Ketegangan lanjut Israel-Hizbullah 'malapetaka' buat kanak-kanak Lubnan — UNICEF


  • Benua
  • Rabu, 25 Sep 2024

Kepulan asap tebal memenuhi kawasan sempadan Lubnan-Israel berikutan pertempuran semakin sengit pada Isnin. — Agensi

UNICEF pada Selasa memberi amaran bahawa sebarang peningkatan ketegangan selanjutnya antara Israel dan Hizbullah akan menjadi bencana bagi semua kanak-kanak di Lubnan dan menggesa agar ketegangan itu dikendurkan dengan segera.

"Pada Isnin sahaja, sekurang-kurangnya 35 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Lubnan. Ini lebih daripada jumlah kanak-kanak yang terbunuh di Lubnan dalam tempoh 11 bulan yang lepas.

"11 bulan dalam satu hari. 35 kanak-kanak, dalam satu hari antara 492 dilaporkan terbunuh," kata timbalan wakil UNICEF ke Lubnan, Ettie Higgins, kepada taklimat akhbar PBB di Geneva mengenai serangan udara Israel.

BACA LAGI: [VIDEO] Tentera Israel serang lebih 1,100 sasaran Hezbollah, angka korban meningkat cecah 500 orang

BACA LAGI: Akta Kawalan Produk Merokok berkuatkuasa 1 Oktober

Menyedari bahawa lebih 1,645 orang cedera semasa serangan udara itu, Higgins menekankan bahawa "lebih ramai kanak-kanak berada dalam bahaya semasa saya bercakap, terdedah kepada serangan berterusan, dipindahkan dari rumah mereka dan tidak dapat bergantung pada sistem kesihatan yang sudah terlalu terbeban dan kekurangan sumber".

"Jika kita kembali kepada konflik, seperti hari-hari gelap pada 2006, saya bimbang kali ini boleh menjadi lebih buruk bagi kanak-kanak Lubnan," katanya.

Beliau menekankan keluarga di Lubnan sudah "berada di jurang" kerana krisis ekonomi dan politik.

"Sebarang peningkatan selanjutnya dalam konflik ini akan menjadi bencana bagi semua kanak-kanak di Lubnan, terutama keluarga dari kampung dan pekan di selatan dan Bekaa, di Lubnan Timur, yang terpaksa meninggalkan rumah mereka," ujar pegawai UNICEF itu.

Beliau menyatakan bahawa pelarian baharu ini menambah kepada 112,000 orang yang telah dipindahkan sejak Oktober.

UNICEF menyeru agar pengurangan ketegangan dilakukan segera dan meminta semua pihak menegakkan kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk memastikan perlindungan infrastruktur awam dan orang awam, termasuk kanak-kanak, pekerja kemanusiaan dan kakitangan perubatan, kata Higgins.

Beliau menambah ia termasuk memudahkan pergerakan selamat orang awam yang mencari perlindungan.

"Semalam (Isnin) adalah hari terburuk Lubnan dalam tempoh 18 tahun.

"Keganasan ini perlu dihentikan serta-merta atau akibatnya akan menjadi tidak terjangkau," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram