LUBANG benam dengan kedalaman satu meter dikesan berhampiran Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi hantaran di Facebook pada Rabu, memaklumkan lubang benam itu dikesan dekat laluan FT26 di jalan masuk Kompleks Bunga Raya.
Menurut KKR, Laluan di sekitar kawasan itu masih boleh digunakan, namun jalan berhampiran lubang benam terbabit sudah ditutup.
BACA LAGI: [VIDEO] Mangsa terjejas banjir di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis melonjak naik 4,223 orang
BACA LAGI: MB minta rakyat Kedah patuh arahan, SOP berpindah ke PPS elak tercicir bantuan banjir RM1,000
Kebocoran paip kumbahan dipercayai menjadi punca lubang benam itu.
"Pemeriksaan di tapak mendapati terdapat satu 'manhole' kumbahan milik KLIA yang berada berhampiran kawasan lubang benam. Disyaki kebocoran paip kumbahan menjadi punca lubang benam," menurut KKR.
Berdasarkan makluman itu lagi, kejadian lubang benam terbabit sudah dimaklumkan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang sudah melaksanakan pemasangan pelan pengurusan trafik (TMP) di kawasan kejadian.
"Laporan terperinci akan dikeluarkan MAHB selepas selesai siasatan, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memberikan bantuan sekiranya diperlukan MAHB," menurut hantaran tersebut.
Punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, kerja-kerja penilaian dan pembaikan tanah mendap yang berlaku di hadapan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) akan dimulakan pada petang Rabu.
“Kawasan ini di bawah seliaan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), mereka akan bertindak untuk menilai dan memeriksa apa punca sebenar kejadian dan mendapatkan solusi bagi pembaikan akan datang.
“Berapa lama tutup bergantung kepada penilaian mengenai kerosakan yang berlaku. Kalau rosaknya permukaan sahaja, sekejap sahaja lah. Sekiranya ada kerosakan lain, mesti akan ambil masa lebih,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram