DIKENALI sebagai seorang kanak-kanak yang petah berkata-kata dan berani menonjolkan bakat di hadapan khalayak ramai, nama Nur Ayeesha Azzaleea Mohamed Mukhriz sentiasa menjadi perhatian.
Tidak padan dengan umur 11 tahun, Nur Ayeesha Azzaleea atau lebih mesra disapa Zaza mengakui tidak pernah rasa takut atau panik untuk berada di atas pentas.
Anak tunggal dalam keluarga itu mendedahkan, latihan sambil mempresentasikan pengucapan di hadapan dinding mahupun cermin banyak membantu dirinya mengumpul keyakinan dan sentiasa tampil bersedia.
BACA LAGI: 'Tidak mustahil Malaysia setanding Eropah', pelukis asal Perak pendam idea martabat seni lukisan
Zaza sangat minat dan aktif dalam pengucapan awam.
Selain hebat bertutur menggunakan bahasa Inggeris, Zaza juga aktif dalam bidang tarian dan menyimpan impian untuk memberi lebih banyak pendedahan tentang budaya dan seni tradisional Malaysia di luar negara.
Minat yang digilap sejak seawal usianya 6 tahun itu juga membuahkan hasil apabila menerima banyak kunjungan majlis untuk membuat persembahan tarian bersama rakan seperjuangannya.
Bukan sekadar itu, Zaza tanpa ragu menyatakan hasratnya untuk mengambil peluang mengembangkan lagi bakat melalui penyertaan pertandingan atau program di luar negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea, China dan Bangladesh.
Menurut Zaza, dirinya kini sangat memberi fokus penuh terhadap minatnya dalam bidang tarian.
"Memang ada rancangan untuk belajar di luar negara dan mahu menyambung pengajian dalam jurusan seni tarian.
"Saya juga bercita-cita menjadi seorang guru menari dan boleh mengajar budaya serta tarian tradisional Malaysia," katanya kepada Majoriti.
Memiliki personaliti menarik, Zaza pastinya menjadi perhatian tidak kira di mana jua dia berada termasuk di sekolah.
Selain pengucapan awam, Zaza juga aktif melibatkan diri dalam bidang tarian.
Zaza bagaimanapun tidak dapat menolak bahawa terdapat segelintir rakan-rakan mahupun pelajar lain yang mempunyai tanggapan negatif terhadapnya.
"Saya rasa lebih baik abaikan sahaja persepsi-persepsi negatif. Lagi bagus jika tidak campur tangan.
"Langkah terbaik yang saya boleh lakukan adalah tidak bercakap tentang perkara itu kerana ia akan menjadi lebih teruk jika saya layan," katanya.
Zaza juga menyatakan bahawa sudah mempersiapkan diri daripada sudut pelajaran dan minatnya sebelum melangkah ke fasa remaja kelak.
Katanya, dia sedang berusaha untuk mendapatkan markah terbaik setiap kali peperiksaan dan cuba memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di luar negara seperti diidamkan selama ini.
Dorongan ibu
Meskipun dilihat dengan kelebihan itu, ibunya, Norani Mohd Sarawanie, 43, mendedahkan bahawa Zaza pernah berdepan dengan speech delay ketika belum mencecah lima tahun.
Menurutnya, Zaza mula petah bercakap pada usia lima tahun ke atas dan menguasai bahasa Inggeris sejak dihantar ke sekolah swasta yang sepenuhnya menggunakan bahasa tersebut sepanjang sesi pembelajaran.
Keyakinan Zaza yang didorong oleh ibu dan bapanya, Mohamed Mukhriz Maidin, 41.
Pengaruh rakan-rakan di sekolah itu secara tidak langsung membantu meningkatkan keyakinannya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Menjadi pendorong kuat Zaza, Norani tidak pernah berhenti membuka peluang untuk anak kesayangannya mencungkil bakat di pelbagai platform.
"Zaza sangat suka belajar bahasa dan ikut loghat yang betul. Selain bahasa Inggeris, Zaza kini sangat menunjukkan minat bagi menguasai bahasa lain seperti Mandarin, Tamil dan Korea.
"Saya tidaklah ajar semua bahasa itu, tapi Zaza dengan usaha sendirinya belajar melalui platform-platform yang ada sekarang seperti TikTok, YouTube dan banyak lagi," katanya.
Norani pada masa sama menjadi antara individu yang sering berada di samping Zaza tidak pernah menghalang anaknya daripada meneroka sebarang cabang ilmu.
Dia yang juga merupakan seorang guru bahasa Melayu di sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) USJ 12, Subang Jaya, Selangor, sentiasa memastikan Zaza mendapat haluan dan peluang yang tepat.
Tidak hanya menuruti permintaan Zaza, Norani turut mengambil inisiatif untuk melaksanakan rancangan program sendiri tentang kepentingan membina keyakinan diri.
"Kami sebenarnya ada rancang nak buat satu program untuk kanak-kanak bina keyakinan diri seperti Zaza.
"Memandangkan Zaza berkebolehan dalam pengucapan awam, jadi kita nak kongsi kepada ibu bapa lain dan bantu mereka didik anak menjadi lebih berani menyerlahkan bakat di khalayak ramai," jelasnya.
Sementara itu, gelagat Zaza dan Norani sering kali mencuri tumpuan apabila kebanyakan video mereka tular di media sosial.
Video tersebut juga kebanyakannya menggunakan slanga Amerika dan British sehingga ada yang menyatakan Zaza meniru gaya percakapan pelakon terkenal, Zahirah McWilson.
Norani bagaimanapun berkata, meskipun anaknya dilihat menguasai bahasa Inggeris, Zaza masih boleh bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik, bahkan pernah beberapa kali memenangi pertandingan bercerita dalam bahasa kebangsaan itu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram