[VIDEO] DBKL nafi dakwaan video tular kejadian lubang benam baharu di Jalan Sultan Ismail


  • Primer
  • Isnin, 23 Sep 2024

Tangkap layar video memaparkan pihak bomba sedang mengawal di lokasi yang tular sejak Isnin selepas mengalami kejadian paip pecah berdekatan Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

TULAR satu video pada Isnin yang mendakwa berlakunya satu insiden lubang benam atau 'sinkhole' berdekatan Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur.

Menerusi klip berdurasi 10 saat yang tersebar itu, anggota bomba dilihat sedang mengawal satu kawasan jalan yang seakan-akan mengalami mendapan tanah.

Lokasi jalan terbabit ditutup dengan kon dan pita kuning manakala aliran air didapati turut berlaku di lokasi.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Bagaimanapun, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ketika dihubungi menafikan dakwaan berlakunya insiden lubang benam baharu di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, dia berkata, kejadian tersebut berpunca daripada paip pecah.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 05.04 pagi Isnin.

Menurutnya, pengadu memaklumkan berlaku paip pecah di bawah tanah.

Ekoran daripada itu, Komander Operasi, Mohd Rozihafizam Othman berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah menghantar jentera dan seramai 13 anggota ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada pukul 5.13 pagi, terdapat kebocoran melibatkan paip bawah tanah milik pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

"Seterusnya terdapat limpahan air dan jalan raya mendap di beberapa kawasan berhampiran paip tersebut. Kerja-kerja pembaikan paip yang bocor diserahkan kepada pihak Syabas untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu. — The Star/FARID WAHAB

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram