majikan yang menyertainya dan memberi peluang pekerjaan kepada komuniti tersebut.
Menteri KESUMA, Steven Sim Chee Keong menyatakan bahawa terdapat 61,112 individu kurang upaya penglihatan yang berdaftar di Malaysia sehingga Julai 2024 berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Sosial.
“Setiap tahun, sekitar 3,000 individu OKU penglihatan mendapat manfaat daripada pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh MAB termasuk sokongan kerjaya dan pembangunan kemahiran.
"MAB juga berjaya membantu lebih 500 graduan buta mendapatkan pekerjaan di sektor awam dan swasta, berdasarkan kesesuaian serta kemahiran mereka," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram