Graduan Al-Azhar asal Taiping jadi perintis buka ladang dhab pertama di Malaysia


  • Bizz
  • Rabu, 25 Sep 2024

Azhar (gambar kiri, dua dari kanan) mula berniaga menjual produk berasaskan dhab selepas pulang daripada pengajiannya di Mesir sekitar tahun 1990-an.

AZHAR Mohamed Shapawi, seorang bekas guru agama berusia 52 tahun, menjadi penternak dhab pertama di Malaysia dengan membuka ladang seluas kira-kira dua ekar di Taiping, Perak.

Ladangnya yang menempatkan hampir 200 ekor dhab, termasuk dua ekor dhab tertua berusia 20 tahun berasal dari Mesir, iaitu tempat Azhar mula berkenalan dengan perniagaan berasaskan haiwan itu ini semasa belajar di Universiti Al-Azhar.

Dhab, yang dikenali dengan nama saintifik Uromastyx aegyptia, merupakan haiwan padang pasir dari tanah Arab. Inspirasi untuk menceburi bidang ini datang daripada potensi besar dan keunikannya, yang mana penternakan dhab di Malaysia masih belum diterokai sepenuhnya.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Berkongsi kepada Majoriti, Azhar berkata, beliau mula berjinak-jinak dalam perniagaan dhab ketika menjadi penuntut ljazah Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir sekitar 1990-an.

Pada 1994, beliau mengambil keputusan membawa dua ekor dhab ke Malaysia untuk membiayai kos pengajiannnya di Timur Tengah dengan antara produk dijual berupa minyak urut dan makanan kesihatan.

a456dd2c-7751-4569-b425-0293ba7b4734 (1)

Minyak urut merupakan antara produk popular berasaskan dhab.

Selepas pulang ke Malaysia, Azhar berkata, beliau meneruskan tugas sebagai guru agama sambil turut menjalankan perniagaan jualan produk ubatan berasaskan haiwan tersebut.

Bagaimanapun, anak jati Taiping itu kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti mengajar dan menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap perniagaan tersebut pada 1998.

"Waktu itu saya jual pun mula dekat pasar malam dan menternak haiwan tersebut di rumah dengan kawasan seluas kira-kira tiga meter persegi," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azhar mengakui bahawa beliau berdepan dengan cabaran yang cukup besar untuk memulakan penternakan dhab di Malaysia ditambah dengan keadaan cuaca yang sama sekali berbeza berbanding Timur Tengah.

Ujarnya, perubahan cuaca musim hujan berterusan yang akan membuatkan haiwan ini mudah terkena penyakit selsema atau jangkitan paru-paru dan perlu dirawat segera menggunakan antibiotik.

"Dhab tidak mampu hidup dalam habitat yang sejuk dan lembap, maka kita perlu sediakan spotlight (lampu limpah) untuk kegunaan malam hari selain matahari di waktu siang.

"Jadi saya belajar ini semua melalui pengalaman sendiri menerusi 'trial and error'. Daripada situ baru saya tahu apa yang sebenarnya diperlukan oleh dhab ini daripada segi persekitaran, makanan dan keperluan," ujarnya yang mengambil masa kira-kira 15 tahun untuk menguasai ilmu menternak dhab di Malaysia.

WhatsApp Image 2024-09-24 at 12.13.50 (1)

Antara pengunjung yang melawati ladang ternakan Dhabsinai Farm di Taiping, Perak.

Dalam pada itu, bercerita dengan lebih lanjut, Azhar berkata, secara saintifiknya, dhab mampu hidup lama dan mencecah usia sehingga 100 tahun.

Namun, menurutnya, untuk memastikan perkara tersebut, haiwan tersebut perlu dijaga secara rapi dan diberikan nutrisi pemakanan yang sesuai dan berkhasiat meliputi sumber protein, kalsium serta fiber.

"Jadi kita memastikan empat perkara ini dilengkapi dengan pemilihan sayur dan kekacang gred A dalam diet pemakanannya setiap hari," ujarnya yang juga bapa kepada tiga cahaya mata.

Pada waktu ini, ladang ternakannya yang mula beroperasi di Kampung Pak Dollah Kamunting, Taiping pada 2023 menempatkan kira-kira 200 ekor dhab dengan dua haiwan paling tua berusia lebih 20 tahun dan itu merupakan induk pertama didatangkan dari Mesir.

Menurut Azhar, konsep pembangunan ladang tersebut diciptakan olehnya sendiri supaya bersesuaian dengan habitat asal haiwan tersebut yang terletak di kawasan panas dan kering seperti di padang pasir.

Beliau turut dibantu oleh lima orang pekerja untuk menjalankan operasi harian di ladang berkenaan.

Walaupun dhab halal dimakan, namun ladangnya hanya menawarkan kajian intelektual dan penghasilan produk sendiri sahaja.

Ujarnya, beliau masih belum menjual daging dhab secara terus disebabkan penternakan dhab ini masih di peringkat kegunaan sendiri belum mencapai tahap komersial ekoran jumlah ternakannya yang masih sedikit dan proses tumbesaran yang agak lambat.

Berkongsi mengenai proses penghasilan produk kesihatan berasaskan dhab di ladang, Azhar berkata, kesemua langkah dilakukan mesti mendapat kebenaran dan kelulusan kementerian kesihatan.

Jelasnya, dhab yang disembelih akan dikeringkan untuk proses penghasilan kapsul dan minyak haiwan ini wajib menjalani ujian makmal sebelum dijual di pasaran.

Menurut beliau, produk yang dikeluarkan dari ladangnya turut diperakui halal dan mempunyai sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP).

"Ketika ini, kami hanya menghasilkan produk berbentuk minyak urut, jamu, kapsul suplemen kesihatan, minuman kopi dhab, dan balm," ujarnya memaklumkan dhab turut boleh dijadikan sebagai sejenis ubat perangsang tradisional bagi kekuatan tenaga batin.

1230ef7c-bdf6-46b3-852f-92bb6a174a2b

Lawatan ke ladang Dhabsinai Farm dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Azhar berkata, setakat ini, pihaknya membekalkan sekitar 5,000 hingga 10,000 unit minyak urut kepada pasaran di dalam negara dengan kira-kira 2,000 daripadanya dijual secara terus di ladangnya.

Dengan kewujudan ladang ternakan berkenaan, beliau kini turut menumpukan untuk memperkembangkan segmen agropelancongan dalam perniagaannya.

"Alhamdulillah sambutan agak menggalakkan dari penduduk setempat termasuk dalam kalangan pelancong luar daerah yang ramai teruja datang melihat haiwan dhab secara dekat," ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut menerima sokongan agensi kerajaan termasuk panduan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terutama dalam hal penjagaan dan kesesuaian habitat haiwan tersebut.

Untuk orang ramai yang berminat, lawatan ke ladang Dhabsinai Farm di Kamunting, dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang dengan pengunjung berpeluang melihat dhab secara dekat dan menyentuh sendiri haiwan tersebut di 44 buah kandang yang disediakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram