LAPAN tahun lalu, Saiful Firdaus Sulaiman membuat keputusan berhenti kerja sebagai cef hotel untuk menjual gula apong – makanan manisan kurang dikenali dibuat masyarakat sungai di Sarawak – kepada dunia.
Selepas bergelut selama hampir dua tahun gara-gara pandemik dan berdepan masalah kualiti produk tidak konsisten, ketabahan dan semangat ditunjukkan lelaki berusia 40 tahun itu menarik perhatian sebuah agensi kerajaan yang mengambil langkah untuk memberikan syarikatnya sokongan diperlukan bagi meluaskan pasaran ke peringkat global.
Pada hari ini, gula apongnya dieksport ke Brunei, Singapura, Arab Saudi, dan tidak lama lagi, China dan Jepun, hasil sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
"Kami juga telah memasuki perniagaan teh susu, membekalkan rangkaian terkenal dengan produk kami," kata lelaki berusia 40 tahun itu dengan bangga.
Syarikatnya kini menggaji seramai 12 orang dan mempunyai pendapatan tahunan kasar sebanyak RM1.2 juta pada 2023.
Gula apong dikeluarkan syarikat Saiful kini dieksport ke Brunei, Singapura, Arab Saudi, dan tidak lama lagi, China dan Jepun, hasil sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). — Facebook/SaifulFirdausSulaiman
Pada 2016, Saiful berpeluang untuk melihat permata tersembunyi yang terdapat di hutan bakau Sarawak.
Pokok nipa, atau Nypa fructicans, menawarkan nektar manis yang cukup bernilai, dituai oleh penduduk kampung sejak sekian lama.
Sumber itu diperoleh dengan cara ditoreh, dikumpulkan dengan susah payah dan kemudian perlahan-lahan dimasak menjadi gula organik yang enak dan dikenali sebagai gula apong, mengambil daripada istilah tempatan di mana pokok terbabit berasal – pokok apong.
Daripada segi sejarah, gula apong dikhaskan untuk hidangan tradisional asli.
Hari ini, ia boleh ditemui sebagai ramuan dalam aiskrim, penambah pencuci mulut, kek dan pemanis semula jadi dalam minuman buatan tangan.
"Kami berbangga untuk memperkukuh ekonomi tempatan dengan mengubah gula apong menjadi rangkaian produk inovatif," kata Saiful.
Tambahnya, piawaian ketat syarikatnya berjaya menghasilkan sirap gula apong, kiub, butiran dan pes berkualiti tinggi yang berjaya menangkap inti pati tumbuhan bakau di Borneo.
Menceritakan perjalanan keusahawanannya, Saiful bermula pada 2016, dengan hanya dua pekerja dan wang simpanan RM100,000 daripada pekerjaannya sebagai chef dan keuntungan diperolehi daripada kedai membaiki telefon bimbit.
Antara produk gula apong yang dikeluarkan oleh Saiful. — Facebook/SaifulFirdausSulaiman
“Pada 2018 kami mula menangani cabaran secara berterusan – daripada turun naik kualiti kepada isu kebersihan dan hasil. Saya bekerjasama rapat dengan petani tempatan, memantau penanaman dan teknik pemprosesan,” katanya.
Beliau juga membantu penanam dalam membina jalan masuk dan menambah baik peralatan pengekstrakan.
Ketika produknya mula mendapat perhatian, kehadiran wabak Covid-19 menyebabkan segala-galanya kembali terhenti.
Saiful bagaimanapun tidak berputus asa.
Beliau mengambil keputusan menumpukan perhatian terhadap penyelidikan dan membangunkan pendedahan produknya di platform dalam talian untuk memasarkan jem dan sirap gula apong, sekali gus memanfaatkan trend seluruh dunia ke arah makanan organik dan semula jadi.
Pada penghujung 2020, FAMA dan Unit Pemandu Agenda Bumiputera (TERAJU) mengiktiraf potensinya dan menghulurkan bantuan termasuk dana RM500,000 yang berjaya mentransformasikan perniagaannya ke peringkat lebih tinggi.
Gula apong pada asalnya merupakan makanan tradisional masyarakat di Sarawak. — Facebook/SaifulFirdausSulaiman
“Saya tidak pernah terfikir untuk mendapatkan bantuan kerajaan; berdikari adalah satu-satunya strategi saya. Bahawa institusi-institusi ini menyokong saya seolah-olah satu pengiktirafan terhadap usaha saya,” katanya.
Mengulas mengenai usaha FAMA dalam membantu usahawan muda seperti Saiful, ketua pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, Geran Agropreneur Muda agensi itu setakat ini sudah memanfaatkan seramai 1,512 individu dan perniagaan.
Program itu bertujuan untuk meningkatkan penyertaan golongan muda dalam keusahawanan tani di keseluruhan rantaian nilai daripada pertanian, penternakan, perikanan sehinggalah kepada aktiviti seperti pemasaran dan agropelancongan.
Ia membabitkan bantuan bernilai sehingga RM20,000 kepada setiap individu.
“FAMA juga tidak hanya menunggu permohonan secara pasif; kami secara aktif mencari produk yang menjanjikan,” kata Abdul Rashid.
Saiful (tiga dari kiri) ketika melawat hutan bakau yang menjadi tempat gula apong dituai. — Facebook/SaifulFirdausSulaiman
Sokongan mereka meliputi langkah meneliti rumusan produk, menghasilkan pembungkusan berkesan, menjalin hubungan dengan vendor antarabangsa dan memudahkan penyertaan dalam pameran perdagangan global untuk mempamerkan produk Malaysia.
Tidak daripada sekadar bantuan kewangan, FAMA juga komited menghapuskan halangan biasa yang dihadapi oleh usahawan muda, seperti keperluan modal permulaan yang membebankan.
"Sokongan kewangan yang mencukupi adalah penting, tetapi begitu juga dengan menyediakan bimbingan, pengetahuan teknikal, peluang rangkaian dan akses kepada pasaran - ini adalah pemangkin sebenar untuk keusahawanan dalam kalangan belia," tambahnya.
Beliau mengakui terdapat jurang dalam pengetahuan dalam kalangan usahawan muda mengenai pembungkusan dan mempersembahkan produk mereka dengan berkesan.
"Tanpa pembungkusan premium dan pemasaran yang bijak, produk terbaik mungkin tidak akan dikenali," tegasnya. — The Star/KHOO GEK SAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram