Sultan Selangor berkenan terima permohonan maaf Sanusi


  • Primer
  • Khamis, 26 Sep 2024

Perkara itu dizahirkan Sultan Sharafuddin dalam satu warkah pada Khamis.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Perkara itu dizahirkan dalam satu warkah pada Khamis.

BACA LAGI: Kenyataan Sanusi panas, cuma ramai senada ukur baju di badan sendiri jangan jadi macam JDT

BACA LAGI: 'Jangan paksa anak cuaca tak menentu', legenda Selangor nasihat ibu bapa selepas remaja rebah dan meninggal dunia

"Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Semoga Datuk Seri (Muhammad Sanusi) berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Datuk Seri berkenaan kenyataan Datuk Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah Beta pertimbangkan.

"Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Dato’ Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

"Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya," titah baginda dalam warkah tersebut.

Dalam warkah sama, baginda turut menasihati Muhammad Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi serta menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali apabila berada di Selangor.

Sanusi memohon maaf susulan kenyataannya didakwa menghina baginda pada tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Beta tidak mahu rakyat khususnya di Negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin. Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri.

"Sebagai seorang pemimpin, Datuk Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.

"Akhir sekali Beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab," titah baginda.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi dilaporkan sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin.

Permohonan maaf itu berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri tersebut.

Ia merupakan permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram