Elak guna bahasa rojak, DBP galak anak muda berbangga guna bahasa kebangsaan


  • Massa
  • Rabu, 25 Sep 2024

Seluruh rakyat Malaysia mempunyai peranan penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan. — Gambar hiasan

BAHASA mencerminkan bangsa, menggambarkan sikap atau budaya seseorang sekali gus memainkan peranan penting terutamanya dalam menyatukan masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Melalui bahasa juga mampu menonjolkan keunikan dan warisan tradisional di samping melambangkan jati diri negara di peringkat global.

Namun, sejak kebelakangan ini, sukar untuk kita menolak realiti bahawa bahasa kebangsaan tidak lagi digunakan secara menyeluruh dan sering dicampur adukkan sama ada dalam penulisan atau pertuturan.

BACA LAGI: Terperangkap di orbit, 2 angkasawan AS kongsi pengalaman bau angkasa ketika bertahan di ISS

BACA LAGI: [VIDEO] Elak risiko, teknologi dron bantu pihak berkuasa buat operasi kawalan mencabar

Buku Hikayat Hang Tuah: Manuskrip Terawal Tahun 1758 yang diterbitkan oleh DBP menjadi jualan buku paling laris ketika PBAKL 2024. (2) –KAMARUL ARIFFIN/TheStar

Bahasa yang dapat melambangkan keunikan warisan dan budaya sesebuah negara. — Gambar hiasan/The Star

Hal ini mungkin dipengaruhi oleh budaya luar atau perkembangan teknologi serba canggih yang menyebabkan sesetengah individu menggunakan bahasa rojak.

Ada yang berpendapat bahawa seluruh rakyat perlu mempunyai rasa bangga menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Malaysia.

Meskipun kelahiran generasi baharu banyak memperlihatkan pelbagai perkataan baharu dan moden, akan tetapi pemahaman terhadap perkataan tersebut perlu dititikberatkan.

Mungkin gelombang sedemikian sukar untuk dielakkan, namun sebagaimana dunia di hujung jari, seperti itulah bahan rujukan yang sudah banyak disediakan bagi mengenal pasti perkataan yang tidak difahami.

Ketua Pengarah Dewan Pustaka Dan Pustaka Malaysia (DBP), Dr. Hazami Jahari berkata, generasi muda merupakan golongan yang sangat aktif, kreatif dan inovatif dalam menggunakan bahasa mewakili kelompoknya.

"Ramai dalam kalangan generasi ini mempunyai pengaruh dan pengikut khususnya alam maya, dunia perniagaan, penyiaran, media massa dan sebagainya. Banyak yang menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan bersusila.

"Namun demikian, masih ramai yang tidak mengendahkan bahasa, khususnya bahasa kebangsaan dalam penggunaan harian," katanya.

Impak daripada penggunaan bahasa Melayu yang tidak sempurna, maka akan terbinalah bahasa kasar yang tidak mengikut sistem tatabahasa indah dan sopan.

Hal ini berlaku berikutan bahasa dicampuradukkan dengan bahasa-bahasa lain sesuka hati dan sebagainya.

Kemunculan perkataan baharu seperti swafoto (selfie), tular (viral) dan sebagainya sama sekali tidak mencacatkan penggunaan bahasa Melayu.

6022739748084364560

Penggunaan bahasa rojak sering digunakan dalam penulisan atau percakapan. — Gambar hiasan/The Star

Bahasa rojak

Serapan daripada bahasa serumpun misalnya, bahasa Indonesia ataupun daripada kata pinjaman bahasa Inggeris, Arab, Jepun dan sebagainya akan menjadikan kita lebih kaya perbendaharaan kata.

"Hal ini membuktikan bahasa kebangsaan mampu dan akan terus hidup serta berkembang. Pengguna bahasa dapat dipilih dengan lebih banyak kata untuk dipelbagaikan," jelasnya.

Namun, Hazami menyifatkan perkataan slanga yang bermaksud penggunaan bahasa tidak rasmi dan ungkapan-ungkapan tidak dianggap sebagai standard dalam dialek tidak kekal lama.

Selain itu, beliau turut berkongsi dua pendapat tentang penggunaan bahasa rojak yang kerap digunakan pada masa kini.

Penggunaannya dalam perbualan, kurang impak buruk kerana khalayaknya agak terbatas. Tetapi dalam urusan rasmi, apatah lagi disiarkan media akan meninggalkan kesan buruk yang berganda.

"Lebih-lebih lagi digunakan oleh orang ternama seperti pemimpin, tokoh bidang tertentu atau pempengaruh media sosial. Ia mendorong sebahagian anggota masyarakat untuk mengikut tabiat itu.

"Lambat-laun bahasa rojak dianggap hal yang lumrah dan berbahaya bagi memantapkan sesuatu bahasa," ujarnya.

Selain itu, Hazami menjelaskan, bahawa tiada siapa yang boleh menghalang kemasukan budaya atau bahasa yang serasi dengan generasi masa kini.

"Satu sisi lain dari sudut DBP dalam soal bahasa kebangsaan, perkara itu mengganggu proses melahirkan generasi muda yang boleh menguasai bahasa dengan baik.

"Masyarakat atau pengguna bahasa perlu disedarkan tentang pentingnya jati diri bangsa dan ikrar dalam Rukun Negara. Malah, mereka merupakan pewaris kepada bangsa dan negara," jelasnya lagi.

3

Dr. Hazami Jahari. — DBP

Budaya membaca

Menurut beliau, anak-anak muda sekarang perlu berusaha lebih gigih untuk mempelajari dan memahami penggunaan bahasa Melayu sebaik mungkin.

Dengan adanya kemajuan teknologi pada masa kini, ruang untuk mereka berkomunikasi dan mencari maklumat amat terbuka dan mudah.

"Tidak kira mereka Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, Kadazan dan sebagainya sebagai warganegara Malaysia, kita harus bijaksana menggunakan dan mencintai bahasa ini setulus hati.

"Kita harus celik minda dan sama-sama menjadikan platform digital sebagai medan yang mengangkat dan mempertahankan salah satu warisan berharga ini sebagai warganegara negara iaitu bahasa kebangsaan," terangnya.

Justeru, penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang berlangsung baru-baru ini menunjukkan satu impak besar dengan kehadiran sekitar 1.8 juta pengunjung selama 10 hari.

Difahamkan, pengunjung program itu juga dapat menarik lebih ramai penglibatan daripada generasi muda.

"Hal ini memperlihatkan bahawa budaya atau amalan membaca dalam kalangan generasi muda yang dikatakan kurang itu sebenarnya kurang tepat.

"Cuma kami perlu mempertimbangkan apakah bahan yang diberi atau dibeli itu betul-betul bagus atau sekadar rehat minda," ujarnya.

DBP pada 2024 juga mengambil inisiatif menyewa sebuah dewan penuh dengan menjalankan tiga perkara utama iaitu aktiviti jualan dengan 3,000 judul buku terbitan DBP dapat dilaksanakan.

Kedua, pihak DBP menganjurkan 32 aktiviti seperti pelancaran buku, wacana dan lain-lain dengan mudah tanpa bergantung pada pentas yang perlu dikongsi.

Akhir sekali, DBP mewakili penerbit buku terbesar di Malaysia pada acara tersebut.

"Saya mahu DBP diangkat kembali sebagai penerbit buku bermutu yang menjadi rujukan ramai," harapnya.

Interview Pengarah dan Jabatan Bahasa Dewan Bahasa & Pustaka untuk Cover Metropolitan –KAMARUL ARIFFIN/TheStar

Siti Norsuhaila Samsudin. — The Star

Kata pinjaman

Sementara itu, Perancang Bahasa, Bahagian Perkamusan, Siti Norsuhaila Samsudin berkata, sejak zaman Srivijaya lagi sudah wujud kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, Arab dan sebagainya.

Beliau turut menerangkan terdapat proses tersendiri dalam menentukan perkataan baharu untuk diguna pakai. Umumnya dari segi pembentukan istilah, perbincangan akan diadakan dua minggu sekali.

"Sedangkan bahasa kita sudah kaya dengan pelbagai bahasa lain dan bukannya hanya bahasa Inggeris masuk ke dalam bahasa kita. Misalnya, fatwa diambil daripada bahasa Arab, jadi petua dan bond (Bahasa Inggeris) kita jadikan Bahasa Melayu,” ujarnya.

"Bagi kata umum, perkataan baharu akan dikendalikan oleh bahagian perkamusan yang akan melihat perkataan tersebut dan seterusnya membuat pencarian menerusi 113 juta kata dalam korpus DBP yang terdiri daripada buku, majalah dan sebagainya setiap hari.

"Kami akan merangka apakah makna perkataan tersebut dan perlu pastikan ia sudah cukup mantap dalam penggunaan seharian. Kemudian, ia dihantar kepada beberapa lagi proses penapisan sebelum diperkenalkan," kongsinya.

Siti Norsuhaila pada masa sama berkesempatan menunjukkan kamus edisi terbaharu DBP iaitu Kamus Dewan Perdana yang menjadi rujukan terkini lebih padat termasuk perkataan baharu dalam bahasa Melayu.

Katanya, pencarian perkataan tersebut disediakan di laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dalam kotak pilihan Gerbang Kata.

"Kamus ini dihasilkan menerusi penyusunan selama lebih 30 tahun bersama 120,000 entri dan subentri merangkumi kata umum, istilah, dialek dan kata bahasa serumpun.

"Ini termasuk etimologi iaitu maklumat tentang asal usul kata contohnya ia datang daripada perkataan asli atau pinjaman dan sebagainya," ujar beliau.

Pihak DBP turut berharap setiap pengguna kamus perlu memahami ayat singkatan yang dipaparkan di halaman awal kamus.

Ia bertujuan memberi pemahaman lebih terperinci dan memudahkan penggunaannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram