TUGAS sebagai pengecat bangunan tinggi bukan satu pekerjaan yang boleh dilakukan oleh semua orang.
Ini kerana ia hadir dengan risiko tinggi dan cabaran yang cukup besar.
Selain keselamatan, keadaan iklim di Malaysia yang terkenal dengan cuaca panas dan lembap menjadi antara perkara biasa terpaksa dihadapi.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Tugas sebagai pengecat bangunan tinggi cukup berisiko tinggi khususnya daripada segi aspek keselamatan.
Bagi pekerja yang berada di luar bangunan, terdedah kepada sinaran matahari dan cuaca yang tidak menentu pastinya menjadi cabaran besar.
Mereka perlu bekerja di bawah panas terik dan kadang-kadang terpaksa berhenti kerja ketika cuaca hujan atau berangin kuat.
Situasi itu pastinya juga semakin kerap dihadapi lebih-lebih lagi dengan perubahan cuaca ekstrem yang berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini.
Namun bagi, Joko Narimo, 30, perkara itu sudah dianggap sebagai sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapinya sepanjang Sembilan tahun berkhidmat sebagai pengecat bangunan tinggi di Malaysia.
Dalam tempoh tersebut, menurutnya, dia yang berasal dari Lampung, Sumatera Indonesia sudah mengecat lebih daripada 10 bangunan tinggi yang didirikan sekitar Lembah Klang.
Joko berkata, sepanjang tempoh dia bertugas, keadaan cuaca hujan lebat, angin kuat dan juga insiden kilat sememangnya merupakan situasi yang biasa dialaminya.
"Bila jadi macam itu, biasanya kita akan terus turun. Kalau ada angin kuat ke apa, memang harus turun.
"Namannya nasib kita tak tahu. Dalam keadaan macam itu, kita pun sebenarnya takut kalau masih berada di atas," ujarnya ketika ditemui Majoriti.
Pada waktu ini, Joko bersama 12 rakannya yang lain sedang menjalankan kerja mengecat semula bangunan pejabat dekat di Pusat Perdagangan Phileo Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Sebelum datang ke Malaysia, Joko terlebih dahulu bertugas sebagai pekerja pengecat bangunan tinggi di Jakarta, Indonesia sebaik menamatkan persekolahan pada usia 16 tahun.
Menurut, meskipun sudah hampir 15 tahun melakukan kerja tersebut, perasaan takut ketika berada di udara ketika mengecat masih kadang kala hadir dalam dirinya.
"Biasanya bila kita berada posisi nak turun ke bawah itu, memang biasa ada rasa takut. Tapi bila dah turun itu memang lega dan terus hilang rasa takut," kongsinya yang juga bapa kepada dua cahaya mata masing-masing berusia lima tahun dan 15 bulan.
Bagaimanapun, Joko berkata, dia sangat bersyukur kerana tidak pernah lagi berdepan dengan sebarang kemalangan sepanjang bertugas di Malaysia.
"Alhamdulillah tak pernah lagi berlaku insiden tidak diingini. Apa yang penting adalah ikut buat tanggungjawab kita dan ikut aturan ditetapkan," jelasnya.
Antara petugas pengecat yang sedang menjalankan tugas mereka dengan menggunakan tali keselamatan.
Berkongsi kepada Majoriti, Joko berkata, bangunan paling tinggi pernah dia ditugaskan mengecat adalah kediaman apartment sedang dalam pembinaan setinggi 40 tingkat di Kota Kemuning, Klang, Selangor.
Menurutnya, tempoh diambil untuk menyiapkan proses mengecat sesuatu bangunan tinggi lazimnya mengambil masa paling pendek tiga bulan dan paling lama boleh melebihi satu tahun.
Ia bergantung kepada saiz bangunan dan juga keadaan semasa cuaca.
Joko mengakui pekerjaan tersebut sememangnya sesuatu yang cukup memenatkan apatah lagi ia kebiasaannya mengambil masa berbulan-bulan untuk diselesaikan.
"Kalau masalah penat itu, memang setiap hari penat. Tapi jika diikutkan perasaan itu tak makan nanti keluarga kita di kampung.
"Keluarga memang jadi motivasi utama untuk saya teruskan bekerja lebih-lebih lagi dah datang jauh-jauh untuk bekerja di sini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram