GLOBAL Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mendedahkan bahawa terdapat beberapa kes liwat pernah berlaku dalam organisasi tersebut.
Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd Ali mengakui pihaknya pernah berbincang tentang perkara tersebut dan mengakui ia merupakan tindakan yang salah di sisi undang-undang.
"Saya bukan mahu menyebelahkan undang-undang, memang kami ada salah, tetapi tak boleh nasihat ke?.
"Memang liwat itu ada satu, dua kes, kenapa mahu dirangkum semuanya?," katanya menerusi video dimuat naik di Facebook pada Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] Seramai 13 budak GISB pernah diliwat — KPN
Nasaruddin pada masa sama mengulas lanjut tentang tangkapan yang dilakukan pihak berkuasa terhadap lebih 400 kanak-kanak dan remaja di rumah amal dikaitkan dengan GISB itu.
Katanya, kesemua penghuni rumah amal tersebut tidak mengetahui tentang perkara itu dan dituduh melakukan perbuatan liwat.
Nasaruddin juga menafikan dakwaan bahawa pihaknya menanam doktrin berkaitan ajaran Islam yang sesat kepada kanak-kanak terbabit.
"Sedih sangatlah, cara hidup kami ini. Doktrin ini adalah perbuatan yang mahu merosakkan kanak-kanak.
"Kami ajar budak solat, membesarkan ibadat solat berjemaah. Ini tuduh macam-macam dan kenapa semudah itu dikeluarkan dalam media massa yang dilihat masyarakat pelbagai peringkat," jelasnya.
Nasiruddin menegaskan bahawa barangan yang dihasilkan oleh syarikat terbabit juga diperakui selamat dan menerima persijilan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Beliau juga memaklumkan, GISBH akan melantik peguam untuk memulakan tindakan perundangan terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan itu.
Terdahulu, polis mengesahkan, seramai 13 kanak-kanak yang tinggal di rumah amal yang ada kaitan dengan GISBH pernah diliwat.
Jumlah itu dapat dikenal pasti selepas pemeriksaan dilakukan sebanyak dua fasa dan mendapati kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan luka lama dan baharu.
Susulan itu, polis melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti sejauh mana mental mereka terkesan akibat perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram