KERAJAAN kini sedang dalam rangka bagi mempertimbangkan undang-undang baharu untuk mengenakan hukuman melakukan pembersihan komuniti bagi individu didapati melakukan kesalahan membuang sampah merata-rata di tempat awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, undang-undang itu yang dikenali sebagai Perintah Kerja Sosial menyaksikan mereka yang berulang kali disabitkan kesalahan membuang sampah boleh bukan sahaja dikenakan denda tetapi akan diarah membersihkan jalan dan longkang.
“Kebersihan adalah tanggungjawab semua orang. Semua rakyat Malaysia mempunyai pendidikan. Kesedaran sivik adalah wajib.
"Jika anda tidak suka sampah di rumah anda, anda tidak sepatutnya membuangnya merata-rata," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen mencegah penggunaan plastik sekali guna di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Kor Ming berkata, mereka yang berdepan hukuman ini juga akan diberikan pakaian seragam khas untuk melaksanakan tugas diarahkan.
“Ini bukan bahan ketawa. Ini adalah komitmen pentadbiran Madani untuk menjadikan Malaysia lebih bersih,” katanya.
Beliau juga menegaskan, sebagai negara yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia akan turut menerima lawatan pemimpin dan wakil antarabangsa.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjadi duta kebersihan dan menunjukkan imej terbaik kita.
“Selepas itu, terdapat juga Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. — The Star/GERARD GIMINO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram