[VIDEO] 'Macam main video game', sistem VR bukan setakat bantu pelajar, mampu juga tingkat kemahiran pekerja binaan di Malaysia


  • Massa
  • Rabu, 25 Sep 2024

Pekerja sektor pembinaan lebih mudah melakukan pemeriksaan di tapak binaan dengan menggunakan sistem VR.

PERKEMBANGAN teknologi jelas menggambarkan perbezaan generasi dahulu dan sekarang khususnya dalam sektor pembinaan.

Dengan adanya pelbagai inovasi perisian atau software yang dibangunkan kini mampu memberi pengalaman baharu buat si pengguna.

Antara sistem perisian kian diperluaskan di seluruh dunia termasuk Malaysia adalah Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) bagi memudahkan sesebuah projek atau proses binaan bangunan dilaksanakan.

BACA LAGI: 'Buat apa nak malu', tak kisah kerja sapu sampah, Suriani sanggup tinggalkan 3 anak merantau cari rezeki halal di Malaysia

BACA LAGI: 'Cikgu, hari ni seronoklah', guru di Sabah bijak bantu murid pasif bersosial main permainan tradisonal

6309772601454607522

Teknologi BIM kini giat digalakkan dan diperluaskan dalam sektor pembinaan di Malaysia. — Gambar hiasan

Seperti yang pernah ditekankan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini, semua projek pembinaan sektor awam dan swasta bernilai lebih RM10 juta dikehendaki menggunakan sistem BIM tersebut.

Langkah tersebut bertujuan mengurangkan isu pembinaan dan pertembungan terutama berkaitan pemetaan kumbahan jalan raya di bandar pesat seperti Kuala Lumpur.

Selain menjadi alternatif baharu, sistem BIM juga mampu membantu khususnya buat para kontraktor atau pihak pembinaan menyelenggara dan menguruskan reka bentuk mengikut aspek ditetapkan.

Ia tidak dinafikan dapat menjimatkan masa, mengurangkan kos tenaga kerja serta risiko kemalangan apabila menjalankan kerja-kerja pemeriksaan di kawasan tinggi atau berbahaya.

Mengambil inisiatif sama, sebuah syarikat di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Innovacia Sdn Bhd menyediakan perkhidmatan profesional serta pendidikan dalam penggunaan teknologi BIM.

Pemaju dan Jurulatih Perisian Multimedia di Innovacia, Muhamad Safizulkamal Shuib, 26, berkata, ia merupakan satu langkah efektif bagi membantu kecekapan pekerja dan kualiti binaan.

Berpeluang berkongsi tentang perkara itu, dia yang lebih mesra disapa Safizul tidak menolak bahawa sistem tersebut sangat penting untuk diperluaskan di negara ini.

6309772601454607511 (1)

Kategori latihan dan kursus yang ditawarkan.

Disebabkan itu, pihaknya bertindak menyediakan perkhidmatan latihan dan kursus kepada orang ramai untuk mendalami penggunaan pelbagai jenis perisian dalam sistem BIM.

Menurutnya, terdapat perisian berbeza mengikut jenis bangunan yang mahu dibina seperti rumah, sekolah, komersial atau lain-lain.

“Perisian untuk BIM ini contohnya untuk reka bentuk sebuah rumah, kita perlukan beberapa spesifikasi yang perlu dipenuhi antaranya Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan sebagainya.

“Kami juga nak galakkan lebih ramai guna perisian digital ini untuk dapatkan standard spesifikasi lebih tepat macam yang ditekankan dalam Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya kepada Majoriti.

Safizul berkata, latihan tersebut diberikan kepada beberapa kategori iaitu tenaga pengajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) di insititusi pengajian tinggi dan beberapa agensi terlibat.

Berkongsi lanjut, para pensyarah khususnya bidang teknikal atau kejuruteraan diberi pendedahan tentang cara menggunakan atau mengaplikasi perisian BIM sebelum ilmu itu disampaikan kepada para pelajar.

Katanya, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) antara yang pernah berkolaborasi dengan pihaknya untuk membantu meningkatkan kemahiran teknikal pelajar dalam dunia teknologi maklumat (IT).

6309772601454607520

Safizul menerangkan elemen VR yang mampu membantu pekerja sektor binaan.

Lebih menariknya lagi apabila terdapat elemen Realiti Maya atau Virtual Reality (VR) selari dengan keupayaan dan kecenderungan generasi sekarang.

Bercerita serba sedikit pengalamannya selama lebih tiga tahun, penggunaan VR lebih mudah menarik minat orang ramai ketika sesi pembelajaran sistem BIM itu.

“Pelbagai maklum balas pernah kami terima tetapi paling banyak adalah daripada pensyarah universiti.

“Mereka beritahu software BIM kami ajar senang nak faham, malah mereka sangat gembira bila dapat ajar kepada pelajar.

“Dalam sistem ini pun kami gunakan perincian visual dengan model 3D, jadi mereka lebih suka lihat gambaran yang real macam di depan mata. Ia seronok sebab macam main permainan digital (video game).

“Selain itu, kami juga ajar orang-orang dalam industri ini guna teknologi VR untuk tengok tapak binaan atau periksa bangunan, jadi mudah untuk mereka sesuaikan diri dengan persekitaran sebelum turun padang,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Safizul berkata, elemen VR secara tidak langsung dapat membantu pekerja pembinaan membuat pengiraan dengan tepat kerana boleh melihat setiap sudut lebih terperinci secara maya.

6309772601454607519

Latihan yang ditawarkan dengan harga berpatutan serta mampu milik.

Tambahnya, sistem tersebut juga dapat membantu menaik taraf kualiti kerja dalam industri pembinaan dan pembangunan.

“Bila guna VR ni lagi senang untuk mereka nak kira ketinggian bangunan, nak tengok mana kawasan berisiko, ada keretakan atau tidak pada struktur binaan.

“Jadi, mereka boleh belajar dengan kami dan boleh aplikasikan sistem yang sama.

“Kami juga tawarkan harga latihan lebih rendah berbanding agensi lain bermula harga serendah RM2,000 dan ke atas ikut kategori dan jenis software,” jelasnya.

Justeru, Safizul menyarankan agar orang ramai tidak berhenti untuk mempelajari sesuatu perkara baharu terutamanya tentang teknologi.

Menurutnya, setiap individu berhak mendapat ilmu teknologi meskipun tiada pengalaman hebat agar dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam sektor tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram