GISBH: Disyaki cuba lupus bukti, 4 beranak direman di Kelantan


Puluhan buku ditemui ditanam di tepi sungai Pengkalan Datu selepas polis melakukan serbuan di kediaman pimpinan dan pengikut GISBH di Kampung Panji.

EMPAT individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) direman selama tiga hari bermula Rabu untuk membantu siasatan.

Permohonan reman ke atas kesemua individu yang difahamkan anak-beranak berusia lingkungan 15 hingga 45 tahun itu dibuat di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

BACA LAGI: Lebih 300 kanak-kanak GISBH diberi pendidikan formal mulai 1 Oktober

BACA LAGI: Polis nafi dakwaan pegawai kanan terlibat kegiatan GISBH

Difahamkan, suspek ditahan di Johor Bahru pada Selasa sebelum dibawa ke Kota Bharu.

Keempat-empat suspek ditahan selepas dipercayai cuba melupuskan bahan bukti dengan menanam buku-buku berkaitan fahaman Al-Arqam di Kampung Panji, Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan, polis melakukan serbuan di kediaman pimpinan dan pengikut GISBH di Kampung Panji, Sabtu lalu.

Menerusi operasi berkenaan, puluhan buku ditemui ditanam di tepi sungai Pengkalan Datu dan lebih 30 individu termasuk isteri kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH diperiksa dan dibawa ke pusat saringan.

Main

Polis melalui Op Global menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja daripada 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH.

Kesemua suspek lelaki warga tempatan itu tiba di kompleks mahkamah berkenaan pukul 8.40 pagi ini.

Pada 11 September, polis melalui Op Global menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja daripada 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang ada kaitan dengan GISBH.

Dalam pada itu, 10 individu berpangkat tinggi di dalam organisasi GISB dibawa ke Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Rabu (25 September).

Kumpulan tersebut dibawa ke mahkamah untuk dilanjutkan tempoh reman mereka.

Antara yang dibawa termasuk pengerusi eksekutif GISB dan isterinya.

Kesemua mereka sedang disiasat kerana eksploitasi penghuni di 20 rumah anak yatim milik kumpulan tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram