SEJAK kecil, kita sentiasa diingatkan tentang kepentingan belajar. Pembelajaran tidak semestinya berlaku di dalam bilik darjah, dan juga tidak terhad kepada pengetahuan yang diperoleh semata-mata untuk tujuan pendidikan.
Ia adalah proses sepanjang hayat yang tidak pernah berakhir. Kecemerlangan dalam pembelajaran pelbagai disiplin turut boleh mengubah perjalanan hidup kita.
Bagi Ahmad Fadli Ahmad Dahlan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Todak Studios Sdn Bhd, proses pembelajaran berterusan sentiasa menjadi sebahagian daripada etika yang dipegangnya dari usia sangat muda.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Dikenali sebagai Todak Neo dalam dunia permainan, beliau kini merupakan Naib Presiden Todak Gaming dan berbangga sebagai alumni Management and Science University (MSU) di mana beliau memperoleh ijazah sarjana muda dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Kepujian).
Perjalanannya bersama syarikat pembangun permainan yang ditubuhkan pada 2018 untuk menuju ke mercu kejayaan sememangnya memerlukan komitmen yang berterusan.
Dia turut membuat keputusan untuk mengambil sedikit masa bagi membina budaya korporat dengan berhati-hati melalui pemilihan bakat yang betul dan boleh dikembang dan ditingkatkan kemahirannya dari awal.
Bersama-sama dengan pasukannya, Ahmad Fadli menumpukan perhatian terhadap bahagian penyelidikan dan pembangunan untuk Todak Studios bagi membolehkan mereka mencapai kedudukan yang diperolehi sekarang.
Pasukan Todak Studios Sdn Bhd ketika hadir ke Pameran Ekspo Hiburan Elektronik (E3) 2019.
Mereka berjaya meninggalkan jejak di pentas global apabila mewakili Malaysia sebagai entiti pengeluaran dan pembangunan permainan tempatan pertama berjaya ke pameran Ekspo Hiburan Elektronik (E3) 2019 yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dicapai, Ahmad Fadli kini terus menyasarkan visi lebih tinggi untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan adalah lebih besar daripada yang sebelum ini direalisasikannya.
“Kami sedang mengendalikan projek penting yang akan mengubah industri permainan di Malaysia. Kami sedang membina permainan mudah alih arena pertempuran 5v5 baharu yang dipanggil 'Mastra.'
“Projek itu telah didaftarkan sebagai harta intelek di bawah Todak, sebab itu saya kini boleh membincangkannya. Selain itu, projek ini disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” kata Ahmad Fadli.
‘Todak’ diambil bersempena dengan nama ikan todak yang terkenal dengan sifatnya terutamanya dalam menonjolkan ciri keberanian dan ketabahan.
Sikap itulah yang cuba dijadikan sebagai inspirasi buat Ahmad Fadli dalam usahanya bagi bergerak ke hadapan dan melepasi rintangan yang wujud.
“Apabila kita bercakap tentang permainan dan pembangunan permainan, adalah penting untuk menyedari bahawa ia adalah dua sektor yang berbeza. Bermain permainan selalunya bergantung kepada pilihan peribadi mengenai jenis permainan dan tema yang menarik minat anda.
“Bagaimanapun, apabila ia melibatkan pembangunan permainan, ia lebih kepada aspek teknikal dan pengalaman pengguna bagi permainan atau platform e-sukan. Ia mempunyai cabarannya tersendiri. Dalam pembangunan permainan itu sendiri, perkara yang paling penting ialah bakat.
"Anda memerlukan orang yang mempunyai pengetahuan untuk membawa idea anda ke peringkat seterusnya. Pada masa sama, kecekapan teknologi juga penting. Cabaran terbesar yang saya berjaya atasi sebagai ketua syarikat ini ialah pengurusan mikro.
"Seorang pemimpin boleh mempunyai begitu banyak idea, tetapi apabila ia datang kepada pelaksanaan, ia adalah sesuatu yang sama sekali berbeza," tambahnya.
'Mastra' merupakan antara produk baharu oleh Todak Studios Sdn Bhd. — Todak
Ahmad Fadli merupakan graduan MSU yang memiliki minat yang cukup kuat dalam multimedia.
Bagaimanapun, sebelum menceburi bidang teknologi maklumat (IT) dia terlebih dahulu menyelesaikan pengajian diplomanya dalam bidang bioteknologi.
Kesedarannya terhadap potensi yang wujud dalam sektor IT kemudiannya menjadi pencetus menyakinkan untuk beralih kepada peluang yang menjanjikan dalam industri tersebut.
“Saya seronok belajar dan ingin mendalami multimedia, yang menjadi tumpuan utama saya. Sepanjang tahun saya di MSU, saya bertemu dengan orang dari pelbagai latar belakang, yang mengubah pandangan saya.
“Tempoh di universiti turut memberi saya peluang untuk belajar tentang pelbagai budaya dan agama, ketika saya berinteraksi dengan pelajar dari pelbagai bahagian negara dan dunia.
"Pengalaman ini meluaskan pandangan saya tentang dunia dan mengubah perspektif saya tentang pembelajaran di luar batasan bilik darjah,” ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram