'Buat apa nak malu', tak kisah kerja sapu sampah, Suriani sanggup tinggalkan 3 anak merantau cari rezeki halal di Malaysia


  • Massa
  • Selasa, 24 Sep 2024

Suriani yang sanggup merantau dari Kalimantan, Indonesia untuk mencari rezeki halal di Malaysia.

TIADA sedikit pun keluhan diluahkan walaupun terpaksa menahan terik panas dan bahangnya matahari.

Begitulah situasi yang dapat digambarkan apabila melihat seorang pekerja pembersihan sedang menyapu dedaunan kering di tepi jalan.

Hanya mahu dikenali sebagai Suriani, wanita berusia 50 tahun itu masih mempunyai kudrat demi mencari rezeki halal di negara ini.

BACA LAGI: 'Cikgu, hari ni seronoklah', guru di Sabah bijak bantu murid pasif bersosial main permainan tradisonal

BACA LAGI: 'Demi anak saya,' kisah saintis sanggup dipecat, dipenjara iktibar buat Malaysia serius patuhi 1.5C

6307844461786414603

Suriani tidak pernah menyesal memilih pekerjaan sedemikian walaupun terpaksa menahan panas atau hujan.

Jauh merantau beribu kilometer, Suriani rupanya berasal dari Kalimantan, Indonesia dan mempunyai pengalaman bekerja di Malaysia selama lebih 20 tahun sejak 2001.

Mengambil nafas seketika, Suriani berkesempatan berkongsi serba sedikit tentang kisah hidupnya sepanjang merantau di negara orang.

Hanya ada satu tujuan, dia bertekad untuk keluar daripada zon selesa apabila memutuskan untuk meninggalkan keluarga kecilnya di Kalimantan demi menambah pendapatan.

Suriani berkata, tiga orang anaknya di kampung halaman itu terpaksa ditinggalkan dan dititipkan di bawah jagaan ibunya sementara dia memerah keringat mencari sesuap rezeki.

Dia pada masa sama bersyukur dikurniakan ahli keluarga yang amat memahami serta memberi sokongan penuh kepadanya selama ini.

“Alhamdulillah, anak-anak boleh terima dan sangat memahami keadaan saya.

“Sepanjang saya di sini, tak pernah kami terlepas untuk berhubung, anak-anak selalu telefo, cerita tentang aktiviti mereka dan untuk lepaskan rindu.

“Mak saya pun sangat baik, boleh jaga dan uruskan cucu-cucunya terutama dua anak saya yang masih bersekolah di sana,” katanya kepada Majoriti.

6307844461786414451

Suriani merantau jauh dari Kalimantan ke Malaysia.

Kata Suriani, pekerjaan pertamanya adalah sebagai pembantu di sebuah restoran di Damansara pada 2001 sehingga 2020 dan terpaksa pulang ke kampung disebabkan pandemik Covid-19.

Namun, dia tidak berputus asa mencari peluang baharu apabila berhasil mendapatkan kerja di Malaysia pada 2022 sebagai pekerja pembersihan di Alam Flora Sdn Bhd sehingga sekarang.

Kagum dengan sikapnya yang sentiasa merendah diri, Suriani tidak pernah berasa malu akan kerjayanya itu.

“Buat apa nak malu, kita semua cari rezeki halal janji ada duit.

“Saya di sini pun tiada kenderaan dan naik basikal sahaja untuk pergi kerja.

“Kawan-kawan Malaysia pun sangat baik, ada yang selalu kejut saya bangun pagi ke kerja,” kongsinya.

Rutin bekerja Suriani setiap hari adalah bermula dari pukul 7 pagi hingga 3 petang pada hari biasa, manakala hari minggu pula 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Selain anak-anak dan rakan sekerja yang menjadi tulang belakangnya, arwah suaminya juga merupakan sumber kekuatan buat Suriani untuk terus mencari rezeki di negara ini.

6307844461786414450

Kerjanya dilakukan dengan sangat cermat dan berhati-hati.

Menurutnya, keputusan itu diteruskan demi membesarkan anak-anak sejak suaminya meninggal dunia pada 2001.

Bertanggungjawab membanting tulang, Suriani tidak pernah lupa mengirimkan wang sebanyak RM600 buat keluarga tercinta setiap bulan selepas menerima gaji.

Ditanya pula aktivitinya ketika cuti, Suriani lebih memilih untuk bekerja lebih masa pada hari cuti iaitu setiap Ahad berbanding menghabiskan masa berjalan di sekitar bandar seperti Kuala Lumpur.

"Kalau cuti saya tak ke mana-mana pun, duduk rumah dengan kawan atau ambil Over Time (OT) hari Ahad.

"Kalau ada yang ajak keluar baru saya pergi, itu pun dengan kawan sekerja," katanya.

Melihat keperibadian Suriani secara tidak langsung dapat membuka mata masyarakt tentang pengorbanan pekerja pembersihan meskipun ia mungkin dipandang remeh bagi sesetengah individu.

Justeru, peranan mereka juga perlu dihormati dan dihargai meskipun dengan pertolongan kecil seperti tidak membuang sampah merata-rata di kawasan jalan raya atau lorong-lorong kedai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram