[VIDEO] Dua beranak tersangkut, pengendali zipline di Shah Alam diarah henti sementara operasi


  • Primer
  • Selasa, 10 Sep 2024

Tangkap layar kejadian ibu dan anak tersangkut pada zipline di Tasik Shah Alam, Seksyen 14, Selangor pada Ahad.

PIHAK pengendali Zipline Shah Alam, Hikers Climbers diarahkan memberhentikan pengoperasian buat sementara di Tasik Shah Alam, Seksyen 14, Selangor pada Selasa bagi pemeriksaan peralatan.

Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam bagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelaskan bahawa kemudahan rekreasi flying fox di kawasan itu hanya akan dibuka semula pukul 9.30 pagi Rabu.

Penutupan itu dibuat berikutan insiden dua beranak yang tersangkut pada kemudahan berkenaan pada jarak 50 meter sekitar pukul 5 petang Ahad lepas.

BACA LAGI: Individu pertama lukis mural Sultan Pahang sampai diperkenan, Suhaimi Ali pernah 'terbang' hasilkan mural sampai ke di Indonesia

BACA LAGI: Dari kelas belakang ke 'selempang pink' UiTM, kreativiti pasangan kembar pikat pengguna TikTok

“Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berulang, MBSA telah mengarahkan agar pihak pengendali memberhentikan pengoperasian Zipline Shah Alam buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa pasangan suami isteri bersama dua kanak-kanak mendaftar untuk menaiki Zipline dan pihak pengendali telah menjalankan prosedur yang ditetapkan iaitu memastikan kanak-kanak mematuhi had umur serta berat tidak melebihi 90 kilogram.

Tambahnya lagi, kanak-kanak di bawah usia 12 tahun perlu ditemani oleh orang dewasa dan menandatangani liability form.

“Setelah pasangan itu bersama anak-anak mereka menaiki kemudahan rekreasi tersebut dan berlepas, zipline isteri serta anak telah tersangkut pada jarak kira-kira 50 meter.

“Pihak Hikers Climbers telah mengambil tindakan pantas dengan menyelamatkan mereka dalam tempoh kurang daripada 15 minit selepas kejadian berlaku dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.

Bagi prosedur keselamatan setiap pengunjung akan diberikan taklimat keselamatan dan pengendalian setiap peralatan sebelum menaiki zipline tersebut.

Sebelum ini, tular mengenai dua beranak terbabit yang berdepan detik cemas tergantung pada ketinggian dianggarkan 30 meter selepas flying fox itu tersangkut pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram