'Pasar raya, peruncit perlu bantu tingkat kesedaran,' produk bioplastik Maribumi Starchtech kini sudah matang, sedia tingkat kapasiti hingga 4 juta plastik


  • Bizz
  • Selasa, 24 Sep 2024

Ar M Faizal (kiri) menunjukkan antara produk bioplastik oleh Maribumi Starchtech.

PENGGUNAAN produk lestari di Malaysia semakin penting dalam menghadapi cabaran global yang berdepan dengan beberapa isu utama antaranya perubahan iklim, pencemaran alam sekitar, dan kekurangan sumber semula jadi.

Barangan lestari merujuk kepada produk dihasilkan dan digunakan dengan cara mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar bermula daripada peringkat sumber penghasilan hingga proses pembuangan.

Di Malaysia, antara barangan lestari mula dibangunkan sebagai alternatif kepada penggunaan plastik konvensional adalah bioplastik yang diperbuat daripada bahan semula jadi seperti kanji jagung, minyak sawit, dan tebu.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Malaysia, sebagai negara yang kaya dengan sumber pertanian dan biodiversiti mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju dalam pengembangan dan penggunaan bioplastik.

Meskipun terdapat kemajuan, tahap kesedaran dan penggunaan bioplastik masih menghadapi beberapa cabaran termasuk kos pengeluaran tinggi dan kekurangan infrastruktur pengurusan sisa secara efektif.

Di Malaysia, antara syarikat yang terlibat secara langsung dalam pembangunan dan pengeluaran bioplastik ialah Maribumi Starchtech.

Ketua pegawai eksekutifnya, Ar M Faizal Zainol berkata, perkembangan teknologi bioplastik sememangnya sudah mengalami penambahbaikan dan kemajuan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Malah katanya, dalam tempoh tersebut, industri pembuatan bahan alternatif itu juga kini berjaya untuk menangani beberapa isu yang sebelum ini menjadi halangan kepada penggunaannya yang lebih meluas di dalam negara.

"10 tahun lalu pun kita memang dah ada bioplastik. Tapi, masa itu, teknologi dia tak matang. Prestasi pengeluaran pun tak dapat yang macam kita harapkan. Jadi masa itu, orang cakap oh pakai bioplastik, tapi tak tahan.

"Sebabnya waktu itu dia tak sampai lagi satu kualiti yang betul-betul yang pengguna perlukan. Tapi sekarang ini teknologi yang kita ada sebenarnya sudah capai kepada kualiti tersebut dan sudah tidak ada masalah sebenarnya," katanya kepada Majoriti.

432697000_442502371771514_8749544689242297308_n

Produk bioplastik Maribumi Starchtech turut dikeluarkan dalam apron pakai buang untuk kegunaan petugas kesihatan. — Maribumi Starchtech

Untuk rekod, Maribumi Starchtech merupakan pengeluar biokompos terkemuka di Malaysia yang melakukan pelaburan dalam menghasilkan produk mampan dan mesra alam.

Syarikat itu terlibat dalam aktiviti teras yang berpusat dalam pembuatan 100 peratus produk biokompos sejak 2009.

Ar M Faizal berkata, setakat ini, pihaknya mempunyai beberapa jenis produk biokompos antaranya beg sampah, beg bertangkai, beg tanaman, apron dan lapik serba guna.

Menurutnya, selain boleh terurai atau terbiodegradasi dalam tempoh 180 hari, penghasilan kesemua produknya turut mementingkan amalan lestari di keseluruhan rantaian pengeluarannya termasuk penggunaan bahan sumber.

Ar Faizal berkata, Maribumi Starchtech turut memastikan perlindungan produk berkenaan daripada pencemaran mikrob atau organisma bersaiz mikroskopik seperti bakteria, arkaea, protozoa dan beberapa jenis kulat.

"Kita punya proses pembuatan, kita tak akan sentuh kita punya resin (bahan sumber) atau kita punya produk supaya ia tidak tercemar. Ini kerana kita yakin kita punya tangan pun ada mikrob.

"Kemudian untuk pembungkusan pun kita pastikan perkara ini (elak tercemar). Sebabnya berbeza dengan plastik biasa, bioplastik akan lebih cepat terurai jika ia terdedah kepada mikrob. Kalau plastik biasa, dia beza. Letak dekat tempat biasa pun ia takkan terurai," ujarnya.

Ar M Faizal menambah, langkah pembuatan tersebut turut membolehkan produknya bebas daripada menghasilkan mikroplastik yang kini menjadi sebahagian daripada ancaman terhadap rakyat Malaysia khususnya daripada segi kesihatan.

445376579_489184460436638_7948002933943199251_n

Produk bioplastik keluaran Maribumi Starchtech turut memberikan penekanan terhadap menangani isu mikroplastik yang merupakan antara ancaman baharu terhadap kesihatan rakyat Malaysia. — Maribumi Starchtech

Dalam pada itu, beliua mengakui bahawa isu perbezaan harganya yang agak mahal iaitu kira kira dua kali ganda berbanding plastik biasa menjadi antara isu yang menjadi penghalang kepada penggunaan bioplastik di dalam negara.

"Mungkin kalau normal normal plastik 10 sen, untuk bioplastik pula harganya dalam 20 sen. Tapi perkara ini sebenarnya berbalik kepada volume juga. Kalau tempahan tinggi, harga pun akan lebih murah," katanya.

Bagaimanapun, Ar M Faizal berkata, untuk mengatasi halangan tersebut, pengguna khususnya peruncit dan pasar raya tempatan perlu meningkatkan kesedaran dan mengubah pemikiran terhadap kepentingan bagi beralih kepada jenis plastik lebih lestari.

"Sebenarnya kita masih dalam proses untuk sebarkan kesedaran dan kepentingan bioplastik ini kepada orang ramai.

"Kalau ikut untuk jangka masa panjang, memang kita tengah bekerjasama dengan syarikat seperti rangkaian kedai runcit dan pasar raya untuk pasarkan produk kita. Selain itu, kita juga menjualnya di platform dalam talian," ujarnya.

Pada masa sama, Ar M Faizal berkata, Maribumi Starchtech kini turut sedang dalam perbincangan untuk bekerjasama dengan beberapa peruncit tempatan untuk membawa masuk produk bioplastiknya dengan kerjasama tersebut dijangka direalisasikan pada penghujung tahun ini.

Bergerak ke hadapan, beliau berkata, Maribumi Starchtech juga menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada sebanyak satu hingga empat juta plastik dalam tempoh dua bulan akan datang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Kalau ikut kapasiti, kita memang besar. Tapi sebagai pengeluar tempatan, kita sedia untuk pasaran Malaysia dulu. Selepas itu baru kita cari peluang untuk luaskan ke pasaran di Eropah atau Asia," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram