Perlis negeri pertama keluar fatwa, GISBH sebar ajaran sesat


  • Primer
  • Jumaat, 20 Sep 2024

GISBH dilabel sebagai kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat berdasarkan bukti-bukti dikemukakan pihak berkuasa.

PERLIS menjadi negeri pertama mengisytiharkan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) sebagai kumpulan ajaran sesat.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memaklumkan, fatwa itu dikeluarkan selepas menerima bukti yang meyakinkan untuk membuktikan GISB menyebarkan ajaran sesat dan merupakan kesinambungan daripada Al-Arqam yang sudah diharamkan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berka model ekonomi GISB bertentangan dengan ajaran Islam yang tidak membenarkan eksploitasi dan perhambaan kanak-kanak dan wanita.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Memang ada salah, tapi tak boleh nasihat ke?', Pengerusi GISB mengaku kes liwat pernah berlaku

BACA LAGI: Pengerusi Eksekutif GISBH dan isteri antara 19 ditahan bantu siasatan

2912378

Polis mendapati berlakunya penderaan dan gangguan seksual di rumah kebajikan GISBH.

Beliau menegaskan bahawa jawatankuasa itu memutuskan akidah dan ajaran GISB merangkumi unsur-unsur yang menyimpang khususnya dalam akidah kerohanian.

"Ini juga merupakan kesinambungan kepada ajaran Al-Arqam yang telah diharamkan secara nasional.

"Kepercayaan masyarakat GISB yang mengidolakan pemimpin dan tokoh agama mereka sudah melampaui batas untuk menyamakan mereka dengan kenabian, memiliki keupayaan untuk melakukan mukjizat dan mengetahui perkara ghaib seolah-olah mereka adalah Tuhan.

"Akidah ini sesat dan dianggap tersasar daripada Islam. Pemujaan terhadap pemimpin telah memupuk kesetiaan kepada tokoh-tokoh ini walaupun ia bertentangan dengan al-Quran dan ajaran Nabi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pengikut GISB juga mengikut arahan pemimpin mereka secara membuta tuli walaupun ia bertentangan dengan Islam.

Beliau menambah bahawa mereka turut mengambil berkat daripada anggota tubuh pemimpin dan membenarkan tindakan mereka dengan alasan seperti Imam Mahdi, Nabi Muhammad, wali dan sebagainya.

Screenshot (3334)

Nasiruddin antara yang ditahan pihak berkuasa pada Khamis. — GISBH

"Pengikut GISB percaya pemimpin mereka sudah mati masih hidup untuk memberi bimbingan dan telah mewujudkan undang-undang baharu mengenai perkahwinan dan solat yang bertentangan dengan Islam.

"Kami menggesa masyarakat Islam membantu pengikut GISB dalam memulihkan diri mereka.

"Zakat boleh digunakan bagi sesi pemulihan mereka untuk memberi pendidikan, membina semula kehidupan, menawarkan perlindungan dan menampung yuran guaman untuk membantu mereka membebaskan diri daripada GISB," jelasnya.

Terdahulu, GISB mengejutkan orang ramai selepas rumah kebajikannya diserbu serta seramai 402 kanak-kanak diselamatkan selepas mendapati berlakunya penderaan seksual.

Susulan itu, pihak polis turut menahan 19 individu termasuk Pengerusi GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya pada Khamis.

Untuk rekod, GISBH mempunyai sebanyak 25 anak syarikat serta beberapa cawangan di 20 negara Eropah, Asia dan Timur Tengah.

Organisasi itu juga mengendalikan pelbagai perniagaan, termasuk pasar runcit, restoran, pengurusan acara, perkhidmatan perundingan dan lawatan.

Terdapat juga 51 jabatan yang berpusat di tujuh sektor iaitu pendidikan dan modal insan; pentadbiran dan kewangan; multimedia dan komunikasi; pertanian, pembiakan ternakan dan perikanan; komuniti, kebajikan, keluarga dan kesihatan; belia dan sukan Sunnah serta perniagaan, pembuatan dan pelancongan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram