BEBERAPA premis niaga rangkaian milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dipercayai menukar logo miliknya untuk mengelak daripada ditahan polis.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya telah mengesan beberapa premis yang dipercayai membuat perubahan pada logo supaya tidak dikaitkan dengan GISBH.
"Agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Hal Ehwal Islam negeri sedang mengumpul bukti dan kita akan bertindak sebaik sahaja polis memuktamadkan siasatan mereka.
"Kami tidak mahu menghalang siasatan polis. Agensi negeri termasuk majlis tempatan, telah diberitahu untuk terus memantau keadaan di lapangan," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB buat laporan polis
BACA LAGI: [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN
Jelasnya, pihak berkuasa negeri sedia maklum kesemua lokasi perniagaan rangkaian GISBH di negeri berkenaan.
Beliau pada masa sama turut mengingatkan agensi penguat kuasa Islam Negeri Sembilan supaya memantau kesemua pusat tahfiz dan madrasah bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang Islam.
Seramai 13 kanak-kanak pernah menjadi mangsa liwat semasa tinggal di rumah amal GISBH.
“Kita bukan sahaja perlu menyiasat apabila timbul isu, tetapi pemantauan institusi-institusi ini terutama yang bukan dalam arus perdana perlu dilakukan secara berkala,” katanya.
Tambahnya, pemantauan terhadap sekolah agama seumpama itu sangat penting walaupun permohonan pendaftaran mereka belum diluluskan.
“Ada yang beroperasi tanpa lesen kerana gagal memenuhi semua syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa Islam negeri.
“Pada masa hadapan, kita mungkin hanya membenarkan mereka yang telah memenuhi semua syarat dan mempunyai lesen untuk beroperasi supaya mereka mematuhi semua syarat,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin turut melahirkan harapan agar umat Islam di negeri itu tidak terpengaruh dengan ajaran Islam yang menyeleweng seperti Aurad Muhammadiyah.
“Jangan terpengaruh dengan ajaran yang diharamkan oleh pihak berkuasa Islam negeri.
“Nampaknya ada usaha terancang untuk memanipulasi umat Islam dan saya harap mereka tidak akan mempengaruhi kita,” katanya.
Terdahulu, seorang pengerusi dan pengetua sebuah sekolah di Kuala Pilah yang dikaitkan dengan GISBH telah ditahan kerana disyaki mengamalkan ajaran sesat pada Ahad lalu.
Kedua-dua individu berkenaan yang berusia 58 dan 51 tahun ditahan kerana didakwa cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiyah yang diisytiharkan haram di Negeri Sembilan pada 2016. — The Star/SARBAN SINGH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram