Mayat kedua ditemukan di Rawang Bypass, ramai desak pasang CCTV


  • 112
  • Rabu, 25 Sep 2024

Pihak polis menerima laporan selepas seorang saksi terhidu bau busuk di sekitar kawasan Rawang Bypass pada Selasa. — Gambar Hiasan

POLIS Hulu Selangor mengesahkan telah menerima laporan mengenai penemuan rangka bayi di kawasan Lebuhraya Rawang Bypass selepas saksi terhidu bau busuk di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, rangka itu ditemukan kira-kira pukul 1 tengah hari Selasa sebelum laporan dibuat berhubung penemuan rangka manusia terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum Nazmi, ada lagi pengadil Malaysia pernah dapat pujian dari negara jiran

BACA LAGI: Ujian DNA, analisis digital langkah Bukit Aman tingkatkan kredibiliti siasatan — KPN

"Hasil siasatan mendapati rangka manusia itu ditemukan saksi yang terhidu bau busuk ketika mencari barangan lama dan besi di kawasan terbabit.

"Tiada barangan seperti dokumen pengenalan diri atau telefon bimbit ketika rangka itu ditemukan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Tambahnya lagi, siasatan awal mendapati rangka tersebut ditemukan oleh seorang lelaki tempatan yang sedang mencari barangan lama dan besi di kawasan berkenaan.

Polis kini sedang meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

"Jika didapati bersalah, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, di ruangan komen Facebook MyHuluselangor rata-rata orang ramai menyeru pihak berkuasa untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) selepas ini merupakan kejadian kali kedua yang berlaku di Rawang Bypass.

"Tiba-tiba teringat pak cik yang hilang itu, kereta dah jumpa orangnya tak ada lagi," kata Normah Syada.

"Sebaiknya polis Hulu Selangor pasang CCTV di kawasan Bypass itu, dah jadi kawasan penjenayah buang mangsa dekat jalan itu," cadang Nasrul Lursan.

"Ini kes kedua dah kan? Kes dulu siap berbungkus dia campak dekat Bypass juga," jelas Fazli Hamad.

Polis turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223 bagi membantu siasatan.

Terdahulu pada 11 Oktober 2020, mayat berbungkus ditemukan orang awam di lokasi sama, dipercayai dibunuh sebelum dibuang di situ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram