INSIDEN pemain bola sepak rebah di padang sering kali didengari dan baru-baru ini kejadian seperti itu berlaku kepada salah seorang pelajar yang beraksi untuk kejohanan di peringkat akar umbi.
Tidak dapat menyembunyikan kesedihan, legenda bola sepak Selangor iaitu Abdul Malek Abdul Rahman berkongsi khabar duka yang menimpa pelajar itu pada Ahad.
Malek Rahman yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di akademi bola sepak, XSelangor Soccer School memberitahu, pelajar malang itu baru berusia 14 tahun apabila tiba-tiba rebah di padang sebelum meninggal dunia.
BACA LAGI: Kes pelajar meninggal dunia rentas desa, KP Pendidikan sahkan sekolah patuhi panduan sedia ada
BACA LAGI: Sebelum sertai Harimau Malaya, Pan-gon sudah 'tembak' skuad kebangsaan
"Innalillahiwainnailaihirojiun, semalam (Ahad) seorang budak berusia 14 tahun rebah dan meninggal di padang bola, budak yang aktif...selalu main kejohanan," kongsinya pada hantaran tersebut.
Berdasarkan semakan Majoriti, pelajar tersebut dikenali sebagai Usaid Iskandar Mohd Azlan dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor pada hari sama.
Menurut Malek yang pernah membantu Malaysia merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka pada 1993 itu, kejadian menyayat hati tersebut sepatutnya menjadi pengajaran kepada ibu bapa untuk tidak terlalu memaksa anak-anak menyertai semua kejohanan.
Katanya, menyertai pelbagai kejohanan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, boleh memberi kesan kepada tahap kesihatan pelajar dan kejadian tidak diingini dibimbangi akan berulang.
"Ibu bapa tolong jangan paksa anak main kejohanan tanpa henti, cuaca yang tidak menentu. Sentiasa pantau tahap kesihatan anak-anak yang aktif ini. Macam-macam kejohanan sekarang, Merdeka Cup, FA Cup, M***** Cup, H**** Cup, Mentakab dan lain-lain.
"Jangan biar anak-anak ini jadi kuda kejohanan semata-mata nak kejar medal atau kejayaan yang singkat. Ibu bapa, anda jangan jadikan anak-anak statistik pemain-pemain yang hilang selepas umur 17 tahun.
"Sentiasa percaya pada proses, latihan yang baik, pendedahan yang baik akan membantu membentuk pemain yang baik. Ingatan kepada semua. Salam takziah buat semua ahli keluarga dari kami," pesannya.
Senada dengan Malek Rahman, ramai ibu bapa di ruangan komen turun mencadangkan agar pihak akademi akar umbi untuk menyediakan pasukan fisioterapi dan perubatan yang bertauliah untuk bersedia dengan perkara sebegitu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram