BERKAT sokongan daripada keluarga dan tenaga pendidik, seorang pelajar perempuan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur mampu menempah nama sehingga ke Jepun dengan hasil karya lukisannya.
Terpilih sebagai wakil Malaysia, Nur Izzati Salem Berjaya meraih anugerah pingat emas dan sijil merit kategori seni halus di Festival Seni Sekolah Menengah Antarabangsa ke-25 2024 (IFAC) di The Ritz Carlton, Tokyo, Jepun 8 Ogos lalu.
Lukisan bertajuk Antara Mimpi dengan Impian yang dihasilkan remaja berusia 17 tahun dalam pertandingan itu kemudiannya dipamerkan di The National Art Center, Tokyo.
Nur Izzati (kanan) terpilih sebagai wakil Malaysia dalam pertandingan tersebut.
Karya itu menceritakan adegan dua wanita Malaysia dan Jepun yang berbeza budaya serta negara berada di kenduri kampung.
Wanita Malaysia mengimpikan makanan Jepun dan membawa pertukaran masakan dan di dalam mimpi itu, kedua-duanya dapat merasai keunikan budaya masing-masing.
Kemenangan itu sekali gus memberi peluang keemasan buatnya untuk melebarkan sayapnya di peringkat antarabangsa.
Bersyukur dengan anugerah yang diterimanya, Nur Izzati memanjatkan penghargaan kepada ibu bapa dan gurunya yang menjadi sumber kekuatan sepanjang penglibatannya dalam bidang seni lukis.
Karya lukisan Nur Izzati yang berhasil membawa tuah kepadanya.
Dorongan, inspirasi
Bermula dengan contengan watak-watak animasi, melukis komik dan potret, minatnya mula dapat dilihat seawal usia lima tahun sehingga dapat menghasilkan lukisan digital.
Katanya, keyakinannya untuk menyertai pelbagai pertandingan seni mula dibina dengan bantuan ibunya, Ainol Hayati Dahlan dan bapanya, Salem Abd Khalid.
"Sejak kecil sehingga umur 12 tahun, saya kerap dibawa oleh bapa untuk menyertai pertandingan melukis dan mewarna.
"Banyak pengalaman saya dapat melalui pertandingan tersebut. Kebanyakan rujukan lukisan pula daripada sumber internet dan buku," katanya kepada Majoriti.
Berkongsi lanjut, Nur Izzati berkata, ibu bapanya sentiasa memberikan sokongan moral, fizikal serta nasihat kepadanya untuk tidak mudah berputus asa mengejar impiannya.
Keluarga yang sentiasa mendorong dan menyokong minatnya sejak kecil.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, mereka banyak berkorban masa dan wang untuk membolehkannya terus berkarya.
Ibu bapanya juga membantu remaja itu dengan memberi pendapat, ulasan dan kritikan terhadap setiap hasil karyanya.
Selain keluarga, guru sekolahnya juga menjadi pendorong untuk Nur Izzati terus bersemangat menonjolkan kebolehannya.
"Saya dibantu oleh guru seni visual sekolah saya untuk memasuki dan menghantar penyertaan saya sebelum dipertandingkan sehingga ke peringkat kebangsaan sebelum terpilih mewakili Malaysia.
"Saya juga yakin untuk memasuki pertandingan adalah kerana ingin mencabar diri dan keupayaan saya dalam menghasilkan sebuah lukisan yang mempunyai tema berbeza daripada kebiasaan," katanya lagi.
Nur Izzati mendedahkan bahawa minatnya itu turut didorong oleh idolanya iaitu pelukis tersohor, Ismael Embong.
Bagi yang belum tahu, Ismael Embong adalah Tokoh Pelukis Negara merangkap bapa kepada pelakon terkenal tempatan, Emma dan Chacha Maembong.
Pengalaman baharu
Nur Izzati yang sentiasa berusaha demi mengejar impian dan cita-citanya.
Berpeluang melihat budaya lain ketika berada di Jepun beberapa hari, Nur Izzati tidak menafikan bahawa ia merupakan satu pengalaman baharu dan istimewa buatnya.
"Saya dapat berkenalan dengan ramai pelajar Jepun dan luar negara yang bertanding.
"Saya juga belajar bahasa, budaya dan makanan Jepun serta dibawa melawat sekitar Tokyo dan tempat bersejarah di sana serta melawat muzium seni mereka," jelasnya.
Ditanya pula tentang cita-citanya, Nur Izzati menyimpan impian untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni visual di institusi terkemuka di Malaysia atau luar negara.
Katanya, dia mahu meningkatkan lagi kebolehannya untuk melukis potret, animasi digital, komik serta bidang reka bentuk produk.
"Saya juga berhasrat membuka sebuah galeri lukisan yang menampilkan lukisan dan karya saya," ujarnya.
Nur Izzati justeru menggalakkan orang ramai terutamanya ibu bapa untuk memberi dorongan kepada anak-anak yang mempunyai minat dalam bidang seni halus atau visual. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram