IBU kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin menuntut keadilan atas kematian anaknya yang ditemui meninggal dunia pada Disember tahun lalu.
Berkongsi hantaran di laman Instagram pada Jumaat, Ismanira Abdul Manaf, 29, berdoa agar pelaku diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman di dunia atas perbuatan dilakukan.
BACA LAGI: JKM teliti orang yang layak jaga adik kepada Zayn Rayyan
"Ya ALLAH, dengan sesungguhnya dan dengan rendah hati di hari Jumaat yang mulia ini, aku mohon keadilan buat anakku Zayn Rayyan Bin Zaim Ikhwan di dunia ini juga Ya ALLAH, kasihanilah anakku Zayn Rayyan atas apa yang telah menimpanya.
"Kau keluarkanlah si pelaku dari tempat persembunyiannya, kau buatlah si pelaku menyerah diri dan mengaku bersalah," katanya.
Terdahulu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari ditahan di Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 13 Jun lalu pula, kedua-duanya didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu.
Tertuduh, Zaim dan Ismanira bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di sebatang anak sungai sehari selepas dia dilaporkan hilang di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor pada 6 Disember tahun lalu.
Laporan bedah siasat yang dikeluarkan mengesahkan kanak-kanak itu mati dibunuh ekoran terdapat kesan kecederaan pada leher serta badannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram